KUALA TERENGGANU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu membuat permohonan baru jika masih mahu menggunakan balai raya milik kerajaan negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Haji Wan Abdul Muttalib Embong berkata KEMAS hanya membuat permohonan menduduki balai raya bagi kegunaan kelas Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) kelolaannya tahun lalu.Sehubungan itu, tidak timbul soal menghalang penggunaan balai raya bagi kelas TABIKA kerana tempoh setahun telah tamat dan Kerajaan Negeri tidak menerima sebarang permohonan baru mendudukinya.
Haji Wan Abdul Mutalib berkata demikian ketika ditemui di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Beliau mengingatkan pihak akhbar agar tidak memperbesarkan berita yang tidak betul berhubung kejadian sebuah balai raya di kunci pagarnya, di Kampung Sura Hujung. "Kita tidak pernah mengarahkan balai raya dikunci tetapi mungkin atas dasar keselamatan, tindakan itu diambil. "Saya terpaksa menunggu laporan lengkap kerana kemungkinan berlaku pencerobohan terhadap balai raya dan keselamatannya tercabar," ujarnya mengulas laporan tersebut.
Katanya, balai raya adalah milik Kerajaan Negeri bagi kegunaan masyarakat dan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) juga berhak menggunakan premis tersebut. Menurutnya, KEMAS tidak membuat sebarang permohonan bagi menduduki balai raya untuk tahun 2001 dan kerajaan berhak menghalang sebarang pencerobohan. Katanya, Kerajaan Negeri membenarkan KEMAS menggunakan lebih 300 buah balai raya bagi menempatkan TABIKA kelolaannya Kerajaan membenarkan KEMAS menggunakan balai raya buat sementara waktu atas dasar kemanusiaan dan pendidikan.
Beliau menegaskan, semua pegawai daerah diarah agar tidak membenarkan sebarang aktiviti politik pembangkang (UMNO) menggunakan balai raya. "Dia (pembangkang) guna harta kerajaan (balai raya) dan bersikap memburukkan Kerajaan Negeri," jelasnya.