KUALA TERENGGANU: Kerajaan meluluskan tanah seluas 25 hektar di Bukit Diman, Hulu Terengganu untuk dijadikan pusat kegiatan saudara baru yang kini dikenali sebagai ‘saudara kita’. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah, Haji Harun Taib berkata, pusat itu nanti sangat berguna untuk melahirkan pendakwah yang betul-betul mahir dari kalangan mereka yang bukan Melayu.
Katanya, di kawasan berkenaan akan dibuka satu kawasan pertanian bagi tujuan menyediakan sumber pendapatan kepada saudara kita. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan kepada mereka di Dewan Auditorium, Kompleks Seri Iman di sini baru-baru ini. Kira-kira 200 saudara kita hadir di majlis berkenaan. Turut hadir, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Encik Muhatar Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) Dato’ Mamat Abdullah, Timbalan Mufti, Haji Zainal Abidin Ahmad dan Ketua Penolong Pesuruhjaya Dakwah, Haji Sheikh Harun Ismail.
Haji Harun berkata, Kerajaan mahu Terengganu menjadi tempat dan pengkalan orang ramai menganut Islam dengan membuka pintu seluas-luasnya bagi tujuan tersebut. Beliau berkata, menjadi tanggungjawab Kerajaan menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk negeri. "Kerajaan ada peranannya tersendiri dalam melaksanakan ajaran Islam. Oleh itu Kerajan membuka pintu negeri ini seluas-luasnya kepada perkembangan Islam," ujarnya. Beliau menyarankan agar saudara kita mengambil peluang ini membantu kerajaan meninggikan ajaran Islam.
Katanya, mereka perlu berdakwah di dalam masyarakat masing-masing kerana mereka lebih mengenali masyarakat mereka sendiri dari orang lain. Seterusnya Haji Harun menyebut bahawa penganut Islam terdiri dari berbagai-bagai bangsa dan keturunan, berbagai-bagai bahasa dan warna kulit. "Ada yang miskin dan ada pula yang kaya. Ia bersifat sejagat dan untuk semua manusia," katanya. Beliau berkata, orang Cina, India dan lain-lain bangsa tidak boleh membuat anggapan bahawa Agama Islam untuk orang Melayu sahaja.
Bahkan kata beliau, orang Cina dan India lebih awal menerima Islam berbanding dengan orang Melayu. Terdahulu dari itu, Pesuruhjaya JHEAT Haji Muhatar Abdullah berkata, selama 15 tahun lalu kira-kira 1,248 dari pelbagai kaum telah menganut Islam di negeri ini. "Islam adalah agama untuk semua kaum dan jangan sekali-sekali meletakkan Islam itu hanya agama orang Melayu sahaja," tegasnya. Sementara itu seorang saudara kita dari Kemaman, Mohd Al-Fadh Lai, 40 ketika di temui WARTA selepas majlis berkenaan berkata, beliau menganut Islam kira-kira dua tahun lalu dengan rela hati bukan paksaan dari sesiapa.
Beliau telah mendalami ajaran Islam dari guru-guru agama dan tidak menghadapi apa-apa masalah dalam pergaulan. Walaupun Mohd. Al-Fadh yang menganut Islam, keluarganya tetap menghormati agamanya dan hubungan dengan keluarga tetap mesra dan harmoni. Seorang saudara kita, Mohd Yusof Seng, 28 yang ditemui berkata, beliau bersyukur kepada Allah kerana menganut Islam sewaktu bekerja dan bergaul dengan orang Islam di tempat kerja, di Paka. Beliau yang berasal dari Selangor menyokong cadangan Haji Harun Taib untuk melatih saudara kita menjadi pendakwah sambil berkata: "Ia patut dialu-alukan oleh semua pehak dan ianya sangat bagus."
Menurutnya, anggapan menganut Islam sebagi menjadi Melayu tidak boleh diterima lagi sekarang kerana Agama Islam adalah untuk semua orang. "Mudah-mudahan selepas ini kegiatan Islam akan bertambah," katanya lagi.