Oleh: Mohd Nazmi Yaakub
DIA wanita petroleum terakhir. Saya tidak tahu mengapa harus saya
gelar begitu. Gelaran itu datang spontan, seperti pertemuan juga.
Pertemuan itu hanya sebentar, bermula dan berakhir dalam perjalanan
dari Kota Bharu ke Dungun.
Saya resah. Hati bergelora. Musim tengkujuh masih belum menjelang,
tetapi saya terperangkap dalam ribut metah dahsyat. Saya bakal
menemui bapa kekasih saya buat kali pertama!
Dia; wanita petroleum terakhir mengambil tempat di sisi. Membuka
lembaran akhbar, sambil menyumpah. Saya terkejut dan tidak menyangka
wanita itu berperilaku sungguh buruk.
Dari Kota Bharu sehingga ke Jertih, kami tidak berbual-bual. Saya
melayan gementar yang menggigit. Dia meneladeni akhbar sambil mulut
mengomel. Perjalanan kurang menarik. Saya selalu bermusafir dari Kota
Bharu ke Kuala Lumpur.
Di Jertih, sewaktu menyedut air soya, dia menumpahkannya ke riba
saya. Saya meradang. Marah menjentik-jentik. Mahu saya jerkahnya,
tetapi wajahnya meminta maaf. Saya tergoda. Kami dicubit sepi kembali.
"Lelaki semuanya sama."
Saya menolehnya. Tidak percaya dia berkata demikian. Setelah
menumpahkan air, haruskah dia mengutuk saya (bukankah saya lelaki)?
Sungguh perbuatannya tidak beradab. Saya pasti dia bukan wanita
Kelantan yang wajib lembah-lembut dan sopan-santun.
Dia tersenyum. Namun, saya kalih dengan godaannya kali ini. Kali
pertama mungkin saya terjebak, tetapi pelanduk tidak wajar melupakan
jerat. Wanita itu harus diajar kesantunan.
"Ini. Hanya lelaki yang pandai membuat janji dan memungkirinya."
Marah saya hilang serta-merta. Dia tidak mengutuk saya. Telunjuknya
mengarah ke gambar seorang menteri. Demi melihat gambar itu, saya
teringat katak.
"Dengar ini. Kata Menteri X, tidak salah untuk kita membatalkan janji
yang disepakati, andai pihak yang membuat janji itu melihat sesuatu
kemungkinan lain pula."
Saya menyoroti berita itu. Saya mengenali Menteri X itu. Dia
mempunyai latar belakang perundangan. Seorang menteri yang mempunyai
kreadibiliti dalam undang-undang berkata demikian? Pelik menampar
rasa.
Dia menyumpah-nyumpah lagi. Akhbar itu dikeronyok. Dia meludah ke
gambar menteri tersebut.
"Dasar jantan sial. Berjanji dan selepas itu mungkir. Khinzir majnun.
Ibnun kalbun."
Saya membulatkan mata. Aduh, aduh! Mengapa mulutnya terlalu lancang.
Saya meraba plaster dalam beg sandang. Mujur saya terlupa membawanya,
kalau tidak sudah sah saya menampal mulutnya.
Bas bergegar. Tubuh bergetar. Hati seperti bumi dilanda lindu. Jalan
ke Kuala Terengganu sedang dibaiki. Jalan penuh batu kerikil. Kiri
kanan lubang. Harus tergelincir kalau bas bergerak laju.
"Bekas suami saya juga begitu. Membuat janji dan kemudian
memungkirinya. Memang lelaki semuanya sama. Lidah biawak. Sumpah-
sumpah."
Saya tidak selesa. Dari tadi, wanita itu asyik menyumpah lelaki.
Tidakkah dia sedar saya di sebelahnya juga lelaki. Mengapa harus
dihukum semua lelaki? Cukuplah dengan hanya menyeranah bekas suaminya
dan juga Menteri X itu.
"Dia berjanji selepas bercerai akan membayar mutaah sebagai ganti
rugi kerana saya membiayai perbelanjaannya selama dia belajar. Saya
sudah terlalu banyak berkorban. Tetapi dia mencari wanita lain
selepas menamatkan pengajiannya. Saya disingkirkannya."
Aduh, saya dalam perjalanan untuk berjumpa dengan bakal bapa mentua.
Pertemuan itu berkait-rapat dengan perkahwinan saya nanti. Tidak
wajar saya mendengar kisah penceraian. Malah, saya tidak berminat
untuk masuk campur dalam kehidupan orang lain. Saya mengharapkan
wanita itu menutup mulut dan membiarkan saya tenggelam dalam
kerisauan untuk berdepan dengan bakal bapa mentua.
"Samalah dengan Menteri X ini. Sama jugalah dengan pemimpin-pemimpin
lelaki yang lain. Bukankah perjanjian dibuat. Hak milik carigali
diserahkan kepada Petronas, dan Terengganu mendapat royalti sebagai
pampasan."
"Mereka kata, wang itu sebagai ehsan, bukannya royalti." Saya
mencelah, menguji radang wanita itu.
"Aduh, aduh. Itulah perangai azali lelaki. Hari ini mereka kata
putih, esok langsung bertukar hitam. Awak juga mewarisi perangai
buruk itu?"
Saya tersentak. Jerat memingkas pemasangnya. Saya mengujinya, tetapi
saya pula yang terkena.
"Perjanjian antara Terengganu dan Petronas pada 1975 hitam putih. Ini
bukan cakap-cakap wakil rakyat brengset pra-pilihan raya. Ini juga
bukan bicara manis lelaki pada kekasihnya sebelum berkahwin. Tun
Salleh Abbas yang mendraf Akta Kemajuan Petroleum 1974 masih hidup.
Ku Li ketika itu menjawat Pengerusi dan Ketua Eksekutif PETRONAS
masih bernafas. Mereka mahu tipu hidup-hidup."
Bas kembali laju. Jalan semakin baik. Kiri-kanan rumah. Saya
menikmati panaurama itu. Kata orang, Terengganu negerinya kaya,
tetapi rakyatnya miskin. Saya memetia kebenaran kata-kata itu.
"Sejak 1978, Terengganu menerima royalti petroleum sehingga Februari
2000 lebih kurang RM7 bilion. Tetapi mengapa masih lagi menduduki
tangga kedua dari segi kemiskinan?"
Dia terdiam. Saya menyeluruhi wajah wanita itu. Saya tersedar betapa
ayunya wajah wanita petroleum terakhir ini (tetapi pastinya kekasih
saya lebih ayu). Iras Siti Nurhaliza. Aduh, saya teringat lagu artis
wanita yang menimbulkan kontreversi itu, Warkah Buat Lelaki!
"Inilah jadinya apabila negeri ditadbir lelaki tidak
bertanggungjawab. Memenuhkan poket diri, dan membiarkan rakyat
kelaparan. Bukankah sikap lelaki begitu - pentingkan diri sendiri!"
Saya teringat ceramah Tun Salleh Abas. Beliau menyebut kerajaan
Terengganu sebelum ini terlalu boros berbelanja. Dalam masa yang
sama, Terengganu di bawah Wan Mokhtar berhutang dengan Kerajaan Pusat
lebih kurang RM700 juta.
Terengganu turut melabur dalam PERWAJA dengan memegang 19 peratus
saham. Kerugian PERWAJA sebanyak RM3.5 bilion menyebabkan Terengganu
turut menanggung kerugian sejumlah RM671,545,880.
Selain itu, melalui Permodalan Terengganu Berhad (PTB) yang melabur
dalam satu syarikat Gunawan Iron and Steel sebanyak RM3.6 juta,
kerajaan negeri menanggung kerugian lebuh kurang RM100 juta. Dalam
masa yang sama, Kerajaan Terengganu melalui agensinya, Tabung Amanah
Warisan Negeri Terengganu (TAW) memberi jaminan kepada bank sejumlah
RM350 juta.
Sekarang Syarikat Gunawan Iron and Steel tidak beroperasi sehingga
menyebabkan kerajaan negeri kehilangan modal RM3.6 juta, rugi RM100
juta dan menanggung beban jaminan bank RM350 juta.
Kerana lelakikah itu? Aduh, saya bingung. Benarkah saya juga bersalah?
Bas mula memasuki Kuala Terengganu. Saya membandingkan Kuala
Terengganu dengan Kota Bharu. Jauh bezanya. Kota Bharu lebih meriah.
Cuma akhir-akhir ini, Kuala Terengganu mula dibanjiri pelancong.
Khabarnya, mereka mahu melihat negeri kedua diperintah ulama.
"Bekas suami saya dulunya bersungguh-sungguh berjanji untuk menjaga
kami sekeluarga. Katanya, dia kasihan melihat saya berhempas-pulas
bekerja untuk menanggung kos pengajiannya. Saya percayakan dia.
Selepas dia menjawat pensyarah di sebuah universiti, saya berhenti
bekerja. Saya menumpukan perhatian untuk menjaga keluarga. Aduh, dia
bermain kayu tiga di belakang saya."
Saya digigit resah kembali. Cerita sedih tidak sesuai untuk orang
muda yang berdarah manis seperti saya. Sekiranya, saya disukai
keluarga kekasih saya, justeru saya akan membina rumah tangga. Tetapi
cerita sedih ini semacam memberikan khabar buruk kepada impian saya.
Dia menangis. Air mata mengalir deras. Hati wanita lembut metah.
Mudah menangis apabila terguris. Bahkan air mata derasnya mengacip
simpati saya. Sekaligus, saya ditelan serba-salah. Penumpang di
sebelah kami mengerling curiga. Aduh, saya bimbang dikaitkan dengan
wanita itu.
"Saya terpaksa mengambil tindakan nekad. Saya tahu saya tidak wajar
untuk berbuat demikian, tetapi salahkah saya meminta cerai
daripadanya? Saya tidak mahu berterusan ditipu dan dibohong. Dia
boleh berkahwin lagi, tetapi tidak dengan bermain kayu tiga di
belakang saya. Saya ada maruah, tidak seperti lelaki yang maruahnya
mudah ditelanjangkan seperti menanggalkan seluarnya."
Saya mengisar punggung. Andailah kata-katanya seperti busur, nescaya
wajah saya sudah begitu banyak dipanahinya.
"Meminta cerai memang salah dalam Islam. Namun, mengkhianati
perkahwinan juga berdosa." Dia mengeluh panjang.
Perkahwinan merupakan ikatan perjanjian di antara lelaki dan
perempuan. Ijab dan qabul ialah akad yang tidak boleh dilerai begitu
sahaja. Ada cara tertentu untuk bercerai. Talaq, khuluk, fasakh dan
li'an antara kaedah memutuskan aqad perkahwinan. Namun, talaq ialah
perkara halal yang paling dimurkai Allah. Itu saya pelajari di kuliah
al-Azhar.
Begitu juga dengan perjanjian di antara dua pihak, terutamanya dalam
mu'amalah. Apabila dua pihak bersetuju dengan perjanjian yang dibuat,
maka mereka wajib melaksanakan perjanjian itu. Melainkan kedua-dua
pihak bersetuju membubarkannya. Sekiranya, salah satu pihak
mengkhianati perjanjian tersebut, bukan sahaja ia bersalah dari sudut
undang-undang, tetapi juga berert membuat maksiat dan mengengkari
Allah.
Hukum Islam jelas dalam soal itu. Saya akur, hukum sivil juga
demikian. Lelakikah yang mengubah sewenang-wenangnya?
"Saya tahu tindakan saya keras. Menuntut wang mut'ah dan hak
penjagaan anak-anak. Cukuplah, dia mempermain-mainkan saya. Saya
wajar menuntut ganti-rugi walaupun hakikatnya ia tidak berbaloi."
Hati wanita lembut. Namun, tindakan mereka tidak mustahil bertukar
keras dan gasang. Sekali mereka kehilangan kepercayaan, seribu kali
lelaki itu akan gagal mengembalikan keyakinannya.
Begitukah kepercayaan rakyat Terengganu kepada pemerintahan yang
lalu? Sulit untuk dipulihkan?
Kami dipagut sepi. Justeru dia mendiamkan diri menimbulkan resah
kepada saya. Mengapa harus begitu? Bukankah tadi saya lebih senang
andainya dia mendiamkan diri. Saya yakin wanita petroleum terakhir
ini miliki pandangan politik terbuka. Falsafah politiknya diceduk
daripada pengalaman hidup pastinya. Dia lulusan universiti politik
terbuka.
"Selepas perceraian, dia memungkiri janji. Dia seorang lelaki yang
tidak boleh dipegang kata. Dia enggan membayar mut'ah dan menuntut
hak penjagaan anak-anak. Dia menyindir saya supaya saya membawa kes
ini ke mahkamah. Dia begitu yakin dia akan menang dalam perbicaraan
nanti. Dia mendakwa sistem kehakiman menyebelahinya."
Saya menghela nafas. Simpati memagut diri. Radang berpindah kepada
bekas suaminya. Lelaki itu benar tidak mengenang budi. Justeru,
lelaki itu harus dilempar ke tempat pembuangan sampah.
"Apa tindakan awak?" Bas meluncur laju. Destinasi hampir tiba. Papan
tanda menunjukkan Dungun berjarak 10 km sahaja. Saya terasa
kehilangan. Saya dan wanita petroleum terakhir harus berpisah.
"Saya tetap lawan. Mut'ah dan anak-anak hak saya. Dia harus
menyerahkan hak saya. Selagi dia tidak berbuat demikian, selagi itu
saya akan berjuang mengembalikan hak itu."
"Bagaimana dengan kembali kepadanya?" Saya mengutuk kelancangan itu.
"Tidak! Lelaki yang memungkiri janji bererti munafik yang tidak harus
dimaafkan. Kembali kepadanya bererti membiarkan diri ditipu lagi. Dia
sudah tidak ada lagi dalam kehidupan saya."
Saya mengerti hati wanita itu. Dia terluka.
Bas berhenti di hadapan Hospital Dungun. Saya harus berpisah
dengannya di sini.
"Saya akan ke Paka. Bekas suami saya berada di situ bersama-sama anak-
anak kami. Saya akan menuntut hak-hak saya. Doakan saya."
Saya angguk. Melemparkan senyuman dan mengambil beg di tempat
simpanan di atas. Saya membina takjub melihat semangatnya membanjar
panjang.
"Awak wajib menjadi lelaki yang baik. Walaupun saya mengutuk lelaki,
tetapi saya sedar di kalangan lelaki ada yang berhati murni. Lelaki
yang baik akan menolong orang lemah untuk mendapatkan hak mereka
kembali."
Saya turun memijak tanah, bas bergerak perlahan meninggalkan Dungun.
Wanita petroleum terakhir itu akan berjuang menuntut haknya. Saya
yakin dia akan menang dalam perjuangannya. Saya mendoakan itu.
Sewaktu saya menelefon bapa kekasih saya, saya sungguh mengerti -
cinta saya dan kekasih saya ialah interprestasi perjuangan
mengembalikan hak yang dicabul. Pertalian antara Kelantan dan
Terengganu ialah perjanjian abadi yang wajib dipatuhi.
..........................................................................................
Pertama kali disiarkan dalam suara_rasa@yahoogroups.com