DATUK Seri Dr Mahathir Mohamad mengadakan
sidang akhbar di Putrajaya, petang semalam bagi
memperjelaskan sebab-sebab Umno mahu
mengadakan pertemuan dengan parti-parti Melayu
lain untuk berbincang mengenai masalah
perpaduan Melayu. Berikut dipaparkan hasil temu
bual dengan Perdana Menteri
SAYA menjemput akhbar hari ini kerana saya berpendapat
masa sudah tiba untuk membuat penjelasan berkenaan hasrat
Umno mengadakan pertemuan dengan parti-parti Melayu lain
untuk berbincang mengenai masalah perpaduan Melayu.
Selama ini, kita tidak memberi penjelasan mengenai apa yang
dihasratkan atau apa yang Umno ingin bangkitkan dalam
perjumpaan ini, hanya kita sanggup cakap tentang apa juga
tajuk.
Sebagaimana kita tahu, apabila kita mengumumkan kesediaan
Umno untuk berjumpa parti-parti Melayu yang lain untuk
berbincang berkenaan perpaduan Melayu, sambutan daripada
Pas ialah mereka sanggup tetapi ingin berbincang berkenaan
perpaduan nasional dan parti Keadilan mendakwa mereka
bukan parti Melayu. Jadi, pertemuan yang akan diadakan
adalah di antara Umno dan Pas sahaja.
Selama ini, Jawatankuasa Teknikal (Umno) telah mengadakan
pertemuan dengan Pas dan hasilnya ialah Pas telah memberi
syarat-syaat dan menentukan tajuk-tajuk perbincangan untuk
perpaduan Melayu. Pihak Umno tidak mempunyai apa-apa
syarat atau menerangkan tentang apa yang hendak
dikehendaki Umno untuk dibincang dalam pertemuan dengan
Pas.
Mungkin ini menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai
dan mungkin Pas tidak tahu apakah yang dihasratkan oleh
Umno. Oleh kerana kita tidak dapat berjumpa dengan
pemimpin Pas untuk menerangkan tajuk-tajuk, jadi saya
berpendapat adalah elok saya terangkan supaya orang ramai
tidak keliru berkenaan dengan pendirian Umno.
Kita semua tahu bahawa respons Umno ini ialah apabila
seorang profesor, iaitu Fawzy Basri (Timbalan Naib Canselor
Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia, Prof Datuk Dr
Ahmad Fawzy Basri) menyarankan supaya diadakan
pertemuan antara parti-parti Melayu untuk menjalinkan
perpaduan kerana ramai yang percaya terdapat perpecahan
yang ketara di kalangan orang Melayu.
Umno juga berpendapat demikian, iaitu terdapat perpecahan
di kalangan orang Melayu. Sejak dahulu, memang ada dua
parti Melayu sekurang-kurangnya. Ini bermakna orang
Melayu tidaklah bersatu padu dalam bidang politik dan pada
masa itu kita tidak anggap pertemuan untuk berbincang
mengenai perpaduan orang Melayu ini sebagai perkara yang
penting.
Apabila Pas menyuarakan keinginan mereka untuk
bermuzakarah dengan Umno, kita tidak respon apa-apa... kita
tidak tolak, kita tidak terima, kita cuma berdiam diri sahaja
kerana kita tidak nampak ada masalah selain daripada
masalah biasa antara parti-parti politik.
Sebagai sebuah negara demokrasi, tidak dapat tidak
perbezaan pendapat mesti wujud antara parti-parti yang
berlainan dan di kalangan orang Melayu, terdapat dua parti
yang besar mewakili Melayu, iaitu Umno dan Pas. Sebab itu,
sudah tentu pendirian Umno dan Pas berbeza. Jika tidak
berbeza, sudah tentulah kita tidak ada dua buah parti.
Dan ini adalah sihat untuk demokrasi supaya ada pihak yang
akan menjadi pembangkang dan ada pihak yang akan
memerintah dan pemerintah boleh ditegur oleh pembangkang
jika pemerintah membuat sesuatu yang salah. Jika tidak ada
pembangkang, maka apabila pemerintah membuat kesalahan,
tidak ada teguran dibuat dan ini akan menyebabkan
pemerintah semakin lama semakin jauh dan semakin banyak
melakukan kesalahan.
Jadi, kita terima demokrasi tetapi pada masa-masa yang
dewasa ini kita dapati bahawa pendirian orang Melayu
terhadap ancaman kepada orang Melayu keseluruhannya,
bukan kepada parti tertentu, tidak menarik respon yang sama
daripada semua parti. Seolah-olah ada orang Melayu yang
mempunyai pendirian yang lain... maksud saya ialah ada
kalanya yang mana kedudukan orang Melayu di Malaysia ini
dicabar. Kita tahu bahawa Perlembagaan kita menentukan
kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera dan
apabila ini disoal, orang Melayu tidak repson cara yang sama,
sebaliknya respon mereka berbeza mengikut partisedangkan
ancaman ini bukan ancaman kepada parti tetapi ancaman
kepada orang Melayu sendiri.
Sebagai contoh, tadi saya sebut tentang hak istimewa orang
Melayu. Sepatutnya hak istimewa ini jika dicabar oleh
mana-mana pihak, maka orang Melayu patut mengetepikan
kepentingan puak ataupun parti dan mempertahankan
kedudukan istimewa orang Melayu ini sebagai yang
diperuntukkan dalam Perlembagaan. Kita tidak minta lebih
dan tidak minta apa-apa yang belum dipersetujui.
Sebenarnya, Perlembagaan negara kita ini dipersetujui semua
kaum dan kita berpendapat apabila kita mempertahankan
peruntukan dalam Perlembagaan, maka ini adalah hak kita.
Kita bukan tuntut lebih, kita tuntut yang sudah pun menjadi
hak kita. Dalam perkara semacam ini, kita berpendapat orang
Melayu harus ketepikan perbezaan parti dan lain-lain tetapi
mempertahankan hak bersama sebagai orang Melayu.
Ada juga perkara lain yang termaktub dalam Perlembagaan di
mana orang Melayu harus mempertahankan tanpa mengira
parti mana mereka menyertai. Umpamanya berkenaan agama
Islam. Perlembagaan telah menentukan bahawa agama Islam
adalah agama rasmi negara ini. Walaupun agama lain boleh
dianuti pengikut agama lain, (tetapi) kalau ada mana-mana
pihak yang menyoal kedudukan agama Islam sebagai agama
rasmi dan hendak melihat agama lain juga mendapat
kedudukan yang sama dengan agama Islam, ini adalah
bercanggah dengan peruntukan di dalam Perlembagaan. Jadi,
dalam hal seperti ini, sepatutnya semua orang Melayu
mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama
rasmi. Tetapi dalam perkara ini juga, kita dapati bahawa tidak
semua orang Melayu menyuarakan tentangan yang sama
terhadap cabaran atau (golongan yang) menyoal berkenaan
dengan kedudukan agama Islam.
Ada beberapa lagi perkara yang telah ditentukan sebelum kita
merdeka sebagai satu persefahaman atau satu yang
dipersetujui semua pihak seperti bahasa kebangsaan yang
berasas kepada bahasa Melayu. Apabila ini dicabar,
sepatutnyalah semua orang Melayu, tidak kira dari
mana-mana parti, perlu mempertahankan. Dan inilah
benda-benda yang ingin kita runding dengan parti Pas dan
orang Melayu lain, iaitu dalam perkara seperti ini, bukannya
perkara politik atau parti politik, tapi perkara-perkara yang
menyentuh kepentingan orang Melayu dan orang Melayu
patut mempunyai pendirian yang sama.
Kita tidak ada niat sama sekali untuk menyatupadukan orang
Melayu untuk menentang kaum-kaum lain. Umno adalah
rakan kepada parti-parti lain, seperti MCA, Gerakan, MIC,
parti Dayak dan parti orang Kadazan dan sebagainya dan
Umno akan terus menggabung atau bekerjasama dengan
parti-parti ini. Tetapi parti-parti ini juga sudah menerima
peruntukan dalam Perlembagaan dan mereka tidak pernah
mempersoal tentang peruntukan-peruntukan ini, iaitu
berkenaan hak keistimewaan orang Melayu, bahasa
kebangsaan atau agama Islam.
Mereka tidak pernah menyoal, bahkan mereka terima
Perlembagaan. Jadi, tidak ada masalah untuk Umno
bekerjasama dengan parti ini dalam BN. Walaupun Umno
akan bersatu padu dalam soal-soal saya sebutkan tadi tetapi
ini tidak bermakna kita akan bermusuh dengan kawan-kawan
kita. Kawan-kawan kita memang mempunyai pendirian, tidak
menentang peruntukan dalam Pelembagaan. Sepatutnya orang
Melayu yang lain juga mempunyai pendirian yang sama dan
bersatu padu dalam soal ini sahaja, bukan dalam soal hendak
menentang orang Cina atau orang India. Kita masih
berpendapat kerjasama kita dalam BN perlu diteruskan.
Dalam arena politik, kita akan menentang parti Pas, Keadilan.
Tapi kita percaya dan kita harap Pas dan lain-lain parti
Melayu, jika ada, akan bersama-sama dengan Umno untuk
mempertahankan peruntukan dalam Perlembagaan berkenaan,
terutama beberapa perkara yang telah saya sebutkan.
Jadi, bukanlah kita hendak minta Pas masuk BN ataupun
bergabung dengan Umno.Tidak sama sekali kerana kita
anggap Pas sebagai parti lawan memang penting untuk
amalan demokrasi dalam negara kita. Jadi, ini sahaja kita
hendak... perkaranya sedikit sahaja.
Saya berpendapat tidak menjadi masalah kepada parti Pas,
terutama kalau membabitkan perpaduan Melayu,
menyebabkan mereka mempertahankan Perlembagaan. Ini
sesuatu yang terhad sahaja. Kita tidak ada niat hendak
bekerjasama dengan Pas dalam semua bidang ataupun
hendak suruh Pas masuk BN ataupun hendak bubar Pas
hendak jadi Umno, atau hendak bubar Umno dan buat satu
parti Melayu atau hendak lawan dengan orang bukan
Melayu... ini bukan hasrat kita. Ini bertentangan dengan
amalan Umno sekian lama dan kita bekerjasama dengan
kaum-kaum lain yang tidak bermusuh dengan kita.
Jadi saya hendak terang di sini, iaitu tujuan kita hendak
berjumpa dengan Pas hendak bincang perkara-perkara ini
sahaja dan yang mana ini tidak akan menjejaskan perjuangan
Pas kerana saya yakin Pas juga tentulah hendak
mempertahankan kedudukan hak istimewa orang Melayu,
kedudukan bahasa kebangsaan, kedudukan agama Islam dan
satu lagi yang kita hendak bincang ialah berkenaan dengan
raja-raja Melayu, yang mana saya rasa semua orang Melayu
hendak mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu sebagai
raja berperlembagaan.Kita tidak mahu hapus sistem raja-raja
Melayu.
Jadi, tiga empat perkara yang saya sebutkan ini, saya
berpendapat Pas tentu mempunyai pendirian yang sama. Jadi
dengan itu kita bolehlah menjalin perpaduan Melayu hanya
untuk mempertahankan perkara-perkara ini sahaja, bukan
perpaduan Melayu untuk hendak lawan orang lain.... tidak.
Dan kaum lain juga menerima ini. Jadi tidak menjadi masalah
kalau Pas bersatu-padu dengan Umno berkenaan
mempertahankan hak orang Melayu, selain daripada kita
dapati sekarang ini ada percubaan untuk mencabar dan
menyoal kedudukan orang Melayu. Mungkin kerana
ternampak orang Melayu sudah berpecah dan tidak lagi
mempunyai pendirian yang sama, maka soal hak istimewa
orang Melayu, soal kedudukan agama Islam telah
dibangkitkan dan dicabar. Jadi berkenaan dengan ini, kita
harap Pas dengan Umno boleh berdiri untuk
mempertahankan perkara-perkara ini yang mana ancamannya
bukan datang daripada parti politik dalam BN, sama ada
Cina, India atau lain-lain, tapi cabaran ini datang dari
kumpulan yang lain sama sekali.
SOALAN: Mengapa tidak diberi tanggungjawab kepada
Jawatankuasa Teknikal untuk memberi penjelasan ini kepada
Pas?
DR MAHATHIR: Kita berpendapat eloklah kita bagi
penerangan ini. Jika kita beri kepada Jawatankuasa Teknikal,
maka mungkin tidak ada perjumpaan, yang akan ada hanya
jawapan sahaja. Jadi, kita anggap amat penting kita bertemu
dan kita suarakan hasrat kita ini supaya kita boleh jelaskan. Ini
nak terang di sini pun saya ambil masa yang lama.
Mungkin ada salah faham jika terus dilepaskan pada
Jawatankuasa Teknikal sahaja. Bila pergi kepada ketua,
mungkin berlainan pula tafsirannya. Jadi, lebih baik jika kita
beri penjelasan sendiri. Tapi kita nampak susah sangat
hendak jumpa. Saya harap pada hari raya (Syawal lalu) dapat
saya jumpa dengan (Datuk) Fadzil Noor di masjid tapi hari itu
masjid penuh... lebih 10,000 hadir di masjid. Alangkah
baiknya, kalau kita ternampak bersama.. bukan sebagai nak
gabung Pas dan Umno tapi sekurang-kurangnya kita boleh
bercakap, kita boleh sembahyang bersama.
SOALAN: Mungkinkah kedua-dua pemimpin tertinggi boleh
bertemu empat mata dan kemudian masing-masing balik
kepada parti untuk buat penjelasan?
DR MAHATHIR: Kita tidak tolak sebarang kemungkinan...
apa juga kita boleh buat. Ini disebabkan kita anggap cabaran
kepada kedudukan orang Melayu ini bukan sahaja berbahaya
kepada orang Melayu tapi juga berbahaya kepada negara kita
yang berbilang kaum ini. Kalau ada cabaran ini, mungkin ada
reaksi yang membawa kepada perkara-perkara yang tidak
diingini. Kalau boleh bertemu... macam mana pun tidak apa.
SOALAN: Adakah Keadilan juga patut diajak sama?
DR MAHATHIR: Kalau dia sudi hendak jumpa, kalau dia
anggap diri dia parti Melayu dan mewakili orang Melayu, kita
tidak kira, kita sanggup. Awal-awal lagi kita sudah jemput tapi
dia tolak.
SOALAN: Adakah pertemuan itu mungkin turut
membincangkan soal royalti?
DR MAHATHIR: Perkara ini tidak ada kena mengena dengan
isu royalti. Kita hendak bincang mengenai yang amat penting
untuk orang Melayu dan kesejahteraan negara kita yang
berbilang kaum.
SOALAN: Adakah Umno akan minta Pas tarik balik
pra-syarat yang dikenakan?
DR MAHATHIR: Saya tidak minta dia tarik balik sebelum
berjumpa. Dia letak syarat itu tidak apa... tetapi saya hendak
jumpa, yang penting jumpa.Kalau saya boleh jumpa,
sekurang-kurangnya saya boleh beri penjelasan. Ada
perkara-perkara yang membabitkan undang-undang yang
saya tidak boleh putuskan.
SOALAN: Ketika ini adakah berlaku salah faham di peringkat
Jawatankuasa Teknikal Umno dan Pas?
DR MAHATHIR: Mungkin juga kerana kita tidak jelaskan.
Tetapi saya khuatir jika saya jelaskan pada Pas, mungkin
macam-macam tafsiran dibuat. Jadi, pendekatan mulanya
ialah kita tidak membuat kenyataan untuk meredakan
keadaan. Tetapi oleh kerana kita tidak membuat kenyataan,
banyak orang tidak faham tentang pendirian Umno. Kalau kita
cuma beritahu pada Jawatankuasa Teknikal Pas sahaja,
mungkin selepas perjumpaan antara Jawatankuasa Teknikal
nanti, mereka akan pergi ke sana-sini dan membuat
bermacam-macam penjelasan yang tidak menolong
meredakan iklim. Jadi, sebab itu lebih baik saya beri
penerangan kepada orang ramai supaya orang ramai faham
daripada kita sendiri.
SOALAN: Adakah tidak usaha daripada Datuk Seri untuk
menghubungi sendiri Datuk Fadzil Noor?
DR MAHATHIR: Tidak, sebab kita sudah lantik
Jawatankuasa Teknikal. Sayatidak boleh pergi over the head
Jawatankuasa Teknikal. Walaupun demikian, jika berpeluang
bersama-sama di masjid, kita boleh cakaplah juga. Masa saya
pergi ke masjid ketika Syawal lalu, ada orang ambil gambar
saya dengan dia... itu pun banyak orang sambut baik. Bukan
kita hendak suruh Pas masuk Umno ke apa ke... tidak. Cuma
saya fikir tak payahlah kita terlalu renggang sangat.
Kita punya pendirian kita tidak kemukakan apa-apa syarat,
cuma bercakap mengenai perpaduan Melayu. Kita boleh
cakap apa-apa berkaitan Melayu, bagi saya itu sudah jelas.
Malangnya, ia dicampur aduk dengan perpaduan nasional.
Tapi jika tidak ada perpaduan Melayu, maka tidak mungkin
ada perpaduan nasional kerana orang Melayu adalah
sebahagian daripada keseluruhan rakyat Malaysia.
SOALAN: Datuk Seri, terdapat dua keadaan sekarang di
mana Umno begitu lembut tapi Pas bertegas dengan
prasyaratnya?
DR MAHATHIR: Yalah, bila ada pra-syarat, ia menjadi
masalah kepada kita sebab kita tidak boleh tunaikan
syaratnya. Walaupun demikian, saya masih berharap kita
masih boleh berjumpa dan menjelaskan mengapa kita tidak
boleh terima pra-syarat mereka.
SOALAN: Datuk Seri boleh terangkan apa sahaja tapi Umno
dilihat dalam keadaan semakin lemah.
DR MAHATHIR: Saya tidak nampak begitu lemah, Umno
masih kuat. Sebenarnya, kita menang 72 kerusi ketika lawan
dengan dia. Pas cuma 25 kerusi. Sokongan kepada Umno
masih kuat. Ya, ada hakisan sedikit tapi dulu pun pada 1959
kita kalah di Kelantan, begitu juga pada 1969. Dlam sejarah,
mana-mana parti politik ada turun naik. Kita yakin apabila
rakyat mendapat penjelasan yang sebenar berkenaan apa yang
berlaku, rakyat akan sokong kita balik.
SOALAN: Adakah ini bermakna Jawatankuasa Teknikal tidak
diperlukan lagi?
DR MAHATHIR: Kita masih mahu (kedua-dua)
jawatankuasa teknikal berjumpa tapi saya hendak supaya
rakyat tidak sangka Umno ini ada niat-niat yang lain. Kita
tidak ada niat lain. Cuma itu sahaja, iaitu kepentingan Melayu
yang terancam kerana ada pihak yang menyoal perkara ini.
Jika ada orang yang menyoal dan kadang-kadang ada yang
mencabar kerajaan dan membuat ugutan seperti sesuatu akan
berlaku, rakyat perlu tahu mengapa kerajaan mempunyai
pendirian yang sedemikian.
SOALAN: Datuk Seri berkata ada ancaman datang luar.
Siapa yang dimaksudkan?
DR MAHATHIR: Anda boleh teka, saya tidak mahu
cakap-cakap apa. Saya yakin semua orang tahu.
SOALAN: Secara ringkas adakah Umno akan meminta Pas
menarik balik pra-syarat mereka?
DR MAHATHIR: Sebab itu saya kata kita perlu bertemu,
kalau tidak duduk dalam formal discussion (perbincangan
rasmi) pun tak apa.. asalkan bertemu sudahlah. Kemudian
kita akan bercakap mengenai syarat-syarat dikenakan dan
mengapa kita tidak boleh tunaikan syarat. Tapi hendak suruh
kita jawab la ni (sekarang) akan terhenti langsung...
terbantutlah usaha hendak ada perjumpaan. Kalau saya kata
boleh terima ini atau tidak boleh terima ini, maka tidak akan
ada perjumpaan.
SOALAN: Berasaskan andaian, jika Pas bertegas dengan
pra-syarat itu, jadi apa akan terjadi?
DR MAHATHIR: Saya fikir dengan penjelasan ini, iaitu kita
cuma hendak berjumpa membabitkan perkara yang terhad
saja, saya yakin dia akan timbangkan.
SOALAN: Laporan mengatakan Fadzil menghadapi tekanan
dari dalam Pas?
DR MAHATHIR: Yang itu mungkin. Tapi pendapat memang
berbeza-beza. Di dalam Umno pun pendapat memang
berbeza-beza. Itu perkara biasa dalam mana-mana parti,
bukan boleh ada satu hati sepanjang masa. Kita tidak hairan
kalau itu berlaku. Tapi saya fikir common sense will prevail.
Ada baik kita berjumpa, hendak bercakap mengenai
kepentingan orang Melayu sahaja, bukan hendak menentang
kaum-kaum lain.
SOALAN: Bagaimana Datuk Seri melihat tindakan kerajaan
Pas Terenganu menyaman Kerajaan Malaysia atas isu royalti
minyak?
DR MAHATHIR: Itu hak mereka. Terpulang pada
undang-undang. Kita bertindak berasaskan kepada
kefahaman kita terhadap undang-undang. Itu terpulang pada
mahkamah sama ada kita betul atau mereka betul. Kita
berpendapat tentulah kita betul, sebab itu kita
mempertahankan keputusan kita.