Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


KISAH POLIS DAERAH BESUT

Saya tinggal di Mukim Kg. Raja, daearah Besut, Terengganu. Pada 8 Mac 2001, rumah saya telah dimasuki pencuri dan melibatkan kehilangan duit dan barangan bernilai kira-kira RM 485.50. Kejadian ini berlaku diantara pukul 9.15 hingga 10.30 pagi ketika saya sekeluarga keluar ke pasar untuk membeli barang keperluan dapur. Bila pulang dari pasar didapati pintu bahagian belakang dapur telah terkopak.

Tanpa menyentuh apa-apa barang saya pun bergegas untuk membuat lapuran polis di balai polis Kampung Raja dengan harapan supaya polis akan membuat penelitian dengan mengambil kesan jari atau apa-apa kesan yang ditinggalkan oleh pencuri. Tiba di balai polis saya menuju ke kaunter tetapi terdapat beberapa orang yang berpakaian awam sedang berbual. Saya tidak mahu menggangu meraka seketika kerana mungkin menggangap polis sedang mengambil report orang ramai. Saya terpaksa menunggu lebih kurang lima belas minit untuk berpeluang membuat aduan itu pun mereka masih lagi rancak berbual tanpa mengira kedatangan saya.

Harapan saya hampa kerana pihak polis yang bertugas hanya menyoal saya sambil berbual tentang kejadian yang menimpa saya tanpa membuat mencatat apa-apa. Salah seorang daripada polis itu mengarahkan supaya pulang terlebih dahulu dan membuat senarai bertulis tentang apakah barangan yang hilang kerana katanya senang untuk mengisi buku lapuran. Katanya lagi dia akan bertanya kepada pegawai penyiasat samada perlu atau tidak polis pergi ke rumah saya untuk mengambil kesan jari pada pintu. Katanya lagi jawapan akan diberi apabila saya kembali ke balai nanti. Oleh kerana saya tidak pernah membuat lapuran polis dan hanya menurut arahan sambil menahan kemarahan.

Dalam perjalanan pulang sambil berfikir, ini kah peraturan yang pihak polis tetapkan untuk seseorang membuat lapuran polis. Kalaulah saya tahu alangkah susahnya untuk membuat lapuran, saya tidak akan pergi kepada polis untuk mengadu malah akan berusaha untuk menyelesaikannya sendirian. Setelah membuat segala arahan saya pergi pula ke balai polis Jerteh dengan harapan saya tidak dilayan seperti di balai polis Kampung Raja. Andaian saya silap kerana ianya sama sahaja. Saya terpaksa menunggu hampir dua puluh minit untuk dapat bersuara kerana beberapa anggota polis sedang berbincang sesuatu sesama mereka.

Saya diarahkan duduk di tempat duduk tetamu yang disediakan sementara mereka selesai berbincang. Kalau diikutkan hati mahu saya menegking saja tetapi siapalah saya untuk berbuat demikian. Selepas dua puluh minit berlalu, saya dimaklumkan oleh salah seorang anggota polis bertugas bahawa mereka sudah kehabisan buku report jadi saya terpaksa menunggu sehingga anggota polis yang memegang kunci stor datang dan memulakan tugasnya pada pukul 3.00 petang pada hal masa ketika itu ialah pukul 3.30 petang.

Saya pulang dengan penuh kehampaan dan kepenatan seharian berurusan dengan pihak polis tetapi tiada hasil yang positif. Dari pengamatan saya kebanyakan polis yang bertugas adalah dari penduduk tempatan berdasarkan bahasa percakapan yang saya dengar. Mungkin ini menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi hasil kerja mereka. Sudahlah rumah dimasuki pencuri, duit dan barang hilang, hendak membuat lapuran polis pun susah. Saya sebenarnya bukanlah untuk mencari kesilapan pihak polis tetapi sebagai rakyat biasa saya berhak untuk mendapatkan perkhidmatan pihak polis.

Saya menyeru kepada anggota polis seluruh negara supaya laksanakanlah kerja dengan jujur dan renungkan slogan yang terdapat di setiap balai polis iaitu ‘Mesra Cepat dan Betul’ . Jika slogan ini tidak dapat dilaksanakan janganlah tulis kerana ia hanya memalukan pihak polis yang lain dan mangsanya ialah orang seperti saya ini.

Walaupun inilah kali pertama pengalaman saya berurusan dengan pihak polis tetapi saya dapat menilai samada perkhidmatan itu berkualiti atau tidak dan adakah ia menepati slogan polis yang megah tertera dimana-mana balai polis di seluruh Malaysia.

Saya berpendapat pihak polis yang terlibat tidak wajar berkelakuan sedemikian diwaktu pihak lain sedang berusaha membersihkan imej polis yang teruk terjejas ekoran terlibat dengan krisis politik negara. Saya berharap jika mereka yang berkenaan membaca tulisan saya ini mengambil iktibar supaya tidak berlaku kepada orang lain yang betul-betul memerlukan perkhidmatan polis dan melaksanakan moto kepolisan negara untuk menjamin kemakmuran berpanjangan. Sejak peristiwa ini kepercayaan saya terhadap institusi polis agak terjejas dalam menjalankan perkhidmatannya kepada masyarakat setempat. Sekian.

Pengadu hampa.

Shaharuddin mohamad.
K/p: A14010733

09032001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 11 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com