Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


27 sebab Melayu terpinggir

Oleh Al-Abror Mohd Yusuf
13 March 2001

SEJARAH pernah membuktikan di Pulau Pinang suatu ketika dulu, orang Melayu mendominasi masyarakat dengan kependudukan seramai 16,435 orang (di bahagian pulau). Data rasmi pada 31 Disember 1833 itu hanya mengkhususkan Melayu di kalangan penduduk tempatan dan tidak mengambil kira suku kaum lain seperti Acheh dan Batak.

Namun, sesuai dengan perkembangan zaman, Pulau Pinang tidak mampu berdiam diri, sebaliknya merancang dan melaksanakan pelbagai pelan pembangunan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat seluruhnya.

Pembangunan itu kemudian meminta korban yang mula membimbangkan. Pada 1970, Melayu di Georgetown hanya tinggal 13.8 peratus. Hambatan pembangunan yang dirancang sedemikian rupa meletakkan sebahagian besar Melayu di sini semakin terdesak. Sedikit demi sedikit mereka terpaksa atau merelakan proses migrasi berlaku.

Sebahagian Melayu di Georgetown menjadi peneroka di tanah rancangan tajaan Felda, manakala sebahagian lagi mengungsi ke daerah lebih jauh seperti Seberang Prai, Kulim, Sungai Petani dan sebagainya.

Pada 1973, sekolah kebangsaan Melayu tertua di negeri itu, Sekolah Kebangsaan Kelawei, ditutup apabila bilangan pelajar kurang 10 orang untuk sebuah kelas.

Pembinaan pelbagai pusat pelancongan dan komersial di pesisir pantai di Batu Feringgi, Teluk Bahang, Tanjung Bunga dan Tanjung Tokong sekadar lebih menghimpit survival penduduk Melayu Pulau Pinang. Bagaimanakah mereka mampu mencabar ratusan bangunan tinggi dan mewah (selain pemaju yang turut serakah) jika hanya bergantung kepada tangkapan ikan, gerai atau pekerja bawahan.

Pada awal 1990, berlaku penghijrahan beramai-ramai Melayu ke Pulau Pinang sehingga membawa kepada peningkatan 4.9 peratus kepada 30.4 peratus (351,728 orang berbanding 1,157,000 jumlah keseluruhan) berbanding 1980.

Bagaimanapun, pertambahan ini masih boleh diperbincangkan dan tidak semestinya menjadi berita baik kepada kualiti orang Melayu Pulau Pinang. Berdasarkan keadaan semasa, pertambahan itu lebih disebabkan penghijrahan golongan muda untuk menyertai sektor perkilangan di negeri itu.

Tiada siapa merendahkan sesiapa, rasanya tidak banyak yang boleh diharapkan daripada golongan berkenaan jika faktor kelangsungan survival Melayu yang benar-benar berkesan (dan berkualiti), terutama di pusat bandar, diambil kira.

Di kawasan Parlimen Jelutong dan Tanjung, misalnya, jurang ekonomi, politik dan sosial antara Melayu dan bukan Melayu dianggap begitu ketara walaupun diakui pelbagai pihak yang berkenaan dengan fungsi masing-masing memperjuangkan nasib bangsa ini.

Dekan Pusat Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Amir Baharuddin, dalam kertas kerjanya (1997) menggariskan 27 faktor yang membawa kepada kemiskinan bagi masyarakat Melayu dan bukan Melayu.

Antara punca penyumbang masalah ini adalah:

l. Pengabaian pentadbir

2. Tidak mempunyai peluang seimbang atau gagal bersaing kerana batasan kelulusan akademik/kemahiran

3. Tinggal di tempat yang tidak produktif seperti kawasan tandus atau banjir

4. Pengaruh kuasa wang

5. Ada golongan tertentu yang ‘membunuh’ melalui undang-undang

6. Pemberian pampasan bagi tanah yang tidak wajar oleh pemaju

7. Budaya sosial yang sempit dan mudah berpuas hati

8. Penipuan pihak swasta melalui janji atau percukaian melampau.

Tanpa bersikap prejudis atau memihak, kemelut Melayu Pulau Pinang rasanya memang berkait dengan faktor yang dinyatakan di atas. Soal pertalian itu berlaku secara langsung atau sebaiknya, mungkin masih boleh dipolemikkan, namun sebagai langkah permulaan, pengakuan kepada sumbangan faktor itu diperlukan.

Sebenarnya, untuk tempoh 1970 dan 1975, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang mencatatkan perkembangan 8.3 peratus sebelum melonjak lagi pada kadar 11.2 peratus bagi tempoh 1972 - 1980. Bagaimanapun, berita itu dianggap tidak menceriakan bagi masyarakat Melayu kerana nasib mereka dikatakan terumbang-ambing (Jamelah Bakar, Kepimpinan dan Melayu Pulau Pinang: 1994).

Mengikut bancian kemiskinan pada 1977, sejumlah 51.4 peratus daripada penduduk Pulau Pinang yang berada dalam lingkungan kemiskinan adalah Melayu. Sehingga Disember 1975 pula, Melayu Pulau Pinang hanya memiliki 26,964.36 hektar daripada 51,332.64 hektar tanah yang didaftarkan.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 14 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com