Saya hanya membaca berita Parti Keadilan berhasrat
menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan
melalui Bernama. Rafidah Aziz dilaporkan mengecam
tindakan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang mahu
mengulingkan kerajaan dipilih oleh rakyat menerusi
demonstrasi jalanan selepas merasmikan persidangan
berkelompok Wanita Umno Cawangan dan Bahagian Tebrau,
Johor Baharu.
Pada mulanya, saya menyangka respons Rafidah Aziz ini
hanyalah sekian banyak lawak politik yang sering
diutarakan oleh pemimpin UMNO. Saya menyangka Rafidah
berhasrat untuk menggantikan pelawak-pelawak politik
dalam UMNO selepas Ibrahim Ali dan Rais Yatim, atau
juga barangkali menjadi pelawak politik pertama di
kalangan Wanita itu.
Ini disebabkan oleh, Rafidah dalam berita tersebut
tidak menyatakan sebarang bukti yang menunjukkan
Keadilan benar-benar mahu menggulingkan kerajaan
melalui demonstrasi jalanan itu. Saya tidak tahu, hal
ini disebabkan kegagalan wartawan berkenaan menulis
berita, atau Rafidah sendiri memberi komentar tanpa
berfikir panjang. Bukankah itu ciri-ciri politik Dr.
Mahathir atau Mahathirism, iaitu, bercakap lepas dan
memberikan hujah intelek selepas nada kosong
diutarakan terlebih dahulu?
Selain itu, berada jauh dari tanah air menyebabkan
sekiranya saya tidak melayari laman berita selama
beberapa hari, maka saya mungkin akan ketinggalan
maklumat politik tanah air. Sementelah pula, laman
Tranungkite yang menjadi antara rujukan saya tidak
diperbaharui sempena Idil Adha dan beberapa laman
pro-reformasi yang sedia ada sudah lama saya tidak
kunjungi kerana laman tersebut seolah-olah hidup segan
mati tidak mahu.
Saya telah pun menulis betapa Rafidah bakal menjadi
pelawak pertama di kalangan Wanita UMNO apabila
menyangka Keadilan berhasrat menumbangkan kerajaan.
Justeru, berita terbaru yang saya dapati kemudiannya
mematikan hasrat saya untuk menghantar artikel
berkenaan kepada Tranungkite.
Namun, berita penahanan Ezam Mohd Nor di bawah Akta
Hasutan selepas Zulkifli Alwi, Setiausaha Pemuda UMNO
membuat laporan polis berhubung kenyataan Ezam seperti
dilaporkan Mingguan Malaysia. Akhbar itu menyebut
bahawa Ezam 'mengaku sedang merancang untuk
melancarkan demonstrasi besar-besaran bertujuan
menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat.' Selepas
membaca berita dari Malaysiakini, saya mengambil
keputusan untuk menangguh terlebih dahulu respons saya
terhadap Rafidah Aziz.
Barangkali, Rafidah bukan pelawak politik seperti yang
saya sangkakan. Namun, dalam masa yang sama Rafidah
sendiri saya lihat terkial-kial untuk memulihkan
kembali kreadibiliti Wanita UMNO selepas teruk
dipermain-mainkan oleh Dr. Mahathir semasa era Zaharah
dahulu apabila senarai kabinet Wanitanya ditolak oleh
Dr. Mahathir. Justeru, saya kemudiannya menganggap
Rafidah hanya mahu menangguk di air keruh untuk
memperlihatkan Wanita UMNO masih mempunyai suara atau
juga barangkali juga mahu memperlihatkan kesetiaan
terhadap pemimpin di ambang usia.
Menggulingkan kerajaan tidak semestinya tindakan yang
total salah dan haram. Dalam Islam, makmum boleh
bermufaraqah (bercerai solat jamaah) daripada imam
yang didapati melakukan perkara-perkara yang
membatalkan solat atau Islam itu sendiri. Antara
contoh perkara yang membatalkan solat ialah kentut dan
bercakap selain daripada al-Quran dan bacaan yang
diharuskan. Antara contoh perkara yang membatalkan
Islam ialah menganggap hukum Islam ketinggalan zaman
dan zalim dalam keadaan sedar dan sukarela.
Malah, sejarah menunjukkan ada beberapa kerajaan alias
pemimpin digulingkan kerana kezalimannya. Antaranya
Shah Iran, pemerintah Iran sebelum Revolusi Iran pada
1978. Rakyat kelas bawahan, pengikut Syiah, buruh dan
pelajar bergabung tenaga untuk melancarkan revolusi
terhadap Shah Iran.
Dalam masa yang sama, ada juga di kalangan perdana
menteri atau presiden yang tidak dapat dijatuhkan
melalui pilihan raya berjaya disingkirkan melalui
demonstrasi. Contoh yang terdekat dengan Malaysia
ialah Suharto - selepas tragedi kematian mahasiswa di
Universiti Trisakti dalam demonstrasi anti-Suharto
itu. Tidak sampai 24 jam selepas itu, seluruh Jakarta
terbakar apabila yang memakan korban lebih 1000 jiwa,
40 buah pusat membeli-belah, 2400 buah kedai dan 1100
buah kenderaan. Pada 12 Mei, selepas mahasiswa
mengepung Parlimen, Suharto meletak jawatan.
Justeru, dalam sejarah demokrasi kadang-kala,
demonstrasi jalanan menjadikan proses demokrasi
bertambah baik dan telus. Pihak yang berkuasa berupaya
untuk mengkhianati demokrasi anutannya dalam pilihan
raya dengan melakukan penyelewengan dan penipuan,
tetapi dalam demonstrasi jalanan, kerajaan yang zalim
selalunya tidak menemui jalan lain kecuali kekerasan.
Malangnya, kekerasan inilah yang menyemarakkan
demonstrasi sehingga terkena kembali kepada mereka.
Walau bagaimanapun, saya tidak seratus-peratus
bersetuju dengan teori demonstrasi jalanan sebagai
senjata ampuh untuk menumbangkan kerajaan. Dalam masa
yang sama saya tidak sepenuhnya menolak keberkesanan
demonstrasi ini untuk menumbangkan kerajaan kerana
daripada apa yang berlaku, sejarah membuktikan
kemampuan demonstrasi menumbangkan kerajaan.
Sama ada benar atau tidak Ezzam menyatakan demikian,
saya mengharapkan biarlah mahkamah yang menghukumnya.
Walau bagaimanapun, mahkamah juga perlu telus dan adil
membuat penilaian terhadap isu ini. Mahkamah yang
tidak adil samalah dengan kerajaan yang tidak adil.
Andai kata, kerajaan yang tidak adil menyebabkan
berlakunya demonstrasi jalanan untuk menumbangkannya,
tidak mustahil ketidakadilan di mahkamah bukan saya
menimbulkan krisis keyakinan di kalangan rakyat,
bahkan lebih teruk menyebabkan rakyat mengambil
tindakan sendiri untuk menyelesaikan masalah mereka.
Sesuatu gambar itu barangkali boleh menunjukkan 1000
perkara. Namun, ada beberapa perkara yang tidak dapat
ditunjukkan oleh gambar atau foto. Selalunya,
sebab-musabbab kepada apa yang berlaku gagal
ditampilkan dalam gambar atau foto. Ini menyebabkan
mereka yang melihat gambar tersebut gagal memahami
mengapa sesuatu perkara itu boleh terjadi.
Teori inilah yang digunakan oleh pihak media. Menyebut
Ezam 'mengaku sedang merancang untuk melancarkan
demonstrasi besar-besaran bertujuan menggulingkan
kerajaan yang dipilih rakyat,' barangkali boleh
dianggap tindakan yang bertanggungjawab media
melaporkan sesuatu yang benar. Namun, dalam masa yang
sama, media harus dan wajib menyorot sekiranya benar
Ezam berkata demikian, sebab-musabbab terhadap
pengakuan Ezam tersebut.
Menyebut satu perkara dalam masa menyembunyikan satu
perkara yang lain, bukan tindakan bertanggungjawab.
Tidak menyatakan kebenaran adalah juga suatu bentuk
penipuan. Dengan tidak menyebut suatu perkara
menyebabkan berlakunya interprestasi yang salah.
Puncanya ialah media itulah.
Justeru, saya melihat, kegagalan media untuk menyorot
hakikat yang berlaku dan sikap pemimpin UMNO yang
secepat kilat terus memberikan respons ialah antara
sekian banyak pengkhianatan terhadap rakyat.
Kalau benar Ezam menyatakan demikian, mahkamah harus
menghukumnya. Menimbulkan suasana yang tidak baik dan
buruk adalah suatu tindakan jahat. Namun, dalam masa
yang sama, pihak yang menyebabkan hasrat rakyat untuk
menikmati kehidupan yang lebih baik dan adil terbantut
juga wajib dihukum terlebih dahulu.
Soalnya, siapa yang bertanggungjawab menyebabkan
hasrat rakyat untuk berubah terbantut? Tentulah pihak
yang berkuasa. Siapa lagi kalau bukan parti serba
purba - UMNO!
=====
Hj Mohnas