Bersumberkan dari dalaman JAIS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Pengarahnya, Dato'
Mansur telah mengarahkan satu jawatankuasa yang dibentuk untuk mengakaji seterusnya menggubal
'Falsafah Pendidikan Islam' yang ada yang menjadi dasar dan matlamat pendidikan sekolah-sekolah
rendah dan menengah agama tajaannya. Beliau dikatakan tidak berpuashati dengan slogan falsafah
yang ada kerana pada tanggapannya 'tidak sesuai' dan hanya mendorong melahirkan manusia-manusia
yang 'beragama' yang sekaligus bakal menjadi penentang dan pengkritik kepada kerajaan yang
memerintah.
Falsafah Pendidikan Islam yang ada yang bermatlamatkan melahirkan insan yang berilmu, beramal dan
bertaqwa secara umumnya tidak cukup untuk menepati syarat dan kehendak matlamat negeri maju
menjelang tahun 2005 sehingga seterusnya.
Sejauh mana kebenaran hasrat JAIS ini, rakyat muslim Negeri Selangor bakal menyaksikannya sendiri
bagaimana JAIS akan terus diperalatkan oleh segolongan pimpinan parti politik UMNO demi
mempertahankan survival politiknya di negeri ini. Sebarang penggubalan matlamat dan falsafah
pendidikan sebenarnya bukan sekadar melibatkan slogannya sahaja, bahkan melibatkan keseluruhan
struktur matapelajaran (silibus) yang sedia ada.
Menurut sumber tersebut, langkah penggubalan akan melibatkan juga penggubalan secara menyeluruh
sistem pendidikan agama JAIS yang kini dipercayai natijahnya adalah antara penghalang utama kepada
perlaksanaan dasar kerajaan Barisan Nasional. Ianya juga adalah satu langkah penyelarasan semula
sistem pendidikan agama negeri terhadap Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang baru diperkenalkan
oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan akan dikuatkuasakan kepada pelajar-pelajar
keluaran Sekolah Menengah Agama Kerajaan Persekutuan dan Negeri di mana hanya pemilik STAM
sahaja akan dibenarkan melanjutkan pengajiannya di Universiti Al-Azahar, Mesir. Dengan kata lain,
pelajar-pelajar lepasan sekolah agama tajaan Kerajaan Negeri akan terhalang dari melanjutkan
pelajaran mereka di Universiti Islam tertua itu kecuali memiliki STAM yang hanya boleh diperolehi
melalui sekolah-skolah agama tajaan Kerajaan Persekutuan. Katanya lagi, Universiti Al-Azahar melalui
hubungan politik kerajaan Malaysia-Mesir dipercayai telah bersetuju hanya akan menerima pelajar yang
memiliki STAM sahaja untuk melanjutkan pengajiannya di sana.
Sekiranya benar, apa akan terjadi?
1) Menghadkan bilangan pelajar-pelajar lepasan sekolah agama melanjut pelajaran di Al-Azahar.
2) Menghalang secara tidak langsung pelajar-pelajar sekolah agama tajaan Jabatan Agama Kerajaan
Negeri.
3) Pada jangkamasa panjang, mengecilkan jumlah lahirnya ulama-ulama dan cendikiawan Islam
negara.
4) Mengecilkan jumlah lepasan Al-Azahar yang sebelum ini cenderung kepada mengkritik dan
menentang dasar dan pemerintahan kerajaan.
5) Melemahkan fungsi Jabata-jabatan Agama negeri seluruh negara.
6) Satu usaha meletakkan Jabatan Agama Islam di abwah pengaruh Persekutuan secara menyeluruh.
(BANYAK LAGI YANG BOLEH DITANGGAP DAN DIPERINCIKAN)
Maka, rakyat dikalangan orang-orang Islam di Selangor harus melihat dan perihatin dengan usaha dan
langkah penggubalan yang dirancang oleh JAIS ini yang lebih bermotifkan politik dan bukan berdasarkan
amanah yang diberikan. Sebarang usaha untuk 'menskularkan' sistem pendidikan Islam jika benar,
harus ditentang kerana di sanalah punca segala kerosakkan dan kebinasaan kepada agama.
Ingat peringatan junjungan besar Nabi SAW, "Binasanya agama kerana TIGA; Ahli Feqah (agamawan)
yang jahat, Pemerintah yang Zalim(Jaair) dan Mujtahid yang jahil"
Anak Selangor Perihatin
Khamis
15/3/2001