Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Benarkan ceramah untuk bantu atasi ketegangan

Oleh Roy Rasul

PETALING JAYA, 14 Mac (Hrkh) - Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, menegaskan ceramah yang dianjurkan oleh parti pembangkang, khususnya Barisan Alternatif, tidak mengajak rakyat berpecah atau bertujuan menimbulkan provokasi terhadap mana-mana pihak.

Beliau yang ditemui semasa menyertai rombongan Barisan Alternatif melawat mangsa pergaduhan di Kampung Medan di Pusat Perubatan Universiti semalam, berkata sehingga kini ceramah yang diadakan tidak pernah menyentuh isu-isu sensitif perkauman.

Malah katanya, parti-parti pembangkang yang dianggotai oleh semua kaum di negara ini sentiasa menggalakkan semangat integrasi antara kaum.

"Saya tegaskan bahawa semua ceramah BA tidak pernah menyentuh isu perkauman, dan dalam isu Kampung Medan ini kami (BA) meminta rakyat bertenang dan jangan mudah terpedaya dengan khabar angin," tambahnya.

Sehubungan itu Nasarudin berkata rakyat sewajarnya diberi penjelasan yang sebenarnya mengenai insiden pergaduhan yang berlaku di Kampung Medan.

"Dalam hal ini pihak berkuasa seharusnya mengeluarkan permit untuk pembangkang mengadakan ceramah kerana secara tidak langsungnya perkara ini dapat ditangani semua pihak," katanya ketika diminta mengulas mengenai sekatan ceramah di Selangor buat sementara waktu ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Dato' Nik Ismail Nik Yusuf dalam kenyataannya kepada pemberita di Pusat Perubatan Universiti semalam berkata, mulai hari ini semua ceramah umum ataupun perhimpunan adalah diharamkan di seluruh Selangor.

Beliau berkata sekiranya ada pihak yang mahu mengadakan ceramah maka mereka perlu mendapatkan permit terlebih dahulu.

Katanya juga larangan ceramah ini bertujuan mententeramkan masyarakat setempat yang beradad dalam keadaan tegang ekoran insiden tersebut.

Di samping itu beliau juga mendedahkan bahawa setakat ini pihak polis telah berjaya menahan dua orang yang disyaki menyebar khabar angin mengenai kejadian itu.

Setakat ini, enam orang dilaporkan terkorban dalam insiden berdarah itu.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 15 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com