Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Hina Islam dalam akhbar: PUK minta Jawi bertindak

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Persatuan Ulama Kedah (PUK) hari ini membuat laporan kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi), berhubung dua artikel yang disiarkan akhbar 'The Sun' pada 14 Julai 1999 dan 21 Februari 2001 yang didakwa menghina Islam, mempersenda kitab suci al-Quran dan menghina institusi agama Islam di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua PUK, Haji Nia'mat Yusuf, yang mengetuai rombongan PUK ke sini berkata, dua artikel yang bertajuk 'Now, the the mufti blame Hindi film' yang disiarkan pada 21 Feb lepas serta 'Death for Apostates Unjust', pada 14 Julai 1999 lalu, menggambarkan penulisnya, Akbar Ali, menghina dan mempertikaikan syariat Islam.

Beliau berkata, perbuatan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 7, 8 dan 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Katanya, dalam artikel 'Now, the mufti blame Hindi film' penulis dikatakan seolah-olah memperlekeh dan menghina pemakaian serban yang dipakai oleh orang Islam, khususnya para mufti yang berkuasa mengeluarkan fatwa di negara ini.

"Penulis menganggap para mufti yang memakai serban adalah orang bodoh dan tidak dapat berfikir dengan baik," katanya berhubung artikel tersebut.

Katanya, PUK beranggapan kenyataan itu menghina sunnah Rasulullah. Manakala dalam artikel 'Death for Apostates Unjust' pula, penulis mendakwa hukuman bunuh kepada orang Islam yang murtad tidak ada dalam syariat Islam, bahkan penulis menyifatkan hukuman tersebut adalah zalim.

Menurut Haji Nia'mat, kedua-dua artikel itu sangat berbahaya kepada akidah umat Islam dan boleh menimbulkan kemarahan masyarakat Islam.

"Oleh sebab itu PUK menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan, berasaskan peruntukan Undang-undang Jenayah Syariah bagi memenuhi tanggungjawab untuk mempertahankan kesucian Islam," jelasnya.

Beliau juga kesal dengan tindakan media kini yang tidak menapis berita-berita yang disiarkan, terutamanya yang melibatkan isu agama.

"Masalahnya, pihak media lebih membiarkan orang yang tidak profesional dalam bidang agama, menulis mengenai agama. Siapa saja boleh ulas.

"Sedangkan ia perlu dirujuk pada wahyu dan hadis," tegas beliau ketika ditemui di Pejabat Jawi di Jalan Ipoh, di sini.

Mengulas perkara sama, Setiusaha Persatuan Ulama Malaysia Bahagian Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fadzlah Mohd Salleh, yang mewakili Persatuan Ulama Malaysia dalam rombongan tersebut, berkata PUM turut memberi sokongan atas tindakan PUK itu.

Katanya inisiatif yang dibuat oleh PUK adalah untuk mempertahankan institusi agama agar tidak dipersendakan dengan sewenang-wenangnya.

"Jangan ingat PUM berdiam diri, kami juga ada hak untuk bertindak," tegasnya.

Menurut Setiausaha PUK, Ahmad Tarmizi Sulaiman, rombongan PUK seramai enam orang itu membuat laporan tersebut kepada Ketua Bahagian Pendakwaan Jawi, Aziz bin Mashuri.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 13 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com