Oleh Roy Rasul
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Pimpinan Barisan Alternatif (BA) menyeru kerajaan memberikan maklumat sebenar mengenai pergaduhan yang meragut beberapa nyawa yang berlaku di Kampung Medan, Petaling Jaya, sejak beberapa hari lalu.
Dalam sidang media di Pejabat Parti Rakyat Malaysia (PRM) di Petaling Jaya, Nasaruddin Mat Isa (PAS), Dr Wan Azizah Ismail (KeADILan), Kerk Kim Hock (DAP) dan Dr. Syed Husin Ali (PRM) berkata bahawa mereka melihat seolah-olah ada percubaan sesetengah pihak untuk memandang ringan insiden pergaduhan tersebut.
Malahan menurut Presiden PRM, Dr Syed Husin, yang mewakili pimpinan BA, berdasarkan maklumat yang diperolehi dari sumber-sumber di hospital dan keluarga yang terlibat, jumlah yang terkorban dikatakan lebih besar daripada angka rasmi kerajaan iaitu enam orang.
Ini, katanya, menyebabkan orang ramai lebih mempercayai khabar angin daripada mempercayai laporan yang dibuat oleh polis dan media rasmi kerajaan.
Kepimpinan BN api semangat perkauman
Menurutnya dalam suasana tegang sekarang, pimpinan tertinggi BN perlu berhenti membuat kenyataan yang menyentuh sentiviti kaum.
Beliau juga kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh ADUN BN Taman Medan, Norkhaila Jamaludin, seperti yang dilaporkan oleh media, yang seolah-olah sengaja mengapi-apikan lagi perasaan permusuhan antara kaum. ADUN itu dilaporkan berkata, "...orang Melayu telah lama bersabar, sedangkan orang India terus menyerang kami berkali-kali..."
"Peristiwa buruk yang berlaku di situ hendaklah juga dilihat dari segi pembangunan ataupun ketiadaan pembangunan sosio-ekonomi di situ," kata Dr. Syed Husin.
"Walaupun Taman Medan berada dalam kawasan Petaling Jaya, tetapi kawasannya sangat mundur," katanya.
Kemunduran antara punca pergaduhan
Menurut beliau lagi, dasar dan rancangan pembangunan yang tidak seimbang yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah salah satu faktor menyumbang ke arah masalah sosial di kawasan itu.
Di samping itu BA juga menasihatkan rakyat supaya jangan terpengaruh dengan provokasi daripada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan berikutan peristiwa tersebut.
Sehubungan itu katanya, BA akan menemui Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Badawi, secepat mungkin bagi membincangkan situasi di tempat berkenaan.
"Memandangkan keadaan di sana masih serius, kami harap semua pihak berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.
Beliau berkata, cadangan mengajak pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan satu pertemuan membincangkan insiden di Taman Medan, adalah satu langkah yang terbaik agar peristiwa seperti itu tidak berulang.
Jawatankuasa bersama penduduk
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah jawatankuasa bersama penduduk telah ditubuhkan bagi membantu meredakan ketegangan di peringkat akar umbi yang berlaku di kawasan terbabit.
Jawatankuasa tersebut yang dianggotai oleh PAS, Keadilan dan MIC Cawangan Taman Medan Tambahanmerancang untuk mengadakan beberapa langkah segera untuk tujuan itu.
Dalam mesyuarat yang diadakan di PJ Old Town petang tadi, jawatankuasa bersama itu antara lain bersetuju untuk melawat mangsa kejadian yang kini mendapat rawatan di Hospital Universiti dan menganjurkan majlis pertemuan penduduk di sebuah kawasan lapang berhampiran kuil di Taman Medan bagi membincangkan masalah yang dihadapi serta mencari jalan penyelesaiannya esok.
PAS diwakili oleh YDP PAS Kawasan Taman Medan, Sofian Nordin, Setiausahanya, Mohd Kimi Mahyudin; Keadilan oleh ahli MTnya, Dr Xavier dan MIC oleh Pengerusi MIC Cawangan Taman Medan Tambahan, M. Kumar dan seorang ahli, S. Raja.
Turut hadir ialah Pengerusi Tenaganita, Irene Fernandez dan peguam Sivarasa Rasiah.