Oleh : ‘Ein Azmi
Bahan penerbitan pembangkang dilarang dijual di beberapa kompleks membeli-belah dan pentadbiran di Selangor dan ibu kota atas arahan kerajaan negeri, jelas seorang pegawai pengurusan kompleks itu.
Arahan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu dikeluarkan 14 Februari lalu berbunyi “tuan/puan dilarang sama sekali mengedar atau menjual barang serta bahan cetak yang diedar oleh pembangkang.”
Menurut surat pekeliling Unit Pengurusan PKNS, seseorang penjual di kompleks itu boleh dikenakan denda sebanyak RM500 atau bahan terbitan itu dirampas atau kedua-duanya sekali jika arahan itu tidak dipatuhi.
Pengurus unit itu Junaidah Mohd Yusoff mengesahkan arahan itu kepada malaysiakini hari ini.
Beliau juga berkata pekeliling yang sama telah dikeluarkan kepada semua premis milik kerajaan Selangor seperti kompleks-kompleks PKNS di Jalan Raja Laut dan Wisma Yakin, kedua-duanya di Kuala Lumpur, selain di Shah Alam.
“Sebagai badan kerajaan, kami sepatutnya menyokong dasar-dasar kerajaan serta tidak membiarkan bahan-bahan terbitan yang mengkritik kerajaan,” katanya.
PKNS merupakan badan berkanun yang ditubuhkan di bawah enakmen negeri itu.
Junaidah berkata pemimpin politik negeri itu mendesak apa-apa bentuk penerbitan sama ada majalah atau akhbar yang mengecam kerajaan tidak dibenarkan dijual di situ.
Pekeliling yang sama turut mengarahkan penyewa-penyewa tapak jualan di kompleks itu agar tidak meletakkan barang perniagaan di luar premis.
‘Walau kritikan yang benar’
Sementara itu seorang penerbit bahan-bahan bercetak, Ahmad Lutfi Othman telah mengirim surat bagi memohon penjelasan berhubung arahan yang didakwa berasal daripada Menteri Besar, Datuk Dr Mohamad Khir Toyo.
Surat itu yang dihantar semalam ditujukan kepada Pengawal Pembangunan Jabatan Kemajuan Shah Alam, Jahidin Ahmad setelah Lutfi tidak berpuas hati dengan penjelasan pihak pengurusan kompleks berhubung arahan tersebut.
“Saya berpegang kepada notis tersebut bahawa larangan ‘menjual barang yang diedar oleh pembangkang’ sedangkan saya hanya seorang penerbit persendirian Bumiputera yang tidak ada kaitan dengan atau menerima wang dari pembangkang,” kata Lutfi.
Menurutnya, pihak pengurusan PKNS pernah memaklumkan kepadanya bahawa “walaupun kritikan atau teguran yang benar” terhadap kerajaan yang disiarkan dalam sesuatu bahan penerbitan masih tidak dibenarkan.
Lutfi menjelaskan, akhbar-akhbar yang diterbitkan oleh syarikatnya Penerbitan Pemuda berjaya dijual sehingga 1,000 naskhah setiap bulan kerana kompleks tersebut merupakan tumpuan khalayak pembaca Melayu yang agak besar.
..........................................................
Petikan Malaysiakini