Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Siapa Bush Sebenarnya ?

Oleh FAISAL TEHRANI

MAKA akhirnya George W Bush Junior pun mengambil alih kerusi Presiden dan menduduki Rumah Putih menggantikan Bill Clinton yang akan dikenang kerana kepesatan ekonomi dan skandal seksnya. Umum mengetahui Al Gore, tewas tipis, terlalu tipis kepada Bush. Amerika hampir-hampir menjadi sebuah negara yang berpecah belah kerananya.

Persaingan pilihan raya Presiden tahun lalu menyaksikan satu kacau bilau politik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Amerika. Ia sudah pasti akan dimasukkan ke dalam teks sejarah dan di sini pimpinan negara dan media tempatan kebanyakan terang-terang mendokong Bush dengan alasan Al Gore pernah menghina Malaysia (dibaca: Gore menyokong gerakan reformasi) sementara umat Islam Amerika memilih calon parti Republikan kali ini iaitu Bush kerana calon Naib Presiden Demokrat ialah seorang berbangsa Yahudi.

Bush pun mengangkat ikrar sebagai Presiden. Dan dunia kembali kepada zaman lebih lapan tahun lalu bila bapanya pernah memerintah Amerika dengan membawa beban hutang dan mengganyang negara Iraq (yang mana Malaysia ikut menyokong resolusi untuk membunuh sekian ramai rakyat negara tersebut).

Namun tidak ramai rakyat Malaysia yang benar-benar mengetahui fiil Bush Jr ini. Ada seribu satu fakta menarik tentang Presiden Amerika yang baru ini. Katakan dua kali lima dengan bapanya, dua kali lima dengan Gore, malah mungkin jauh lebih merosakkan dari Clinton.

Pada 4 September 1976, kereta Bush dikatakan terhuyung-hayang ke tebing jalan sebelum masuk bergerak semula di atas jalanraya, kebetulan sebuah kereta patrol polis negeri telah menahannya dan Bush didapati mabuk dengan kadar alcohol .10. Beliau mengaku salah dan didenda, lesennya digantung. Bush waktu itu berusia 30 tahun di mana kata Bush kemudiannya, beliau telah berhenti menjadi alkoholik sebaik sahaja mencecah 40 tahun.

Apabila Fox TV menyiarkan berita ini empat hari sebelum pengundian, Bush menafikannya malah kem Bush mengatakan Bush membawa kereta dalam keadaan perlahan serta hanya meneguk beberapa tin bir di sebuah pub waktu itu. Bush yang sangat marah malah menuduh Demokrat membuka cerita karut ini.

Tidak ubah seperti Clinton sebetulnya, Bush memang mempunyai sejarah berdolak-dalik terhadap segala jenayah dan kesalahan yang dilakukan. Pertama kali Bush berbohong di sidang akhbarnya pada 11 Mac 2000 dengan mengatakan dia membayar denda serta-merta sedangkan beliau sebenarnya dihadapkan ke mahakamah sebulan setelah penangkapan beliau itu. Bush mendakwa beliau membayar samannya selepas itu juga di balai polis sedang terdapatnya dokumen menyatakan Bush memang dihadapkan ke mahkamah.

Dalam tahun 1978, Bush ke mahakamah sekali lagi untuk mendapatkan lesen memandunya semula dan mendakwa beliau cuma minum bir sebulan sekali meski beliau tidak habis berkursus di sebuah kem pemulihan bagi alkoholik. Kemudian dalam tempoh lapan tahun beberapa kali Bush ada menyatakan yang beliau seorang peminum yang berat tetapi telah berubah ketika usia meningkat 40 tahun. Pertentangan kenyataan ini menampakkan lagi dolak-dalik seorang politikus. Beliau juga malah pernah berbohong kepada siaran Dallas Morning News mengenai penahanan beliau tersebut dalam tahun 1998.

Mungkin berbohong perkara biasa bagi seorang ahli politik tetapi bagaimana kalau seorang Presiden yang amat riang untuk berparti setiap malam dan memiliki sejarah melakukan keganasan di kolej? Seperti Gore Bush adalah graduan sekolah elit dari timur, dalam hal ini beliau adalah kelahiran kolej Andover Prep dan Yale. Menurut profil majalah Newsweek, Bush ketika berada di Yale lebih banyak menghabis masa minum di Deke House. Beliau menyertai satu kelab rahsia elit bernama Skull and Bones dalam tahun 1968. Kelab ini keanggotaannya ketat dan khusus untuk anak-anak elit berparti dan melakukan pelbagai kerja tidak berfaedah zaman remaja.

Sebagai Gabenor Texas pula, Bush selalunya mengerahkan polis negeri untuk menahan demonstran aman di luar rumahnya dengan alasan merreka mengganggu pejaalan kaki sedangkan gabenor terdahulu tidak pernah berbuat begitu.

Bush juga nampaknya tidak begitu tabah mendepani kritikan melalu internet. Kempennya secara senyap telah membeli domain nama lebih 200 laman internet yang menghina dan mengkritiknya termasuk “bushsucks.com”, “bushbites.com”, dan “bushblows.com”. Jika kita menaip URLs ini, ia tidak semena-mena membawa kita kepada laman rasmi Bush. Namun masih ada satu dua laman yang mengkritik Bush yang baik dikatakan tertinggal seperti di “bushisaprick.com”, “bushisweak.com”, atau “bushsucksdonkeydicks.com”.

Lebih buruk, peguam-peguam Bush cuba menutup satu laman beralamat di www.gwbush.com sebanyak dua kali yang memparodikan jawapan tiada komennya mengenai penglibatan dalam penyalahgunaan dadah. Bush dikatakan pernah berkata tak mengapa apa yang pernah kita buat, yang penting ialah adakah kita sudah berubah dan matang serta mengakui salah kita itu. Laman ini telah memparodikan yang semua penagih dadah sebagai mereka yang matang.

Kempen Bush mulai marah dengan laman ini dan cuba menutupnya sebanyak dua kali iaitu pada April dan Mei 1999. Kemudian Bush dikatakan menyifatkan kebebasan di internet sebagai sesuatu yang mesti dihadkan. Kebebasan ada had dan orang yang mengerjakan laman tersebut sebagai sampah.

Semasa mudanya Bush telah menggunakan kedudukan bapanya sebagai ahli Kongres dan datuknya yang merupakan bekas senator untuk mengelak dari terlibat dalam Perang Vietnam dengan menyertai unit Staudt 147 pengawal kebangsaan, unit yang dikatakan melindungi anak-anak ahli politik dari dikerah ke Vietnam. Lebih buruk dari Clinton kerana sepanjang itu Bush diterbangkan dengan jet kerajaan untuk mengadakan satu dating dengan Tricia anak Presiden Nixon waktu itu.

Sejarah bail out juga pernah menimpa Bush. Bush pernah mengasaskan dan memimpin sebuah syarikat minyak Arbusto Inc (Arbusto bermaksud Bush dalam bahasa Spanish) di awal tahun 80 an. Bush merupakan Presiden dan bapanya Bush juga, Naib Presiden. Namun perniagaan minyak tersebut entah bagaimana sangat teruk dan ia pelaburan merugikan. Sebuah syarikat Spectrum 7 Energy Corporation segera membeli Arbusto dalam bulan September 1984, merupakan sebuah firma minyak yang dipunyai oleh Presiden Reagan dan Bush (bapanya) serta rakan mereka William Dewitt dan Mercer Reynolds.

Syarikat itu menjadikan Bush sebagai presiden dan kehilangan 400 ribu dalam tempoh enam bulan dan bankrap setelah dua tahun dan terpaksa pula dibeli oleh sebuah syarikat lain Harken Energy Corporation. Bush mendapat pelbagai keistimewaan dengan Harken antara lain pemberian faedah dan juga mendapat manfaat dari kontrak menggerudi minyak di Bahrain.

Pemberian kontrak ini mengejutkan kerana syarikat lebih berpengalaman seperti Amoco sendiri dinafikan. Ini hanyalah secebis dari cerita manfaat yang didapati apabila ayahnya berada di Rumah Putih kerana antara lain Bush dikatakan menjual saham di Harken dua bulan sebelum Iraq masuk ke Kuwait kerana dipercayai sumber perisikan memberitahu bapanya yang Saddam tidak lagi boleh dikawal.

Bush juga dikatakan kaki perempuan dan pernah terlibat dengan dua hubungan seks sekali setelah berkahwin dengan Laura, sebelumnya dengan seorang perempuan yang dikatakan sudah berkahwin. Larry Flynt, pemuka majalah porno US sendiri pernah menuduh Bush membuat hubungan denagn salah seorang girl friend nya hingga terpaksa menggugur anak. Tuduhan Flynt ini ada dilaporkan di CNN tetapi segera dicantas termasuk ayat tuduhan tersebut ditarik balik dari laman CNN beberapa hari setelah ke udara.

JH Thompson pula dikatakan ada menulis sebuah buku dengan tiga sumber bebas yang rapat dengan keluarga Bush mengenai penglibatannya dengan kokain tetapi kemudian orang-orang Bush telah menjatuhkan kredibiliti penulis ini dengan mendedahkan Thompson sebagai salah seorang bekas banduan yang bersubahat untuk membunuh bekas bosnya.

Meski Thonpson terlibat dengan jenayah tetapi ini tidak bemakna sama sekali yang beliau tidak layak untuk melakukan kajian tentang Bush dan menulis mengenainya. Bush sendiri tidak pernah menafikan penglibatannya dengan kokain terutama ketika zaman remajanya yang penuh dengan parti liar.

Memerhatikan gelagat Bush menyebabkan kita terpana dan tidak merasa hairan kenapa segelintir pemimpin di sini beria-ia menamakan Bush sebagai Presiden dan media mengharap beliau untuk merubah apa yang dikatakan hubungan diplomatik dengan AS yang sedikit dingin.

Sumber lebih jelas di http://www.geocities.com/CapitolHill/3750/bush.htm. Artikel “The Sons Also Rise”, oleh Evan Thomas, Newsweek, 16 November 16, 1998 dan “Like Most, I'm Amazed” (Bush diinterbiu Howard Fineman), Newsweek, November 16, 1998. Artikel “2 Democrats: Bush Let Guard Down”, oleh George Lardner Jr. dan Howard Kurtz di Washington Post, 3 November 2000 dan “The Governor's Sweetheart Deal”, oleh Robert Bryce, The Texas Observer, 30 January 1998.

......................................................
Petikan Detik Daily


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 15 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com