Oleh Wartawan Detikdaily
Bagi mengelak rakyat percaya khabar angin tragedi Kampung Medan
PETALING JAYA – Tragedi hitam di Kampung Medan jelas menunjukkan kegagalan BN mentadbir masyarakat berbilang kaum di negara ini, sekali gus membuktikan profesionalisme pihak polis dan agensi perisikan pada tahap yang boleh dipersoalkan.
Sepatutnya pihak keselamatan dapat membendungnya dari awal, jika keutamaan diberikan terhadapnya. Dan bukannya disibukkan dengan isu-isu keselamatan yang diada-adakan seperti tindakan menekan pembangkang termasuk menahan beberapa aktivis BA dan menggagalkan perhimpunan rakyat.
Ia juga membuktikan betapa perlunya isu perpaduan nasional didahulukan, sepertimana yang disuarakan pemimpin BA, berbanding isu perpaduan Melayu yang dimomokkan Umno.
Setelah lima hari kejadian pergaduhan yang mengakibatkan beberapa kematian terus berlaku di beberapa kawasan perumahan di Jalan Kelang Lama, pimpinan tertinggi Barisan Alternatif (BA) menyeru Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya “berhenti daripada membuat kenyataan bercorak perkauman yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.”
“Beberapa kenyataan yang dikeluarkannya akhir-akhir ini sangat tidak bertanggungjawab dan tidak patut terbit dari mulut seorang pemimpin negara,” kata kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Dr Wan Azizah Ismail, Presiden keADILan; Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS; Kerk Kim Hock, Setiausaha Agung DAP; dan Syed Husin Ali, Presiden PRM.
Menyifatkan suasana hubungan kaum di Malaysia kini “agak tegang”, kenyataan BA yang dibacakan oleh Syed Husin Ali pada 12 Mac, mencadangkan satu pertemuan diadakan antara pemimpin BA dengan pemimpin Barisan Nasional (BN), untuk membincangkan masalah perpaduan nasional, dan sekaligus mencari penyelesaian peristiwa pergaduhan itu.
“Kami lihat keadaan di sana masih serius dan belum reda lagi,” kata kenyataan tersebut, yang mempersoalkan kesahihan kenyataan rasmi pihak berkuasa. "Dari sumber hospital dan keluarga terdekat, bilangan kematian lebih besar dari yang diumumkan kerajaan."
“Kami melihat seolah-olah ada percubaan dari sesetengah pihak hendak mengecil-ngecilkan peristiwa yang berlaku,” katanya lagi, sambil menambah: “tidak ada gunanya kita menyembunyikan bilangan orang yang terbunuh.”
Dan bagi mengelak orang ramai daripada mempercayai berita-berita angin, kenyataan itu seterusnya menyeru pemerintah supaya “berani memberikan maklumat yang benar.”
Oleh kerana peristiwa ini meletus di kawasan yang serba mundur walaupun berada di pinggir pusat kemajuan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, maka BA turut menyatakan: “Inilah contoh akibat buruk dasar dan rancangan pembangunan negara yang tidak seimbang. Kemudahan sosial sangat teruk. Masalah perumahan serius. Ramai orang muda menganggur. Banyak pusat pelacuran, perjudian, minuman keras dan wujudnya kumpulan samseng."
Sebelum itu, Ahad, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang menyifatkan kejadian tersebut sebagai tragedi paling buruk sejak 32 tahun lalu. Beliau menyeru PM segera memanggil persidangan jawatankuasa muhibah semua parti, di peringkat kebangsaan dan negeri, bagi mengelak ketegangan etnik itu merebak ke daerah-daerah lain.
Lim menegaskan kebimbangannya adalah berdasarkan tiga kejadian baru yang didapati berlaku di luar kawasan asal, iaitu di Jalan Gasing, Kelana Jaya dan Sungai Way. Berdasarkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Jamil Johari, katanya, ketiga-tiga peristiwa tersebut mempunyai kaitan dengan pergaduhan yang berlaku sebelumnya.
Lim juga menyatakan kesal kerana Presiden MIC, Samy Vellu bersikap seperti tidak berupaya bertindak secara positif ke atas kejadian tersebut, apabila beliau menangis sewaktu melawat mangsa di Hospital Universiti Malaya, dan berkata: “Semua orang bertanya saya apa nak buat. Saya tak boleh buat apa-apa pada masa ini kecuali menangis.”