Pada malam tadi satu program ceramah malam Jumaat yang merupakan siri program
ceramah mingguan telah diadakan di kediaman Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Program itu telah dihadiri oleh sekitar 1000 orang penyokong. Antara pimpinan
yang hadir adalah YB Abdul Rahman Yusuf, YB Saifuddin Nasution, Sdr. Ezam Mohd
Nor dan Sdr. Tian Chua.
Program dimulakan dengan solat Maghrib diikuti dengan bacaan Yaasin berjemaah.
Selepas itu tazkirah agama disampaikan oleh Sdr. Yusri Muhammad yang juga selaku
pengerusi majlis. Sebaik sahaja masuk waktu Isyak, hadirin telah menunaikan
solat Isyak disusuli dengan solat hajat. Selesai solat Isyak, ceramah dimulakan
dengan didahului oleh YB Abdul Rahman Yusuf dengan perkembangan terkini mengenai
sidang Parlimen dan isu-isu semasa. Penceramah berikutnya adalah YB Saifuddin
Nasution, yang telah menekankan tentang betapa pentingnya usaha menyampaikan
maklumat yang benar tentang penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan dan
kroni-kroni BN.
Sdr. Ezam merupakan penceramah yang terakhir dan beliau telah menceritakan
tentang pengalaman beliau sewaktu ditahan reman oleh pihak polis selama 8 hari.
Menurut beliau, pada malam beliau ditangkap yang juga merupakan malam hari raya
Aidil Adha yang lalu, beliau baru sahaja tiba di rumah Datin Seri Wan Azizah
untuk membincangkan suatu perkara yang mustahak. Rayuan beliau berkali-kali
untuk dibenarkan berjumpa dengan Datin Seri Presiden tidak diendahkan oleh pihak
polis. Pada malam itu beliau telah dibawa ke IPK Kuala Lumpur di mana beliau
dilokapkan.
Pada keesokan harinya, iaitu hari raya Aidil Adha, beliau daripada pagi lagi
telah disoal-siasat oleh pihak polis berhubung isu 'menggulingkan kerajaan'.
Sdr. Ezam menegaskan kepada pihak polis bahawa beliau telah bercadang untuk
memfailkan saman bernilai jutaan ringgit terhadap akhbar Utusan Malaysia
berkenaan isu tersebut dan sekiranya mereka terus menyebut tentang soal itu,
mereka (polis) juga akan menerima nasib yang sama. Selepas itu, mereka beralih
pula kepada isu demonstrasi di mana sekali lagi Sdr. Ezam telah dengan berani
menekankan bahawa itu adalah merupakan hak bagi semua rakyat dalam sesebuah
negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Sesi soal-siasat berlanjutan selama
dua hari sehingga mana pihak polis kehabisan isu untuk dibangkitkan.
Pada hari keempat iaitu hari tahanan reman pertama Sdr. Ezam tamat, beliau telah
dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di mana beliau telah direman lagi
selama empat hari. Beliau memberitahu bagaimana pihak polis dan pendakwa telah
bertelagah sesama sendiri kerana menahan beliau walaupun bukti untuk membuat
pendakwaan belum ada. Beliau kemudiannya mendapat tahu bahawa itulah punca
perintah sambung reman ke atasnya dikeluarkan.
Pada hari-hari berikutnya, anggota-anggota polis telah dikerah supaya
mendapatkan kaset-kaset ceramah Sdr. Ezam dan mendegarnya untuk mendapatkan
sebarang bukti untuk membolehkan beliau tetap didakwa. Menurut Sdr. Ezam lagi,
setelah mendengar ceramah-ceramah beliau, ada di antara anggota polis tersebut
yang telah berubah dari segi perwatakan serta layanan mereka terhadap beliau.
Beliau juga diberitahu oleh salah seorang daripada mereka bahawa mereka telah
gagal mendapatkan sebarang bukti yang boleh digunakan untuk mendakwa beliau
kecuali satu insiden yang mungkin boleh dipergunakan untuk mendakwa beliau di
bawah Akta Hasutan, iaitu ketika beliau berucap di Pusat Latihan ABIM suatu
ketika dahulu, walaupun itu tidak mampu dijadikan asas yang kukuh untuk
pendakwaan.
Setibanya hari yang kelapan, beliau telah dibawa ke Mahkamah Majistret dan
didakwa di bawah Akta Hasutan dengan berasaskan kepada laporan polis yang dibuat
oleh Zulkifli Alwi berhubung kenyataan yang kononnya dibuat oleh Sdr. Ezam dalam
akhbar Mingguan Malaysia yang mengatakan bahawa beliau mengajak rakyat
berdemonstrasi untuk menggulingkan kerajaan. Bukan itu sahaja, ikat jamin yang
dikenakan pada mulanya adalah RM50000. Hakim sendiri kemudiannya menjelaskan
yang beliau menetapkan ikat jamin tersebut disebabkan arahan oleh pihak atasan
sedangkan beliau sendiri menyedari yang jumlah itu tidak munasabah sama sekali
memandangkan denda maksimum yang boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan
tersebut hanyalah RM5000. Oleh itu, setelah dirayu, hakim telah menurunkan
jumlah ikat jamin kepada RM5000. Demikianlah sedikit sebanyak cerita pengalaman
Sdr. Ezam yang sempat diceritakannya ketika ceramah malam tadi.
Pada lebih kurang jam 12:15 pagi kesemua hadirin bersurai.
Webmaster Pemuda KeADILan Malaysia
==
Webmaster Pemuda KeADILan