Kota Bharu - 11 Mac 2001. Hari ini merupakan hari yang bersejarah untuk rakyat
Negeri Kelantan Darul Naim. Awal-awal lagi YB Sdr Mahfuz Omar telah tercegat di
Hotel Ansar sebelum jam 3.00 petang, titik pertemuan Pemuda Barisan Alternatif
Negeri Kelantan seperti yang dirancangkan. Selepas pembahagian kumpulan dibuat,
satu kumpulan yang diketuai oleh YB Mahfuz telah bergerak ke arah Stesyen Bas di
Pusat Bandar. Satu lagi kumpulan yang bergerak ke arah Pasar Besar lama pula
dipimpin oleh YB Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan bersama
dengan Sdr Mohd Zamakh Sari Ibrahim, Ketua Pemuda KeADILan Kelantan.
Dalam masa sekitar 2 1/2 jam, kesemua 4,000 risalah yang telah dibawa telah
selesai diedarkan satu helai satu orang oleh pemimpin dan penyokong Pemuda
Barisan Alternatif Kelantan. Di penghujung gerakan tersebut, YB Sdr Mahfuz
sempat menyampaikan ucapan dengan menggunakan pembesar suara kepada rakyat
Negeri Kelantan yang sedang membeli-belah dan berehat di Dataran Majlis
Perbandaran Kota Bharu. Pemimpin dan petugas yang agak keletihan petang tadi
mengakhiri program mereka dengan menghilangkan dahaga mereka di Restoran Mutiara
Corner berhadapan dengan Pejabat PAS Negeri Kelantan. Sdr Lokman Adam yang tidak
dapat hadir sama mengedarkan risalah petang tadi kerana menghadiri Kolokium
Setiausaha KeADIlan telah sampai di Lapangan Terbang Kota Bharu sekitar jam 7.15
malam.
Tepat jam 9.15 malam, Pengerusi Majlis, Sdr Mohd Zaki Ibrahim telah memulakan
Majlis Program Ceramah Perdana sempena Pelancaran Gerakan Menyelamatkan Wang
Rakyat Peringkat Negeri Kelantan dengan bacaan Ummul Kitab. Tirai ceramah pada
malam tadi telah dimulakan dengan ucapan wakil Pemuda Barisan Alternatif
Kelantan, YB Sdr Takiyuddin Hassan diikuti dengan pemidato pertama yang mewakili
NGO iaitu Sdr Shaari Sungip. Pidato Perdana tersebut telah diteruskan dengan
ucapan Sdr Johnson Chong yang mewakili PRM diikuti oleh Sdr Lokman Adam yang
mewakili KeADILan dan diakhiri dengan ucapan YB Sdr Mahfuz Omar.
Sekitar 40,000 hingga 50,000 rakyat Negeri Kelantan membanjiri Padang Perdana
Kota Baharu walaupun hampa kerana tidak dapat mendengar ucapan Sdr Ezam yang
masih dilokap oleh regim zalim Dr. Mahathir. Hadirin yang cukup bersemangat
jelas berpuas hati dengan ucapan berapi pimpinan Pemuda Barisan Alternatif yang
hadir. Program tamat tepat jam 12.00 tengah malam.
Webmaster Pemuda KeADILan
==
Webmaster Pemuda KeADILan