Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Seluruh rakyat Terengganu perlu sokong Hisbah

Persidangan Belanjawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang diadakan pada akhir tahun 2000 telah meluluskan Rang Undang-undang Hisbah. Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak memberi sokongan kepada undang-undang tersebut oleh kerana kononnya mengikut mereka fungsinya akan bertindih dengan agensi lain yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pusat seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dan Polis.

Pada hemat saya undang-undang ini amat perlu diadakan kerana dengan tertubuhnya Jawatankuasa Hisbah maka rakyat Terengganu menilai ketulusan dan kejujuran Kerajaan Barisan Alternatif (BA) pimpinan PAS yang bersungguh-sungguh mahu menangani perkara-perkara yang bertentangan dengan penyelewengan, salah guna kuasa dan salah laku supaya hak awam akan terus dipelihara dan terbela. Justeru itu rakyat Terengganu hendaklah menyokong sepenuhnya penubuhan Undang-Undang Hisbah ini.

Banyak perkara dan angkara yang telah dilakukan oleh kerajaan BN selama 25 tahun yang lalu. Saya sendiri di waktu menjadi wakil rakyat dahulu telah membuat banyak laporan kepada pihak BPR berkait salah laku dan penyelewengan yang dilakukan oleh pimpinan Kerajaan lalu tetapi setakat ini tiada satu tindakan pun yang diambil walaupun buktinya sahih dan benar.

Melalui Jawatankuasa Hisbah ini perkara-perkara tersebut dapat dihidupkan semula dan siasatan dibuat dengan rapi dan tindakan diambil untuk membawa yang bersalah ke pengadilan mahkamah. Tiada siapa yang boleh terlepas dan dilepaskan atas salah laku serta penyelewengan kuasa yang mereka lakukan semasa mereka berkuasa dahulu.

Laporan-laporan rasuah, salah laku dan penyelewengan kuasa yang dilaporkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada pihak polis dan BPR terhadap mereka yang berkuasa dalam Kerajaan Pusat juga dibekukan begitu sahja. Ini bukan bermakna mereka akan lepas dari tindakan mahkamah. Pemimpin akan berubah dan kerajaan juga akan berubah. Maka di waktu itu tindakan terhadap mereka mestilah diambil.

Hari ini mereka ada "kekebalan" kuasa tetapi jika keadaan berubah dan mereka tidak berkuasa lagi maka tindakan mesti diambil jika mempunyai bukti kukuh.

Saya mahukan Jawatankuasa Hisbah membuat kajian dan siasatan di atas kes-kes tersebut di bawah ini yang melibatkan penyelewengan dan salah laku serta salah guna kuasa yang dilakukan oleh pimpinan negeri yang lalu termasuk:-

a. Penutupan sebahagian sungai Telemong di Hulu Terengganu dan dibina sungai baru untuk menyelamatkan hakisan air terhadap tanah Lot 2166 seluas lebih kurang 20 ekar kepunyaan isteri seorang pemimpin Kerajaan BN yang lalu.

Pembinaan sungai baru ini dibuat di atas tanah orang miskin (kampung) Lot 2165 (8.92 ekar) tanpa mendapat kelulusan tuan-tuan tanah dan tanpa membayar pampasan semasa pembinaan dibuat. Selepas kes ini dibawa ke pengetahuan umum barulah wang pampasan dibayar.

b. Pembelian Saham Larut Tin berjumlah RM11 juta di mana pimpinan itu telah mengarah pembelian dibuat dengan harga RM2.20 sesaham walhal harga sebenar ialah 0.55 sen sesaham sahaja. Ini telah disahkan sendiri oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Audit beliau yang dibentang di Dewan Undangan Negeri (DUN). Semasa saham dibeli, Larut Tin berkerugian sebanyak RM23 juta (Laporan tahun 1987).

c. TDMB dibeli dengan harga RM9.2 juta pada tahun 1986 tanpa mendapat kelulusan FIC dan CIC terlebih dahulu. Pihak badan tersebut hanya meluluskan pembelian dengan harga RM4.5 juta sahaja. Ini bermakna wang lebihan bayaran berjumlah RM4.7 juta hendaklah dipulang balik kepada perbendaharaan negeri. Sehingga hari ini wang tersebut belum dibayar balik.

d. Satu siasatan rapi dan mendalam hendaklah dilakukan atas perjalanan Perbadanan Menteri Besar (PMB) di mana pimpinan negeri mempunyai kuasa mutlak mentadbir Badan ini. Saya difahamkan tiada satu pelaburan yang dibuat melalui Tabung ini beroleh keuntungan. Angka terakhir yang saya perolehi menunjukkan kesemua pelaburan yang dibuat "mati" dan berkerugian melebihi RM110 juta. Semua pelaburan ini dibuat melalui wang royalti minyak rakyat Terengganu.

Saya harap selepas siasatan kes-kes itu dibuat, laporan hendaklah diumumkan kepada rakyat supaya rakyat tahu di mana dan ke mana wang royalti minyak dibelanjakan oleh Kerajaan lalu.

Lawatan ke luar negara oleh pemimpin-pemimpin Kerajaan sekarang juga telah dibangkitkan oleh parti pembangkang dalam persidangan DUN tersebut. Saya harap pihak Kerajaan juga mengemukakan lis-lis lawatan yang dibuat oleh pemimpin BN sewaktu mereka berkuasa dahulu. Apa yang saya tahu pemimpin kerajaan dahulu telah membuat lawatan yang begitu kerap ke luar negara dan ada kalanya membawa isteri dan rombongan yang besar dalam lawatan-lawatan tersebut. Saya harap Kerajaan Negeri boleh memberi jumlah angka perbelanjaan keseluruhan lawatan tersebut untuk makluman rakyat Terengganu.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 28 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com