Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Belanjawan 2001 bukan Khayalan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan menolak dakwaan belanjawan Terengganu 2001 sebagai belanjawan khayalan sekaligus mempertahankannya sebagai belanjawan sebenar. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian, dan Sumber Manusia Haji Mustafa Ali, ketika menggulung perbahasan belanjawan di sidang DUN berkata, memasukkan anggaran royalti minyak tahun 2000 sebanyak RM560 juta bukanlah satu khayalan. "Sehingga ini baik PETRONAS mahupun Kerajaan Pusat masih belum menyatakan secara rasmi pembatalan atas royalti itu," katanya.

Rompakan

Menurutnya, sepanjang sejarah Terengganu mendapat royalti sejak tahun 1978, semua wang royalti PETRONAS itu dimasukkan terus ke dalam khazanah negeri. Apabila berita rompakan royalti tersiar, Kerajaan Negeri menulis surat kepada PETRONAS meminta penjelasan, tetapi hingga ini Kerajaan belum menerima jawapan. Haji Mustafa berkata, tiada maklumat rasmi mengatakan royalti itu dihentikan. "Duit royalti itu akan masuk juga ke khazanah Kerajaan, tetapi soal cepat atau lambat," jelasnya.

Soal wang masuk atau tidak ada satu hal lain, tetapi kaedah membuat belanjawan ialah ada anggaran sumber. Belanjawan pusat juga dibuat demikian. Wangnya kadang-kadang tidak ada juga, tetapi jangkaan terpaksa dibuat. Menyentuh soal rompakan royalti dan memecah perjanjian, Haji Mustafa mengibaratkan perjanjian antara suami isteri yang dihasut oleh mertua. Beliau mempersoalkan sama ada sanggup atau tidak ikatan suami isteri dibatalkan kerana angkara mertua.

Beliau menyamakan negeri Terengganu sebagai isteri dan PETRONAS sebagai suami kerana PETRONAS yang memberi wang. "Biasalah suami memberi wang kepada isteri," katanya. Tiba-tiba mertua melarang anaknya memberi wang kepada isterinya, dan suami itu takut kepada bapanya. "Kesnya bukan apa, semata-mata kali ini menantu pakai baju hijau. Mertua tidak melarang bila menantu berpakaian biru. Tiba-tiba menantu pakai hijau, maka mertua pun marah," jelasnya sebagai perbandingan dengan Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh Barisan Alternatif (BA) pimpinan PAS . Beliau lalu mencabar pembangkang di negeri Terengganu supaya memainkan peranan menentang kekejaman yang dilakukan kepada Terengganu.

Balak

Menyentuh tentang perolehan balak, beliau menyatakan bahawa hasil untuk negeri lebih banyak dari dulu kerana ia tidak masuk ke poket lain. Premium kayu kini dinaikkan lima kali ganda dan para pembalak tidak membantah kerana dulu pun mereka kena bayar lima kali ganda juga. Walaupun premium dulu murah, tetapi yang dibayar kepada pihak lain kira-kira sama banyak dengan premium sekarang. Haji Mustafa berkata, ini adalah maklumat yang disampaikan oleh pembalak-pembalak kepadanya.

Tender

Menjawab dakwaan kononnya pimpinan Kerajaan Negeri banyak dapat balak, beliau menolaknya sama sekali kerana jawatankuasa tender balak terdiri dari Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan beliau sendiri. Walaupun beliau yang lebih banyak mengendalikan perkara itu, kalau hendak dituduh pun maka beliaulah yang boleh dituduh. Tetapi beliau menyatakan bahawa perkara itu tidak berlaku.

Haji Mustafa memberitahu bahawa dari empat nama penerima balak yang disebutkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Rasol Wahid, tiga adalah orang UMNO sendiri. "Dalam zaman PAS memerintah, orang UMNO pun boleh dapat balak juga, tetapi dalam zaman UMNO berkuasa, orang PAS nak pergi bawah pokok balak pun tak boleh. Itulah bezanya antara kerajaan PAS dan kerajaan UMNO," kata Haji Mustafa.

Mencabar

Haji Mustafa kemudian menceritakan antara nama yang dapat balak itu datang berjumpanya menyatakan dia sanggup bersemuka dengan salah seorang ADUN BN semasa menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dulu dikatakan bertemu dengan tauke balak. Orang itu dikatakan mengaku mengatur pertemuan. Haji Mustafa dalam sidang keesokan harinya mencabar ADUN itu untuk bersemuka dan ADUN itu menyatakan bahawa beliau bersetuju.

Haji Mustafa juga dalam ucapan penggulungan itu menyoal kebijaksanaan ADUN BN Seberang Takir Dato’ Abdul Rashid Ngah ketika menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dahulu, atas sifatnya sebagai Pengerusi anak syarikat Yayasan Terengganu, sanggup membeli tanah seluas 498 ekar bersebelahan kubur Cina di Semenyih, Selangor dengan harga RM46 juta. Dato Abdul Rashid tiada dalam Dewan ketika itu. Haji Mustafa menyatakan kehairanannya bagaimana tanpa satu keterangan yang jelas tanah dibeli dan hingga ini Kerajaan terpaksa membayar bunga pinjaman bank.

Penjelasan

Haji Mustafa juga mempertikai kejadian ADUN BN Kemasik, Dato’ Mohamad @ Abu Bakar Ali sebagai pengerusi sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri menerima cek sejumlah RM300,000 dari pihak lain yang beliau juga menjadi salah seorang penanda tangannya. Dato’ Abu Bakar bangun membantah seolah-olah itu tuduhan terhadapnya tetapi Haji Mustafa berkata, beliau tidak menuduh tetapi mahukan satu penjelasan tentang satu cek yang ditemuinya, dan cek itu Dato’ Abu Bakar menerima dan ditandatanganinya. "Ia boleh menimbulkan sangkaan tidak baik, pertama orang boleh tuduh ada satu perkara tidak baik berlaku atau orang juga boleh kata dia tahu selok belok pengurusan," jelasnya.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 24 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com