KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah, Haji Harun Taib berkata, Kerajaan akan melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud sedikit masa lagi. Baginya pelaksanaan Islam di Terengganu sudah berjalan walaupun kerajaan baru belum meminda perlembagaan. Haji Harun menjelaskan demikian ketika menggulung perbahasan Ucapan Belanjawan Terengganu 2001 baru-baru ini. Dalam perbahasan tersebut wakil Barisan Nasional (BN) dan PAS membangkitkan soal bila masanya undang-undang hudud akan dilaksanakan dan apa halangan melaksanakan Islam.
Haji Harun menjelaskan, pelaksanaan Islam sudah mula berjalan walaupun perlembagaan sekarang tidak dipinda. Beliau hairan mengapa kerajaan dulu mengabaikan pelaksanaannya dengan alasan tidak ada kuasa. Beliau berkata, Kerajaan Baru Terengganu adalah menyambung tugas para nabi dan menjadi tanggungjawabnya untuk membebaskan rakyat, pegawai-pegawai kerajaan, pelajar dan lain-lain dari dosa dan azab neraka. Langkah-langkah diambil untuk membebaskan Kerajaan dari amalan riba.
Dengan perlembagaan dan kuasa yang ada, Kerajaan sekarang cuba menghapuskan amalan riba seperti mengenakan pinjaman tanpa riba untuk membeli rumah, kenderaan dan komputer. Untuk menyelamatkan para pelajar dari riba, pinjaman melanjutkan pelajaran juga tidak dikenakan bunga, cuma dikenakan sedikit bayaran perkhidmatan. Mengulas kejadian rampasan royalti Haji Harun berkata, ini adalah langkah untuk melumpuhkan Kerajaan.
Dengan royalti lima peratus itu, jika tidak diganggu banyak perkara boleh dibuat dan jika royalti yang PAS pernah tuntut supaya menjadi 20 peratus, maka sudah tentu Kerajaan boleh membebaskan rakyat Terengganu dari kemiskinan. Haji Harun juga menafikan ada imam dan amil yang dipecat sejak setahun kerajaan baru. "Apa yang berlaku ialah imam dan bilal yang disenaraikan untuk dipecat sekiranya kerajaan dulu berkuasa, telah diselamatkan oleh kerajaan sekarang. Khidmat mereka diteruskan," jelasnya.
Beliau juga menyebut betapa bantuan kepada ibu tunggal diteruskan. Tetapi mana-mana ibu tunggal yang kahwin, maka bantuan itu dihentikan kerana mereka sudah bersuami. Bagaimanapun ia bergantung kepada pendapatan suaminya pula, jika pendapatan suami itu kurang, maka permohonannya akan ditimbang. Mengenai pemilihan jawatankuasa masjid, Haji Harun menyebut bahawa Kerajaan mahu ahli-ahli jawatankuasa dipilih oleh anak qariah dan memberi peluang kepada semua pihak menjadi ahli jawatankuasa.
"Moga-moga mereka boleh bersatu dengan dasar Islam yang diperkenalkan," jelasnya. Haji Harun juga menafikan ada wakil rakyat diberi tauliah, tetapi tidak menafikan ada wakil-wakil rakyat yang menyampaikan khutbah. Baginya tidak salah bagi wakil rakyat yang ada kebolehan menyampaikan khutbah.