Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Terengganu negeri contoh

Oleh SUHAIMI TAIB

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan keluar sebagai negeri terbaik jika dibandingkan dengan semua negeri di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sekiranya Terengganu dapat menangani segala masalah dan cabaran yang dihadapi dengan sokongan rakyat yang bertanggungjawab bersama mendokong Kerajaan.

Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, segala program yang terkandung dalam manifesto pilihanraya umum lalu jika dilaksanakan akan memberi Terengganu peluang untuk menjadi contoh suatu pentadbiran yang telus, adil dan bermaruah.

Ketika berucap di Majlis Pertemuan, Dialog dan Ramah Mesra Idul Fitri dengan anak Terengganu di perantauan anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri di Kediaman Seri Iman, Batu Burok di sini 29 Disember lalu, beliau menyenaraikan kekuatan Terengganu sebelum ini yang tercatat dalam sejarah. Katanya, Terengganu merupakan Kerajaan Negeri yang terakhir dijajah oleh Penjajah Inggeris di saat negeri-negeri lain dijajah oleh orang asing itu.

Ini kerana dasar pemerintahan Islam yang dilaksanakan sejak Sultan Zainal Abidin III menjadi perisai ketahanan umat untuk mempertahankan Negeri Terengganu. "Jika ditanya kepada rakyat Terengganu yang umurnya menjangkau lebih 60 tahun, mereka boleh menceritakan praktikalnya pelaksanmaan Islam di Terengganu di zaman itu," jelasnya. Katanya, Terengganu juga merupakan negeri pengasah bakat politik dengan meletakkan tokoh-tokoh besar politik negara zaman dahulu yang terdiri dari pejuang-pejuang kemerdekaan, bertanding sebagai calon Parlimen tahun 1959.

"Mereka termasuk Allahyarham-Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin Hilmi, Hassan Adli dan ramai lagi," katanya. Bagaimanapun kemenangan Barisan Alternatif (BA) pimpinan PAS tahun 1999 berbeza dengan kemenangan PAS dalam tahun 1959. Kemenangan Kerajaan Baru ialah atas sokongan rakyat seluruh negeri termasuk yang berada di perantauan. "Mereka itu pulang beramai-ramai mengundi BA sehingga kemenangan besar 28 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu dan semua lapan kawasan Parlimen di menangi BA," ujarnya.

Sementara itu Terengganu merupakan pemangkin ekonomi Malaysia kerana dari perut buminya bertakung sumber petroleum yang menjadi hasil ekonomi terbesar Malaysia. Oleh itu sumbangan Terengganu terhadap negara perlu diambil kira oleh semua pihak dan hak royalti petroleum perlu dikembalikan dengan cara sewajarnya sebagaimana perjanjian dibuat antara Kerajaan dengan PETRONAS.

......................................
Warta Darul Iman


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 16 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com