Kuala Terengganu: Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya seluruh rakyat jelata tidak mencemari Idul Fitri dengan budaya dan perlakuan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam. Sebaliknya Baginda mengajak supaya masing-masing memenuhi hari kemenangan itu dengan perhiasan yang dibenarkan oleh Islam seperti yang terkandung di dalam Al-Quran dan hadith. Titah Sultan Mizan itu terkandung di dalam Titah Perutusan baginda sempena ketibaan Idul Fitri tahun 1421 Hijrah pada 27 Disember lalu.
Dalam titah itu, Sultan Mizan mengajak rakyat merenung sejenak nasib saudara sesama Islam di Palestin, Chechnya, Bosnia Herzegovina dan lain-lain. Mereka dihimpit penderitaan huru-hara, hidup bermandikan darah dan menjadi pelarian di negara sendiri. Mereka hidup bertemankan airmata, tersiksa secara fizikal dan mental semasa dan selepas berpuasa di bulan Ramadhan.
Baginda mengajak kita membandingkan dua suasana yang berbeza, nasib malang saudara kita di negara lain dan kemakmuran yang menjadi milik kita di sini boleh mencetuskan sebesar-besar kesyukuran kepada Allah kerana hidup aman dan damai. Baginda juga menyeru yang berbeza pendapat, sempena hari raya ini bersatu dengan mengatasi sengketa, yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan dan yang rapat kita mesrakan. Berikut perutusan baginda sepenuhnya:
"Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd."
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita bersyukur kehadrat Allah S.W.T. kerana telah memberi kekuatan dan kesedaran kepada kita semua sehingga membolehkan kita melaksanakan rukun Islam yang terpenting iaitu berpuasa di bulan Ramadhan. Beta dan Permaisuri mengucapkan syukur kehadrat Allah S.W.T. kerana telah melimpahkan rahmat dan inayahnya, dengan memberi peluang sekali lagi menyambut ketibaan 1 Syawal 1421 Hijrah, bersama-sama rakyat Beta, khususnya muslimin dan muslimat semua.
Sesungguhnya hari raya adalah syiar kemenangan dan kejayaan umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Ianya merupakan lambang perjuangan umat Islam dalam menghadapi serta mengharungi dugaan dan rintangan yang mencabar ketahanan, kejituan dan kekuatan iman kita di bulan Ramadhan. Bersempena dengan kemenangan tersebut, sudah sewajarnya umat Islam memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah kerana dapat merayakan Idul Fitri ini, yang disulami keinsafan dan keriangan. Pada hari ini, amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan di antara satu sama lain serta mengetepikan pertikaian dan perbezaan pendapat adalah amalan yang sangat dituntut oleh Islam.
Ibadat puasa yang baru sahaja kita jalani itu, sebenarnya mengandungi pelbagai hikmat dan dipenuhi ciri-ciri positif. Justeru Allah telah menyediakan dua kegembiraan bagi orang-orang yang mengerjakannya dengan penuh keikhlasan, iaitu:
i) Kegembiraan di dunia semasa berbuka puasa.
ii) Kegembiraan di akhirat semasa melihat balasan Syurga.
Di sepanjang bulan Ramadhan, kita telah sama-sama menghayati malamnya dengan pelbagai ibadat sunat di samping meninggalkan pelbagai jenis amalan yang boleh mencacatkan atau mengurangkan pahala puasa dengan menjaga seluruh pancaindera kita dari melakukan perkara-perkara yang dibenci oleh Allah S.W.T. Hendaknya kita semua mengekalkan keadaan ini di sepanjang waktu dan tidak sahaja dipraktikkan di bulan Ramadhan.
Suka Beta mengingatkan muslimin muslimat sekalian agar meraikan Idul Fitri ini dengan kesyukuran, keinsafan, ketakwaan dan keimanan kepada Allah. Marilah kita semua melupakan perselisiham faham dan menjalinkan hubungan sillaturahim di antara kita. Eratkan tali persaudaraan dan sillaturahim, yang jauh kita dekatkan, yang dekat, kita rapatkan dan yang rapat, kita mesrakan. Marilah kita semua berkasih sayang kerana Allah dan juga sebaliknya, iaitu jika terselit rasa kebencian di antara kita, juga kerana Allah, bukan berdasarkan nafsu semata-mata. Tali pengukur atau neraca yang kita guna dalam menjalani kehidupan yang berliku ini adalah bersandarkan perintah-perintah Allah S.W.T. yang terkandung di dalam Al-Quran dan hadith.
Bersempena dengan ketibaan Idul Fitri ini, kita juga patut rasa bersyukur kerana sekali lagi kita diberi peluang oleh Allah S.W.T. untuk sama-sama bergembira dan menikmati pelbagai nikmat Allah S.W.T. Janganlah kita cemari perayaan besar ini dengan budaya-budaya dan perlakuan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam. Cuba kita renung sejenak, nasib yang menimpa saudara seagama kita yang dihimpit penderitaan dan huru-hara, hidup bermandikan darah dan menjadi pelarian di tanah air sendiri, contohnya di negara Palestin, Chechnya, Bosnia dan sebagainya.
Mereka hidup bertemankan air mata dan terseksa secara fizikal dan mental sebelum, semasa dan selepas berpuasa di bulan Ramadhan. Perbandingan dua suasana yang berbeza ini, iaitu nasib malang saudara kita di negara lain dan kemakmuran yang menjadi milik kita di sini, boleh mencetuskan sebesar-besar kesyukuran kita ke atas limpah rahmat Allah S.W.T. ke atas kita, kerana dikurniakan hidup yang aman dan damai dibumi bertuah ini.
Oleh itu, marilah kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang diberi petunjuk dan hidayah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat yang kekal abadi. Akhirnya, Beta serta Permaisuri dengan ikhlasnya mengucapkan Selamat Menyambut Idul Fitri, Minal’idil Walfaizin.
"Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh."