Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Qurban Perdana Sempena Idul Adha

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri akan menganjurkan Qurban Perdana dengan menyediakan 1,000 ekor lembu jenis Brahma dari Australia untuk disembelih di Telok Ibai, Chendering di sini pada Idul Adhha. Pengerusi Jawatankuasa Qurban Perdana Haji Saiful Bahari Mamat berkata,"ia merupakan produk pelancongan altenatif dimana mereka ini berpeluang melancong sambil beribadat di negeri Terengganu selari dengan imej Kerajaan di bawah kepimpinan ulama".

Katanya, Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sendiri akan mengimamkan sembahyang sunat hari raya, menyampaikan khutbah dan tazkirah, selain memulakan acara penyembelihan qurban atau aqiqah selepas itu.

Haji Saiful Bahari yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan berkata demikian ketika membuat satu kenyataan akhbar di sini baru-baru ini. Iklan berhubung dengan majlis qurban itu disiarkan dalam Warta keluaran ini. Haji Saiful Bahari berkata, ia juga bertujuan untuk mengembalikan Idul Adhha seperti zaman Rasulullah s.a.w. dengan bersembahyang di tengah padang, menghimpunkan semua lapisan rakyat. Di samping itu juga ia bertujuan meraikan kejayaan umat Islam dan kegemilangan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. Majlis yang dijangka menarik perhatian umat Islam dalam dan luar negeri itu akan membuka peluang untuk melihat sambutan hari raya di Pantai Timur yang meriah dengan budayanya yang tersendiri, hidangan kuih-muih dan acara qurban serta kerjasama rakyat Terengganu sambil melancong di negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, beberapa acara sampingan turut disediakan kepada para peserta, seperti pertandingan golok atau pisau cantik dan cabutan bertuah dengan hadiah tiket pergi-balik umrah dan bercuti ke beberapa destinasi menarik di Terengganu dan hamper. "Pihak kami menyediakan hampir 1,000 ekor lembu jenis Brahma dari Australia dengan kadar berat 250-300 kilogram seekor dengan bayaran hanya RM250 bagi satu bahagian untuk qurban atau aqiqah," jelasnya.

Penyertaan dibuka mulai sekarang dengan mengisi borang yang disediakan dan resit bayaran akan dihantar selepas bayaran dibuat. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu dengan menelefon 09-6231957 sambungan 2257 & 2258 atau menghantar surat ke alamat Tingkat Atas U2, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), Wisma Darul Iman, 20503 Kuala Terengganu.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 10 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com