Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Daya Urus mengurus Wisma Darul Iman

Oleh ZANALIZAM AHMAD

JIKA melihat bangunan Wisma Darul Iman yang tersergam indah dan terpacak kukuh di tengah bandar Kuala Terengganu, sudah pasti terfikir di benak kita bahawa bangunan sebegitu moden tentu memiliki pengurusan bangunan yang baik agar status sebagai pusat pentadbiran kerajaan dijaga dengan sewajarnya.

Untuk mengurus bangunan setinggi 17 tingkat bukan suatu yang mudah kerana ia memerlukan kepakaran dan sistem pengurusan bangunan yang berinovasi supaya pengendaliannya menjadikan bangunan itu terurus dan tidak menimbulkan masalah yang membahayakan nyawa kakitangan dan harta benda Kerajaan.

Kerajaan telah mengamanahkan tugas ini kepada sebuah syarikat bumiputera yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang pengurusan bangunan iaitulah: Daya Urus Sendirian Berhad (Daya Urus). Syarikat ini mempunyai Misi Korporat: "Pengurusan bangunan adalah bidang niaga kami, kami komited untuk memberi khidmat yang berkualiti dengan menitikberatkan kepuasan orang ramai. Kami memberi penekanan ke atas penggunaan teknologi terkini di mana kehendak pelanggan adalah budaya kerja kami".

Daya Urus Sendirian Berhad telah dianugerahkan ISO 9001 daripada Bureau Veritas Quality International (BUQI) pada 18 November 1997 kerana kejayaan dan kecemerlangannya dalam menjalankan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan. Daya Urus merupakan anak syarikat UDA. Mula beroperasi di Wisma Darul Iman semenjak tahun 1986 sehinggalah sekarang. Wisma Darul Iman merupakan satu-satunya bangunan bistari yang terdapat di Pantai Timur dengan menggunakan sistem outomasi berkomputer.

Daya Urus berfungsi sebagai satu badan yang menjalankan tugas-tugas menyelia, memantau dan memberi arahan tentang pengurusan bangunan kepada kakitangan-kakitangannya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Hal ini termasuklah menyelenggara semua sistem dalaman bangunan di samping mengendalikan majlis-majlis yang dianjurkan oleh pelbagai pihak di Wisma Darul Iman.

Daya Urus pada awal pengendaliannya menawarkan khidmat kawalan keselamatan di mana semua bahagian keselamatan Wisma Darul Iman diuruskan olehnya. Bagaimanapun, pada 16 September 2000, kawalan keselamatan telah diasingkan dan dikendalikan oleh syarikat-syarikat lain. Pengurus Daya Urus cawangan Terengganu Leftenan Kolonel (B) Abdul Ghani Hussein menyatakan satu ketika dulu, bidang pengurusan bangunan adalah satu perkara baru di Terengganu.

Bagi memastikan wujudnya sebuah organisasi yang kukuh dan mantap, perlunya sebuah perhubungan yang mesra di antara kakitangan, tidak kira di peringkat bawahan mahupun atasan. Katanya, untuk memberikan tunjuk ajar bukan satu perkara yang mudah. Setiap kakitangan perlu dididik dengan nilai-nilai murni berteraskan al-Quran dan al-Hadis.

Daya Urus mempunyai kakitangan seramai 30 orang, dimana 26 orang kakitangan di tempatkan di Wisma Darul Iman dan seramai empat orang lagi di Menara Yayasan Islam Terengganu. Menyentuh tentang pengambilan kakitangan, Daya Urus menitikberatkan pengambilan anak-anak Negeri Terengganu sendiri agar kemahiran pengurusan dan kerja dimanfaatkan untuk kebaikan mereka.

Daya Urus mempunyai beberapa keistimewaan yang menjadikannya begitu gah dan unik dibandingkan dengan syarikat-syarikat lain. Kakitangan Daya Urus mempunyai kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang sama ada dalam bidang pengurusan, pertukangan mahupun elektrik. Kemahiran ini begitu penting untuk mewujudkan sebuah pengurusan bangunan yang menyenangkan penghuni-penghuninya.

Daya Urus juga sentiasa mengadakan perjumpaan atau dikenali sebagai "himpunan Pagi" pada setiap hari bagi membincangkan apa jua permasalahan yang timbul. "Himpunan Pagi" juga membincangkan tentang soal jawab agama dan tazkirah sebagai peringatan kepada semua kakitangan Daya Urus. Selain itu, kakitangan Daya Urus didedahkan dengan kursus-kursus agama sebagai panduan hidup di dunia dan akhirat, contohnya seperti Kelas Bahasa Arab dan lain-lain.

Abdul Ghani berkata, masalah pekerja adalah masalah yang biasa. Ianya perlu dihadapi oleh sesebuah syarikat dan terserah kepada majikan menyelesaikannya dengan cara yang terbaik tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan. Sehubungan itu hubungan yang baik perlu diwujudkan di kalangan kakitangannya.

Kakitangan Daya Urus mempunyai disiplin yang cukup tinggi dalam menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Bagi Eksekutif Kanan Daya Urus, Puan Noorizan Mohamed menyatakan beliau merasa cukup berbangga dikurniakan kakitangan-kakitangan yang tidak pernah membantah setiap kerja yang diarahkan. Kemesraan yang terjalin di antara mereka adalah cukup padu dan erat.

Sesungguhnya, Daya Urus tidak mungkin sampai ke tahap hari ini, tanpa sokongan dan komitmen dari semua pihak. Daya Urus bagaikan sebuah keluarga yang saling memerlukan kerjasama untuk meneruskan kegemilangan bersama. Pengurus Daya Urus mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana masih memberikan kepercayaan dan harapan kepada organisasinya untuk memberikan perkhidmatan sebaik mungkin.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 10 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com