Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


YPU ubah dasar kepada kaedah Islam

KUALA TERENGGANU: Selaras perubahan dasar kerajaan, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah mengubah dasar tabung bantuannya mengikut kaedah Islam ialah kepada skim Pinjaman Tanpa Faedah (PTF). Dalam dasar sebelumnya Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mengenakan faedah antara satu hingga sembilan peratus bagi skim modal teroka, Skim pinjaman langsung, skim kredit pusingan dan skim pemfaktoran. Dalam dasar baru pinjaman tanpa faedah, semua skim tadi telah ditukar menjadi al-Murabahah, al-Mudharabah, al-Ijarah dan al Qardul Hasan. Mengikut laporan YPU, sambutan dari para usahawan sangat menggalakkan. Sehingga bulan Oktober lalu terdapat sebanyak 278 permohonan untuk mendapat bantuan di bawah skim baru itu. Bagaimana pun setakat bulan itu 20 permohonan telah diluluskan dengan nilai pinjaman melebihi RM1 juta.

Rasional dasar baru itu menurut YPU, ia sebagai satu usaha YPU dalam membantu usahawan yang menghadapi kekurangan modal serta memberi pilihan kepada usahawan dalam mendapatkan pembiayaan yang berlandaskan Islam dan tidak melanggari hukum syara’. Ia juga dapat mengurangkan beban para usahawan dengan kadar caj atau keuntungan yang rendah serta syarat yang lebih mudah berbanding dengan pinjaman di institusi kewangan lain dengan kadar faedah yang tinggi.

Ia juga satu usaha YPU bagi meningkat keuntungan usahawan melalui pengurangan kos belian stok atau bahan mentah dengan cara bayaran tunai yang tepat pada masanya. Bayaran tunai dapat diskaun yang lebih tinggi daripada pembekal berbanding pembelian secara kredit. Menurut Wan Zawawi Ismail, Pengurus Besar YPU, skim kemudahan PTF ini memberi pinjaman sehingga RM150,000 dengan jangka masa bayaran balik tidak melebihi 48 bulan. Ia juga tidak mengenakan sebarang cagaran.

Sektor keutamaan ialah perkilangan dan pembuatan, pertanian dan ternakan, perkhidmatan dan perdagangan serta progrem francais. Pinjaman al-Murabahah ialah pinjaman yang berasaskan jual beli barangan, bahan mentah atau peralatan perniagaan di mana YPU akan membeli barangan atau peralatan tersebut daripada pembekal dan kemudiannya menjual kembali barang atau peralatan dengan harga yang tertangguh.

Pinjaman al-Murdharabah pula merupakan pembiayaan dalam bentuk usahasama antara pihak YPU sebagai penyumbang modal dan usahawan selaku pengusaha yang mengendalikan perniagaan mengikut kaedah perkongsian keuntungan. Pembahagian keuntungan akan dibuat mengikut kadar yang dipersetujui antara kedua-dua pihak. Pinjaman Al-Ijarah ialah dalam bentuk penyewaan peralatan, YPU akan membeli peralatan yang diperlukan oleh pemohon dan memajak atau menyewakannya kembali kepada pemohon tersebut.

Pinjaman Al-Qardhul Hasan ialah pembiayaan yang disediakan bagi mendapatkan wang tunai untuk menampung kekurangan modal pusingan atau menampung kos-kos pentadbiran.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 10 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com