Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pendedahan akaun Kerajaan Kedah tinggal kosong

KUALATERENGGANU: Ketika pimpinan Kerajaan Pusat menempelak kerajaan baru Terengganu tidak pandai mentadbirkan kewangan negeri lalu dirampasnya royalti minyak, mereka tidak sedar betapa baki akaun tetap semasa Kerajaan Negeri Kedah tinggal kosong ringgit. Fakta rasmi ditemui dalam salah satu dokumen belanjawan Negeri Kedah yang dibentangkan dalam sidang belanjawannya baru-baru ini. ADUN Kedah yang baru dari Lunas, Saifudin Nasution mendedahkan ini di hadapan beribu-ribu rakyat Terengganu dalam ceramahnya di Majlis Memperingati Badar Al-Kubra di Stadium Nasaruddin di sini malam Nuzul Quran baru-baru ini. Turut berucap ialah Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Haji Muhamad Sabu.

Ketika Menteri Besar Kedah sekarang mengambilalih, wang yang ada hanya cukup untuk gaji sebulan setengah untuk kakitangan kerajaan dan hutangnya kepada Kerajaan Pusat pula sekitar RM1.2 bilion dua kali ganda dari hutang Kerajaan yang ditinggalkan oleh kerajaan BN Terengganu dulu. Tiada bukti pimpinan Kerajaan Baru Negeri Terengganu tidak tahu mentadbirkan kewangannya, tetapi telah terbukti sekarang Kerajaan Kedah tidak mampu mentadbirkan kewangan hingga baki wangnya kosong ringgit.

Dia mengibaratkan nasib Kerajaan Terengganu dan menyifatkan langkah kerajaan pusat merampas royalti minyak dan terus menanggung hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan lalu sama seperti kahwin dengan janda (kerajaan lama) kerana terpaksa menanggung semua beban yang ditinggalkan tetapi harta ditinggalkan semua diambilnya. Haji Muhammad Sabu pula menyatakan tragedi royalti minyak itu bukan sekadar menyakitkan rakyat Terengganu saja, malah sakitnya dirasakan oleh sekalian rakyat Malaysia.

Beliau menyebut bahawa dua buah kerajaan pimpinan PAS di Kelantan dan kerajaan baru Terengganu ditegakkan atas asas mewujudkan satu tamaddun yang sempurna bukan sebuah kerajaan yang ditegakkan atas kekuasaan raja, kehebatan senjata dan kekuatan tentera. Model tamaddun ini diambil dari kerajaan Madinah yang dibentuk oleh Rasulullah di tengah kehebatan kuasa Rom, Parsi dan Makkah. Semua kerajaan itu ditegakkan atas kekuatan senjata, tentera dan keperkasaan maharaja masing-masing. Tetapi pentadbiran yang berasaskan tamaddun atau peradaban itu telah melumpuhkan kuasa Rom, Farsi dan juga Makkah.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 10 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com