Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Politik diskriminasi Putra Jaya

Oleh Subky Abdul Latif

SAMA ADA minyak Terengganu bertelaga berdekatan pantainya atau jauh ke tengah laut yang masih dikira Terengganu, masih operasinya dari daratan. Oleh kerana tiada krisis politik dan undang-undang ketika minyak mulai ditemui lebih 20 tahun lalu, maka Terengganulah pusat operasinya hingga ia bergelar Kuwait Malaysia. Malah ada tanda-tanda minyak bertakung di dasar laut wilayah Kelantan, tetapi kerana krisis diskriminasi dipaksakan ke atas Kelantan, maka negeri itu tidak muncul sebagai pengkalan pengeluaran minyak.

Ada khabar minyaknya sudah ditimba tetapi ditempayankan di Thailand, malah ada yang menyebut ia dicurahkan ke tangki-tangki yang sedia ada di Terengganu. Ada khabar pernah minyak di dasar laut Kelantan itu cuba dipengkalankan di Besut sebagai usaha memencilkan Kelantan, dan pernah Kelantan melamar kerjasama KUB mengendalikan pengeluaran minyak itu moga-moga ia boleh memanfaatkan tanah daratan Kelantan. Lamaran kerjasama itu suatu diplomasi politik, tetapi ia adalah gambaran diskriminasi dan kepungan politik yang tidak terbuka sepanjang urusan minyak di negara ini.

Urusan operasi minyak dielakkan dari Kelantan kerana Kerajaan Kelantan tidak menganut politik Kerajaan Pusat. Ia boleh dilarikan ke Terengganu kerana dewasa itu Terengganu dalam lengkongan daerah pengaruh politik Kerajaan Pusat. Tetapi kemudiannya Terengganu terkeluar dari pengaruh atmospera politik Pusat, maka pekung diskriminasi yang disembunyikan itu pecah membuak berikutan dengan krisis royalti sejak September lalu.

Royalti

Royalti boleh dilarikan tetapi pengkalan minyak di Kertih terlalu berat untuk dilarikan. Macam percubaan Jerman mencuri khazanah purba Taman Tergantung Babilon tetapi patung singa yang tersergam dan terlalu berat tinggal di Babilon. Yang lain semuanya dibangunkan di Berlin Timur, seolah-olah Berlin Timur itulah Babilon. Pengkalan PETRONAS di Kertih itu adalah seperti patung di Babilon, bagaimana hendak memindahkannya?

Nabi Sulaiman ada jin menjadi hamba, boleh memindahkan istana Puteri Balqis dalam sekelip mata atau dongeng Aladin ada lampu ajaib boleh mengalihkan sebuah mahligai dari tempatnya ke tempat tumpangan. Maka dimanakah PETRONAS hendak mencari jin memindahkan Kertih ke negeri yang selamat?

Jin-jin yang ada boleh memindahkan pusat operasi itu tetapi ia tidak terdaya memindahkan bangunan-bangunan di Kertih itu. Bukan suatu yang mustahil bangunan-bangunan PETRONAS di Kertih dikosongkan. Seolah-olah manusia berhati perut dan diskriminasi lebih suka melihat bangunan itu diwarisi oleh para jin dari terus dikekalkan bagai sumber ekonomi bagi Negeri Terengganu?

Ia boleh dikekalkan kiranya peluang ada bagi politik Kuala Lumpur menguasai semula Terengganu. Tetapi peluang itu tidak dapat diduga, maka logiknya biarlah Terengganu ditukar menjadi Yaman yang bangsat setelah lama menjadi Kuwait yang mengasyikkan. Kerja-kerja sudah bermula untuk menjadikan Gebeng di Kuantan sebagai pengkalan tambahan pengeluaran minyak. Apakah ia akan menggantikan pusat operasi di Kertih? Atau ia sebagai tambahan bagi mengelakkan Kertih terlalu sesak?

Peranan

Gebeng adalah bersebelahan dengan pelabuhan Kuantan. Ia sudah tentu strategik dan ada praktikalnya. Setakat ini Kemaman sudah menjadi pelabuhan pengkalan minyak yang dikeluarkan di Terengganu. Dan bila Gebeng membangun nanti maka pelabuhan Kuantan dengan sendirinya lebih berperanan. Malah dalam rangka menggabungkan pelabuhan Kemaman dan pelabuhan Kuantan, maka kedua Gebeng dan Pelabuhan Kuantan akan lebih penting. Yang menjadi tanda tanya, apakah perkembangan di Gebeng dan penggabungan dua pelabuhan itu adalah usaha awal untuk mengalihkan Pengkalan Kertih ke situ?

Semuanya tidak mustahil. Jika pemberian royalti dengan segala perjanjian yang dimeterai itu dikira suatu kesilapan Kerajaan Pusat, maka menjadikan Kertih sebagai pengkalan PETRONAS juga sudah jadi satu kesilapan. Malah mungkin memberitahu minyak dijumpai di pantai Terengganu dulu juga satu kesilapan? Bukankah banyak khabar mengatakan minyak juga bertakung di pantai Kelantan. Tetapi kerana tidak ada apa-apa pengumuman tentang penemuan minyak di situ, maka sampai sekarang orang tidak tahu yang Kelantan negeri minyak.

Walaupun ada anggapan bahawa Kelantan telah dinafikan haknya, maka dengan tidak memberitahu ia ada minyak, orang mengira cakap-cakap itu sebagai khabar-khabar angin saja. Maka memberitahu Terengganu ada minyak dulu adalah kesilapan. Maka apa lagi kesilapan selepas ini? Perhatian sekarang ialah tidak mustahil pusat minyak di Terengganu itu dialih secara sistematik ke Pahang kerana ia setakat ini menganut politik yang sama dengan politik Putra Jaya. Jika jin yang diperintah oleh Nabi Sulaiman tadi boleh mengalih istana Puteri Balqis sekelip mata, maka jin sekarang mengalih sedikit demi sedikit.

Tetapi sampai bila hendak berpolitik seperti ini? Takutkan Kelantan menggunakan faedah minyak untuk pengaruh politiknya, maka segala usaha dibuat mengumpulkan kekayaan itu ke Terengganu. Untuk satu waktu ia berjaya. Tetapi akhirnya Terengganu sendiri jatuh ke tangan orang lain. Apabila Terengganu sudah berdua dengan Kelantan, maka kerja-kerja dibuat pula untuk mengalihkan khazanah itu ke Pahang. Kononnya ia boleh diselamatkan.

Adalah dipercayai kerja pemindahan itu sudah difikirkan sejak lama. Masalahnya sekarang ialah ketika Gebeng dibangunkan, Pahang pula beroleh lapan ADUN PAS. Ia mungkin tinggal beberapa orang selepas ini dan mungkin bertambah. Dan bagaimana kalau Pahang juga selepas dibangunkan jatuh juga seperti Terengganu? Apakah PETRONAS dihumban pula ke negeri lain?

Dan Pahang adalah tempat yang tidak selamat. Dari lebih banyak wang PETRONAS digunakan untuk menjadikan Gebeng pengkalan baru yang selepas ini belum tentu dapat dikekalkan dalam pengaruh politik Putra Jaya, maka lebih baik difikirkan pengkalan itu dibina di negeri yang lebih selamat.

Setakat ini Johor adalah negeri yang selamat. Ia ada pantai timur dan Johor mulai sekarang boleh dimasukkan sebagai negeri Pantai Timur. Minyak yang ditemui di Terengganu itu bolehlah selepas ini disebut ditemui di pantai timur. Maka menempatkan pengkalannya di Johor masih memanfaatkan pantai timur.

Mungkin Johor tidak terganggu tahun 2004 ini memandangkan suasananya agak kebal. Tetapi apakah ia kebal selama-lamanya? Kalau Terengganu yang juga kebal selama 30 tahun sebelum ini boleh dirampas, siapakah yang dapat menjamin ia tidak boleh ditembusi 10 atau 20 tahun dari sekarang?

Politik diskriminasi

Kita bukan berhajat untuk meramalkan tentang pengaruh Terengganu dan Kelantan itu akan melunaskan negeri-negeri lain, tetapi ia sekadar untuk melihat jauh ke dalam akan politik diskriminasi dan politik tertutup yang dijalankan di Putra Jaya itu. Kerana perkembangan politik demokrasi yang berubah-ubah dan membenarkan perubahan, maka PETRONAS dijadikan bola yang ditendang ke sana dan ke sini. Ternyata politik seperti ini tidak sesuai dengan zaman pro-demokrasi.

Politik seperti ini hanya merugi PETRONAS dan merugikan negara. Ia menjadikan pentadbiran bercelaru dan mengusutkan pembangunan. Politik pindah randah atau melarikan PETRONAS dari setempat ke setempat adalah politik Orang Asli yang asli. Mereka pindah ke kawasan lain apabila ada kematian di kalangan mereka. Apabila ada pula kematian di mukim baru, mereka pun pindah dan membuka kawasan baru. Begitulah politik Orang Asli.

Tetapi Orang Asli sekarang pun sudah mahu meninggalkan budaya itu. Tiba-tiba politik Putra Jaya mengendong PETRONAS lari satu negeri ke satu negeri seperti Orang Asli juga.

Bukti keterbukaan

Betapa terbukanya pentadbiran baru Terengganu dapat dilihat dari alasan yang diberi oleh Haji Abu Bakar Chik kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Seberang Takir Dato’ Abdul Rashid Ngah berhubung dengan kebenaran kerajaan kepada Kemas untuk menggunakan balai raya sebagai kelas tadikanya.

Tanpa sebarang perjanjian dan tanpa sebarang permohonan dan kebenaran rasmi, kelas Kemas itu dibenarkan beroperasi kerana ia adalah kepentingan pendidikan, ilmu dan kemajuan. Sebanyak 501 balai raya atau kira-kira 90 peratus kelas Kemas itu masih menggunakan balai raya yang di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri.

Haji Abu Bakar adalah orang yang berkelayakan untuk menyatakan sikap kerajaan baru itu kerana beliau mempunyai pengalaman yang banyak dan sejarah yang menarik ketika mentadbirkan Institut Berakan di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu satu masa dulu. Sekolah itu telah memberikan satu khidmat yang besar mengeluarkan pelajar berpendidikan Islam kepada Negeri Terengganu dan ramai dari mereka kini memberikan khidmat di berbagai bidang di negara ini khususnya di Terengganu.

Seluruh rakyat Terengganu masih ingat akan sejarah penindasan dan anti kemajuan kerajaan lama yang merobohkan sekolah itu di satu pagi hingga kitab-kitab suci bertaburan dan musnah. Mungkin kerakusan itu sama dengan kebengisan tentera Moghol dari Asia Tengah yang menduduki Baghdad dan memusnah segala kitab-kitab ke Sungai Furad. Gangguan itu suatu sejarah hitam yang memalukan dalam sejarah perkembangan pendidikan di Terengganu.

Tetapi Haji Abu Bakar tidak mempengaruhi kerajaan yang sama-sama ditegakkannya untuk menghalang kelas Kemas beroperasi di dalam bangunan milik Kerajaan Negeri. Sekalipun alasan yang diberikan tadi adalah demi kepentingan pendidikan rakyat, tetapi ia adalah satu contoh tidak membalas dendam sedang umum mengetahui kelas itu sendiri bermotif politik atau lebih mudah untuk memberi rezeki kepada beberapa kerat penyokong politik yang hingga ini terus menerus menentang kerajaan sah pilihan rakyat sekarang.

Sekali pun Kemas dilihat seperti ‘menceroboh’ semua balai raya termasuk di negeri yang politiknya ditolak rakyat, baik sementara atau selama-lamanya, tetapi ia tidak diganggu menggunakan premis-premis tadi sekalipun tidak mendapat kebenaran. Sikap itu menyebabkan balai raya tidak boleh digunakan untuk lain-lain tujuan kecuali dijadikan pos pilihanraya Barisan Nasional (BN) setiap kali pilihanraya.

Sepatutnya dengan taburan wang yang tak terkawal itu Kemas boleh berdikari, supaya kemudahan balai raya yang serba guna itu boleh dimanfaatkan oleh rakyat. Tetapi bagaimana rakyat boleh berdikari jika institusi penting Kerajaan Pusat masih menjadi dedalu kepada negara. Berapa lama ia harus begitu? Sekalipun Kerajaan Negeri tidak mengganggu kelas Kemas itu tetapi ia tidak wajar mengambil kesempatan dari sikap terbuka itu kerana balai raya mempunyai fungsi tersendiri dan tidak boleh menjadi monopoli dan milik satu-satu kumpulan.

Bagaimana pun sikap berjiwa besar yang ditunjukkan oleh Haji Abu Bakar itu mencerminkan sikap Kerajaan adalah satu contoh terpuji yang harus menjadi sikap semua kerajaan di dunia dalam mewujudkan satu masyarakat berjiwa besar dan berdaya maju.

...........................................
Warta Darul Iman


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 10 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com