KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Sosial dan Kesihatan, Haji Abu Bakar Abdullah berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak dalam menangani masalah gejala sosial yang melanda masyarakat hari ini.
Katanya, tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata tetapi semua pihak dalam masyarakat.Menurutnya, pelbagai langkah sedang dan telah diambil oleh kerajaan dalam usaha menangani gejala sosial yang semakin membimbangkan.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Pembangunan Insan (UPI), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Belia Sukan turut terlibat," jelasnya menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Shaharizukirnain Abdul Kadir, hari ini.
Katanya, semua jabatan terbabit turut terlibat dalam usaha Kerajaan Negeri menangani masalah gejala sosial termasuk pihak-pihak NGO. Menurut beliau, dalam usaha tersebut kerajaan negeri lebih memberi penekanan terhadap aspek mendidik, mencegah dan merawatnya.
|