Oleh SUHAIMI TAIB
KETIBAAN Syawal mengembirakan umat Islam kerana ia menandakan kejayaan besar menghadapi ujian sebulan ramadhan yang dikasihi itu. Anak-anak Terengganu yang berada di perantauan dalam jumlah yang tidak diketahui pulang ke kampung halaman, menemui ayah bonda dan sanak saudara yang sudah lama ditinggalkan.
Anak-anak Terengganu seperti umat Islam negeri lain teringin untuk pulang ke kampung kerana itulah saat gembira yang dinanti-nantikan agar dapat bermaaf-maafan khususnya dengan ibu bapa yang selama ini mengorbankan apa sahaja untuk membesarkan mereka.
Islam mengalakkan umatnya menghubungkan silaturrahim antara satu sama lain supaya jadilah mereka saling berkasih sayang antara satu sama lain dalam ikatan ukhuwwah Islamiyyah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara dan perdamaikanlah antara dua saudara kamu (yang berselisih faham antara satu sama lain)." (Surah al-Hujurat: 10)
Ketibaan syawal hendaklah disambut dengan penuh kegembiraan bukan dengan trajedi yang tidak diingini apabila soal keselamatan jalan raya tidak diberi perhatian berat oleh warga kota yang pulang ke kampung atau pengguna jalan raya yang lain. Setiap kali tibanya hari raya ada sahaja peristiwa kemalangan jalan raya dilaporkan dalam akhbar dan media lain, menunjukkan betapa kurangnya perhatian masyarakat Malaysia terhadap soal keselamatan jalan raya.
Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam satu majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya di Kuala Terengganu baru-baru ini mengharapkan rakyatnya memberi perhatian serius terhadap keselamatan jalan raya. Beliau menyarankan pendidikan keselamatan jalan raya perlu dipraktikkan di peringkat sekolah lagi agar pengetahuan dan perhatian diberikan oleh pelajar-pelajar terhadap masalah itu. Dengan cara demikian mereka dapat pulang dengan penuh keceriaan dan berkesempatan untuk melihat negeri tercinta bagaimana ia ditadbir oleh kerajaan baru yang dipilih mereka dalam pilihanraya umum yang lalu.
Pulang berhari raya kali ini bukan sahaja untuk menemui kaum keluarga sendiri tetapi hendaklah disertai dengan hasrat untuk menemui para pemimpin Kerajaan yang mengadakan rumah terbuka di seluruh negeri. Mereka boleh melihat sendiri sifat mesra rakyat yang diamalkan mereka dan bertanya khabar bagaimana mereka mentadbir negeri secara telus dan adil.
Justeru itu kepada anak negeri yang masih dalam perjalanan dan sudah sampai ke kampung halaman diucapkan selamat pulang semoga hasrat bertemu sanak saudara dan pemimpin negeri yang disayangi termakbul hendaknya. Jadikanlah hari raya kali ni penuh makna dan diliputi dengan penghatan Islam di samping berhari raya dengan menggunakan perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat.
Berilah sumbangan kepada negeri sendiri melalui apa cara sekalipun walaupun berada di perantauan antara lain mengeluarkan zakat fitrah dan harta dalam negeri sendiri dengan menghubungi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) atau amil-amil yang dilantik Kerajaan di seluruh negeri. Anak-anak Terengganu juga boleh memberi sumbangan idea dan khidmat masing-masing apabila mereka diminta berbuat demikian oleh Kerajaan Negeri.
..........................................
Warta Darul Iman