Oleh MOHD NASIR AWANG
Persidangan Yang Ketiga Penggal Yang Kedua Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Yang Kesepuluh yang baru berlalu telah memaparkan beberapa keunikannya yang tersendiri. Di samping ianya dilangsungkan di dalam bulan Ramadhan, ia juga terakam sebagai medan rasmi bagi suatu komposisi utama Kerajaan Negeri Terengganu melafazkan al-Fatihah untuk Allahyarham Haji Idris Othman, Pesuruhjaya Hisbah yang meninggal dunia 27 November lalu. Kedua-dua kejadian itu adalah sesuatu yang jarang dialami di persidangan DUN Terengganu sebelum ini.
Dalam persidangan kali ini, seramai 15 daripada 21 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengemukakan soalan-soalan, sama ada untuk jawaban bertulis mahu pun lisan. Ia merupakan bilangan tertinggi ADUN yang berbuat demikian, sejak Kerajaan Barisan Alternatif pimpinan PAS menerajui negeri ini.
Seperkara yang sangat terserlah daripada soalan-soalan yang dikemukakan wakil pembangkang ialah wujudnya unsur-unsur prasangka melampau terhadap Kerajaan Negeri. Umpamanya, seorang wakil pembangkang secara tersirat mengesyaki Kerajaan Negeri memberikan bantuan kewangan kepada sebuah institusi pendidikan swasta milik ahli PAS. Manakala lawatan sambil belajar sebuah anak syarikat TATI ke beberapa kilang dan institut di Kanada disalah anggap sebagai mengadakan mesyuarat TATI di sana.
Barangkali melalui soalan-soalan sedemikian, mereka bermaksud membuktikan kononnya telah berlaku salah guna kuasa di dalam pentadbiran kerajaan kini. Sehinggakan terdapat soalan yang mendakwa ‘terdapat pemimpin Kerajaan Negeri yang hidup agak mewah’, dan ia secara jelas dikaitkan dengan pembahagian kawasan balak.
Soalan-soalan sebegitu sebenarnya memperlihatkan bahawa pihak pembangkang tidak mengambilkira maklumat yang tepat tentang sesuatu dakwaan yang mereka ajukan. Selain soal pembahagian kawasan balak, ahli pembangkang juga gagal membezakan antara ‘tauliah’ dan ‘surat kuasa’ untuk seseorang menjadi imam dan khatib. Soal perbelanjaan maksima RM3.00 untuk bahan mentah makanan pelajar sekolah agama pula disalahertikan sebagai mencatu makanan. Manakala Unit Pembangunan Insan (UPI) yang begitu kerap dipertuturkan masyarakat, dan kerap pula ditulis di media-media cetak, masih disalah-sebut sebagai Unit Perpaduan Insan.
Soalan kononnya KUSZA belum mendapat kelulusan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) juga dibangkitkan. Sedangkan umum mengetahui LAN ditubuhkan untuk mengiktiraf sijil dan ijazah Institusi Pengajian Tinggi Swasta sahaja. Seorang rakyat biasa pun tahu bahawa KUSZA di atas sifatnya sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam tidak tertakluk di bawah pengiktirafan LAN.
Pembangkang turut bertanya, ke manakah wang royalti RM432 (sebenarnya RM434.8) juta yang diterima kerajaan negeri tahun 2000 dibelanjakan? Amat memalukan! Kerana, sebagai wakil rakyat sebuah parti yang berpengalaman memerintah negeri ini selama 38 tahun, soalan itu menggambarkan seolah-olah pembangkang tidak memahami dasar perakaunan Kerajaan Negeri. Di mana segala perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Disatukan adalah tertakluk kepada kelulusan Belanjawan Negeri yang telah diluluskan oleh Persidangan DUN. Segala terimaan hasil dan perbelanjaan hanya akan dimuatkan dalam penyata kewangan negeri akhir tahun yang disediakan oleh Akauntan Negeri dan disemak oleh Ketua Audit Negara. Kaedah ini telah diterima pakai sekian lama di negeri ini.
Bahkan, wakil pembangkang turut membangkitkan soal negeri asal Allahyarham Pesuruhjaya Hisbah. "Apakah sudah tidak ada orang yang layak di seluruh negeri Terengganu ini?", begitulah kira-kira maksud wakil pembangkang itu, apabila dimaklumkan Allahyarham berasal dari Perak. Itulah barangkali rupa sebenar fahaman yang diterapkan dalam Umno, iaitu fahaman kenegerian yang menebal. Sedangkan, di hadapan rakyat para pemimpinnya mendakwa merekalah juara integrasi nasional.
Terus terang kita katakan bahawa soalan itu benar-benar telah menyinggung banyak pihak. Ia bukan sekadar membabitkan Allahyarham Pesuruhjaya Hisbah yang telah disemadikan di kampung asalnya di Tanjung Piandang, Perak itu. Bukan setakat Pengerusi Jawatankuasa Hisbah yang patut terasa disindir, ia juga seolah-olah memperli Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan yang diketahui umum berasal dari Kuala Krai, Kelantan.
Lebih dari itu, soalan itu sebenarnya memberi ruang yang sangat luas kepada sesiapa juga untuk membuka pekung kelemahan Umno sendiri. Begitu ramai pengetua dan guru besar di sekolah-sekolah dan institusi pengajian (di bawah Kementerian Pendidikan) di seluruh negeri ini yang bukan berasal dari negeri ini. Mengapa wakil pembangkang itu tidak tanya partinya sendiri soalan yang sama? Begitu juga dengan beberapa agensi Persekutuan yang berpejabat di negeri ini, adakah semuanya berketuakan anak negeri ini?
Bahkan, sepatutnya wakil pembangkang itu mencermin ke dalam partinya sendiri. Siapakah yang partinya ambil untuk menerajui Badan Perhubungan Umno Terengganu kini? Meminjam soalan beliau, "apakah sudah tidak ada orang (Umno) yang layak di seluruh negeri Terengganu ini?"
Sejarah politik dan pentadbiran negeri juga membuktikan bahawa rakyat negeri ini bersikap amat terbuka menerima orang luar menjadi pemimpin mereka. Bacalah sejarah, dan temuilah betapa Sheikh Hassan Al-Yamani dan Sheikh Abdullah Sanusi pernah menjadi mufti negeri. Kedua-dua mereka berasal dari negara Arab.
Manakala di gelanggang politik pula, nama-nama besar seperti Dato’ Onn Jaafar, Harun Pilus, Burhanuddin Mohd Noor al-Helmy, Hassan Adli Arshad, Khadijah Mohd Sidek dan Ahmad Azzam Hanafiah pernah menjadi wakil rakyat Parlimen dan DUN di negeri ini. Itu semua membuktikan bahawa soalan "apakah sudah tidak ada orang yang layak di seluruh negeri Terengganu ini?" adalah soalan yang paling tidak rasional untuk ditanya.
Amat mendukacitakan, di saat dunia sedang melangkah ke alaf baru yang serba ‘celik’, masih ada pihak di negeri ini yang terus kekal dalam kehidupan yang dipenuhi berbagai ‘kebutaan’. Tuan Guru Menteri Besar di dalam Ucapan Belanjawan 2001 ada menyebutkan istilah ‘buta ihsan’. Pengerusi Hisbah pula mengajukan soal ‘buta geografi’ apabila wakil pembangkang bertanya, "Tanjung Piandang tu di Besut ke?"
Dan kesediaan wakil pembangkang membangkitkan soal negeri asal Allahyarham Pesuruhjaya Hisbah itu juga menyerlahkan satu lagi ‘kebutaan’, iaitu ‘buta sejarah’. Kerana, sejarah membuktikan bahawa rakyat Terengganu tidak pernah dikongkong oleh semangat kenegerian yang membuta-tuli.
Apa yang berlaku ini mengingatkan kita suatu ketika dahulu di Dewan Rakyat, seorang menteri kanan di dalam ucapan belanjawannya yang menyindir pembangkang sebagai ‘Pembangkang Tanpa Faedah’. Soalnya, apakah golongan pembangkang jenis itu yang sedang dihadapi oleh Kerajaan Terengganu sekarang ini?
.......................................
Warta Darul Iman