Saudara Pengarang,
Baru-baru ini kita diberitakan pendirian oleh Tuan Guru Menteri Besar untuk merancang dan membina sendiri lebuhraya Pantai Timur (LPT) iaitu pembinaan bukan sekadar dibina dari sempadan negeri Pahang ke Chendering tetapi akan dibina sehingga ke Pasir Puteh, Kelantan. Disini saya sebagai rakyat Terengganu amatlah mengalu-galukan hasrat murni Tuan Guru Menteri Besar dengan usaha sendiri, tanpa mengharap lagi kepada Kerajaan Pusat yang sentiasa berdolak dalik dalam soal ini.
Jika sistem lebuhraya dapat kita bina dengan susah payah sendiri,saya fikir banyak manfaat yang akan diperolehi daripadanya, tetapi sebelum dibinanya lebuhraya, hendaklah pastikan perjanjian yang hendak dibuat dengan syarikat yang berkenaan agar ianya dapat memenuhi kehendak kita dalam perlaksanaan nanti. Dengan ini ianya akan memberi kesan yang baik kepada Kerajaan Terengganu dan rakyat keseluruhannya.
Di antara kriteria yang perlu diberi perhatian dan keutamaan dalam perjanjian tersebut hendaklah dipastikan:- Kos pembinaan secara keseluruhan yang rendah dan tidak membebankan Kerajaan Negeri Terengganu berbanding dengan kos lebuhraya yang ada sekarang. Sistem lebuhraya yang baik atau sama tarafnya dengan sistem lebuhraya yang ada sekarang. Tol yang dikenakan kepada pengguna lebuhraya adalah dengan kadar yang lebih rendah dengan kutipan tol lebuhraya yang ada sekarang di negara ini.
Sekiranya dalam perjanjian tersebut pihak syarikat lebuhraya dapat memenuhi kriteria tersebut, ianya amat menguntungkan Kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan Tuan Guru Menteri Besar. Dengan ini secara tidak langsung kita boleh buktikan kepada Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri-negeri lain dan kepada rakyat keseluruhannya bahawa kita mampu tanpa mengharapkan Kerajaan Pusat yang suka berdolak dalik itu. Dengan ini rakyat akan menilai akan keikhlasan dan mulai yakin akan kemampuan kita.
Dengan kadar tol yang rendah berbanding tol yang ada sekarang di negara ini rakyat akan membuat perbandingan bahawa kerajaan pimpinan Tuan Guru adalah lebih baik dan tidak menekan rakyat dari kerajaan yang ada sekarang. Rakyat akan berfikir siapakah yang terbaik dalam menerajui negara, dimana yang tidak menyokong kita dalam pilihanraya lalu tidak mustahil akan membuat keputusan terbaik dan memberi sokongan dalam pilihanraya 2004 untuk mengamanahkan pemerintahan negara dibawah pimpinan ulama’.
Walaupun begitu kita berkemungkinan akan menghadapi berbagai permasalahan yang akan timbul di kemudian hari. Oleh itu mengambil langkah awal dalam mengenal pasti masalah yang bakal timbul adalah penting sebelum projek ini dilaksanakan supaya orang tidak akan mentertawakan kita dikemudian harinya. Royalti Hak Kami. – Anak Besut.
...............................
Warta Darul Iman