Saya begitu kecewa dengan perkembangan yang berlaku sekarang apabila Presiden PAS telah berjaya meyakinkan JK PAS Pusat untuk bersetuju mengadakan dialog dengan UMNO dalam isu Perpaduan Melayu dan menegaskan pula bahawa PAS akan tetap berdepan dengan UMNO walaupun tanpa Keadilan (Utusan Malaysia,09Januari 2001).
Tidakkah PAS sedar bahawasanya tidak timbul langsung isu perpecahan Melayu. Isu ini sengaja diada-adakan atau disebut sebagai "pseudo-event" oleh UMNO untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu atau masalah sebenar iaitu Korupsi, Kronisme dan Nepotisme (KKN) dan seribu satu macam masalah yang sedang dihadapi oleh UMNO/BN. Tak sedar-sedarkah PAS sudah berapa kali "ditipu" dan dianiayai.
Mungkin PAS ada strategi tertentu lalu bersetuju dengan pelawaan tersebut. Tetapi UMNO adalah parti putar-belit. Tentu sahaja ada muslihat tersembunyi mengapa mereka mengusulkan perbincangan dengan PAS/Keadilan tanpa DAP dan PRM yang juga parti berbilang kaum. Saya sudah bergelumang dengan pelbagai strategi dan taktik kotor UMNO sejak menyertainya pada tahun 1988 atas desakan ketua jabatan untuk memulihkan semula UMNO setelah diharamkan pada tahun 1987. Namun sekarang, walaupun nama saya masih tersenarai dalam daftar UMNO tetapi sejak peristiwa pemecatan DSAI saya sudah berjinak-jinak dengan BA dan mungkin menyertai mana-mana parti dalam BA.
Apabila PAS bersetuju untuk berdialog, telah memberikan nafas baru kepada UMNO yang sudah semakin lemas dan akan tenggelam tidak berapa lagi. Lihatlah sekarang setiap pemimpin UMNO mula "berkokok" dalam media massa seolah-olah merekalah juara perpaduan. Dalam budaya Melayu, sepatutnya apabila sudah mengajak atau mempelawa orang lain untuk berbincang dan menghulurkan tangan untuk perdamaian, hentikanlah sebarang komen atau kritikan yang boleh menyakitkan hati orang yang dijemput.
Ini tidak, setiap hari ada saja komen dan kritikan yang ditujukan kepada BA. Ini menunjukkan bahawa perangkap mereka sudah mengena. Seolah-olah PAS sengaja mengenakan beberapa syarat untuk menggagalkan perbincangan. Padahal sepatutnyalah orang yang dijemput untuk berdamai mengenakan beberapa syarat sebelum berunding. Kerana UMNO yang menjemput bukannya PAS dan Keadilan.
Saya sangat bimbang sekarang kerana persetujuan PAS akan menyinggung hati pemimpin DAP dan PRM dan orang Melayu lain yang komited kepada perjuangan dan kental untuk menghapuskan empayar politik UMNO yang sudah korup dan reput itu. PAS seolah-olah tidak sedar diri bahawa PAS bukanlah parti yang berasaskan bangsa dan ahlinya adalah terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan tetapi asasnya ialah agama Islam.
Saya mengucapkan syabas kepada MPT Keadilan kerana sebulat suara menolak pelawaan UMNO. Percayalah selepas ini media akan menggembarkan-gemburkan penolakan Keadilan dan menonjolkan pula kesediaan PAS, seolah-olah wujud pertentangan dan keretakan pakatan BA. Peranan media ini akan memberi bonus kepada UMNO untuk menghentam Keadilan yang sangat digeruni kononnya Keadilan menolak perpaduan dan Keadilan adalah punca kepada perpecahan Melayu.
Saya rasa masih belum terlambat bagi PAS untuk menarik diri dan menolak pelawaan UMNO. Adakah PAS terlalu optimis apabila diadakan perbincangan dengan UMNO maka beberapa perkara ini akan diselesaikan:-
1. Wang Ehsan akan bertukar kembali kepada Royalti,
2. Akhbar Harakah akan diterbitkan semula dua kali seminggu,
3. Pendakwaan ke atas pengarang Harakah ditarikbalik,
4. Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu,
5. DSAI akan dibebaskan dan namanya akan dibersihkan,
6. Keganasan polis akan dihentikan,
7. Imej kehakiman akan dipulihkan dan pendakwaan ke atas pemimpin pembangkang ditarik-balik,
8. Haji Mahfuz akan dibayar ganti rugi kerana dipenjarakan secara tidak adil,
9. Mahathir akan letak jawatan,
10. Dan seribu satu macam penyelewengan yang akan dibetulkan kembali.
Sepatutnya PAS mengenakan syarat yang ketat sebelum menyatakan sebarang persetujuan untuk mengadakan perbincangan sebab UMNO yang mengajak berbincang bukannya permintaan BA. Bukannya setakat mengenakan syarat supaya skop perbincangan lebih bersifat nasional sahaja kerana terlalu remeh sedangkan yang ditonjolkan oleh media ialah perpaduan Melayu. Padahal apabila PAS menyatakan persetujuan sahaja seolah-olah PAS sudah mengiktiraf apa sahaja yang dilakukan oleh UMNO selama ini adalah sah dan valid bukannya bersifat menentang.
PERCAYA DAN YAKINLAH INI SEMUA ADALAH MUSLIHAT UMNO UNTUK MEMECAH-BELAHKAN PERPADUAN PAKATAN BA, MENONJOLKAN IMEJ UMNO KONONYA JUARA PERPADUAN.
JIKA PERBINCANGAN INI DITERUSKAN JUGA, PAS AKAN KECEWA DAN BA AKAN BERPUTIH TULANG UNTUK MENJADI KERAJAAN PADA TAHUN 2004. SAYANGNYA PAS, KEJAYAAN SUDAH DI AMBANG PINTU TETAPI MEREKA SENDIRI YANG MENUTUPNYA. KESIAN…….PAS KERANA DIPERANGKAP SEKALI LAGI OLEH UMNO.
Bekas UMNO Totok Yang Kecewa