Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kenyataan 'Halal' Ajinomoto Malaysia cukup meragukan

Apabila Majlis Ulama Indonesia (MUI) membuat keputusan mengharamkan penggunaan bahan perasa 'Ajinomoto' untuk umat Islam negara itu setelah kajian menunjukkan bahan berkenaan menggunakan enzim lemak babi ( http://tranung.tripod.com/berita12/ajimoto.htm), rakyat Malaysia khususnya umat Islam menjadi bimbang dan ragu untuk menggunakan Ajinomoto Malaysia.

Banyak pertanyaan telah dikemukan kepada pihak yang berwajib menjaga kepentingan umat Islam di Malaysia. Tiada jawapan yang boleh dipegang atau diterima secara mutlak.

Persoalan ini menjadi reda sedikit apabila pihak media massa khusus TV telah menyiarkan kenyataan Pengurus Hal Ehwal Awam Ajinomoto Malaysia, Shariff Abdullah Shalong bahawa produk Ajinomoto Malaysia adalah halal dan ini disahkan oleh pihak JAKIM katanya.

Apabila disemak bahawa tanda HALAL yang ada pada keluaran Ajinomoto Malaysia sudah berakhir pada 31 Disember 2000 yang lalu. Keraguan menjadi lebih ketara lagi apabila Pengarah Bahagian Penyelidikan Jakim, Mustapa Abdul Rahman berkata pada hari ini, 4 Januari 2001, syarikat berkenaan tidak sepatutnya menggunakan nama Jakim dan mengesahkan produknya halal berdasarkan sijil halal yang dikeluarkan untuk tahun lalu.

Kita menjadi makin gusar kerana Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah mengharamkan Ajinomoto keluaran Indonasia setelah mengetahui bahawa pihak Ajinomoto telah menukar bahan yang digunakan untuk membuat perasa tersebut daripada polypeptone kepada bactosoytone yang mengandungi enzim lemak babi. Pihak MUI telah menyedari perkara ini setelah membuat kajian pada 23 November 2000 lalu pada produk keluaran di negaranya.

Kita faham, sebelum ini Ajinomoto Indonasia adalah halal. Begitu juga di Malaysia, apakah Ajinomoto ini telah mengalami perubahan dari segi bahan membuat perasanya ? Kenapa pihak JAKIM tidak membuat penyemakkan sampai sekarang ?

Kita juga bimbang dengan 10,000 tan Ajinomoto yang diharamkan di Indonasia mungkin akan sampai ke sini. Sebelum ini jkita juga mendengar daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai bahawa Malaysia mengimport Ajinomoto Indonasia kerana kekurangan Ajinomoto di sini serta bahan keluaran Indonasia yang lebih murah harganya.

Semua persoalan ini cukup meragukan... Kita cukup merasai sedih dengan penyiaran kenyataan oleh pihak media, terutama TV yang tidak bertanggungjawab atas semata-mata untuk menyelamatkan perniagaan tanpa mengira halal dan haram secara sah.

Kita minta pihak yang bertanggungjawab terutamanya JAKIM mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara ini. Oleh itu tinggal dahulu perkara yang meragui demi untuk kesejahteraan kita...

Tok Ayah
TokAyah@hotmail.com

.....................................................................
Tok Ayah adalah bekas Webmaster Tranung Kite


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 5 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com