Assalamualaikum wm wbt,
Elok jika PAS tolak perbincangan satu sama satu dengan
UMNO.
Rata-rata rakyat gelisah dengan keputusan PAS yang
terkini untuk meneruskan juga perbincangan satu sama
satu dengan UMNO. Bukankah BA sudah secara rasmi
membuat ‘counter proposal’ supaya diadakan
persidangan meja bulat “Cabaran Genting Negara”?
Kebanyakkan rakyat yang sudah anggap UMNO terlalu
jahat dan kotor takut kalau-kalau PAS akan nanti
terkena putarbelit UMNO. Pandangan umum adalah lebih
wajar bagi PAS untuk melupakan perbincangan satu sama
satu dengan UMNO itu, dan kerana PAS semakin dilihat
sebagai komponen utama dalam BA, sepatutnya PAS
menumpukan sepenuh usahanya kepada persidangan meja
bulat “Cabaran Genting Negara” yang dicadangkan oleh
BA secara rasmi itu.
Yang ingin saya ketarakan di sini adalah rata-rata
rakyat sudah sayangkan PAS, dan sayangkan BA. Oleh
itu rakyat menegur kerana tidak ingin melihat kekasih
mereka kena dipermainkan oleh UMNO yang berpolitik
kotor itu. Lagi pun ‘solo act’ PAS dengan UMNO itu
boleh mengancam perpaduan BA yang semakin hari semakin
erat. Ianya boleh juga digunakan oleh BN sebagai helah
untuk menolak cadangan persidangan meja bulat ‘Cabaran
Genting Negara’. Dan ingatlah bahawa diawal-awal ini
lagi media yang dikawal sepenuhnya oleh UMNO-BN telah
memutarbelitkan kenyataan Ustaz Dato Fadzil Noor yang
jelas menunjukkan bahawa UMNO tidak ikhlas dan
pastinya berniat jahat.
Sudah cantik betul persidangan meja bulat “Cabaran
Genting Negara“ yang dicadangakan BA itu. Persidangan
tersebut melibatkan semua parti politik dan merangkumi
segala isu-isu yang menyebabkan negara berkeadaan
genting; seperti isu krisis keyakinan terhadap
pemerintahan BN, isu perpaduan kaum, isu penganiayaan
terhadap Anwar Ibrahim, krisis keyakinan terhadap
kehakiman, isu paras korupsi, nepotisma dan kronima
yang paling tinggi, isu salah pengurusan ekonomi, isu
jurang antara miskin dan kaya yang semakin meluas, isu
pencabulan hak-hak asasi manusia, isu keganasan polis,
isu menyekat suara rakyat dan menakut-nakutkan rakyat,
isu pelanggaran prinsip-prinsip demokrasi, isu
kebebasan media dan menyekat akhbar pembangkang, isu
media arus perdana diperalat BN untuk menyebar fitnah
serta memutarbelit dan menyembunyikan kebenaran dari
rakyat, isu keruntuhan nilai-nilai akhlak dan etika,
dll. Kesemuanya ini benar-benar mencerminkan kelohan
dan bantahan rakyat terhadap pemerintahan zalim rejim
Dr Mahathir dan UMNO-BN.
Memang benar orang UMNO takut diteruskan perbincangan
satu sama satu dengan PAS kerana mungkin UMNO yang
mendapat padah. UMNO akan hancur lebur dan akan serta
merta terkubur jika pemimpin-pemimpin PAS nampak
menyerlah dalam perbincangan tersebut.
Tetapi apa kata kalau UMNO menggunakan media untuk
memutarbelitkan berita supaya UMNOlah yang akan
kelihatan menyerlah dalam perbincangan satu sama satu
dengan PAS itu. Kalau ini berlaku maka bukan sahaja
PAS, tetapi juga perjuangan BA secara keseluruhannya
boleh tergelincir dan mundur beberapa tahap ke
belakang. Mungkin juga harapan BA untuk pilihanraya
2004 yang kelihatan sangat cerah pada masa ini akan
menjadi malap. Buat masa ini harapan begitu cerah
untuk BA bukan sahaja mengekalkan kuasa di Kelantan
dan Terengganu, tetapi berupaya secara realistik untuk
menawan Selangor, Kedah, Perak, Perlis, Pahang dan
Wilayah Persekutuan – mungkin juga Pulau Pinang.
Perlu ditegaskan berulangkali disini UMNO tidak
ikhlas. Tengok saja putarbelit media kepunyaan BN,
terutamanya Utusan Meloya dan TV3. Hari ini (11
Januari), Ketua Pemuda PAS, YB Mahfuz telah membantah
putarbelit media kerajaan tersebut dan seterusnya
memberi gambaran yang sebenar bahawa PAS tolak
perbincangan perpaduan Melayu (kerana orang Melayu
tidak berpecah). YB Mahfuz telah menegaskan bahawa PAS
sebaliknya menawarkan (counter-offer) supaya diadakan
perbincangan perpaduan negara. Tengoklah tu. Awal-awal
lagi mereka sudah memutarbelitkan kenyataan-kenyataan
pemimpin PAS dan ini jelas menunjukkan bahawa UMNO
tidak ikhlas.
Kini PAS semakin diterima umum sebagai komponen utama
BA (bukannya PAS mengetuai BA, tetapi sebagai komponen
utama). Ada tanggungjawab dan etika tertentu bagi PAS
yang semakin dilihat sebagai komponen utama itu. PAS
perlu dalam tindak-tanduknya mengambil kira
kepentingan dan maruah parti-parti komponen BA yang
lain-lain. Adalah diharap PAS akan mengambil kira
pandangan umum yang lebih ‘in favour of’ persidangan
meja bulat dan melupakan sama sekali perbincangan satu
sama satu dengan UMNO tersebut. PAS telah jelaskan
ianya cuma hendak meninjau apa tujuan UMNO sebenarnya,
tetapi ingatlah perpatah Inggeris – “curiosity kills
the cat.”
Semasa BA ditubuhkan ramai yang curiga. Tanggapan umum
ketika itu adalah BA tidak mungkin kekal dan akan
berpecah dalam sedikit masa sahaja. Semua
ramalan-ramalan ini terbukti salah. BA terus kekal,
terus kukuh dan terus unggul. Malah kini majoriti
rakyat dari semua kaum sudah menaroh keyakinan bahawa
BA memang punyai kredibiliti sebagai alternatif kepada
BN. Pandangan ini mungkin terjejas jika PAS teruskan
hasratnya untuk berbincangan satu sama satu dengan
UMNO. Malah sudah ada yang melihat keputusan PAS itu
sebagai tanda-tanda BA retak dan akan roboh. Sudah ada
terdengar orang-orang yang berkata, “kan dah aku kata,
BA ni hanya marriage of convenience”.
Sememangnya BA sudah menjadi gabungan yang mantap dan
kuat. Tetapi kita harus berhati-hati kerana musoh kita
sentiasa mencari jalan untuk merobohkan perpaduan
kita. Diulangi - memang kita kuat. Malah dikalangan
ahli-ahli dan penyokong-penyokong BA sudah ujud
semangat ‘kekitaan’. Sekarang ini orang BA menyebut –
“Fadzil Noor kita” atau “Tok Guru Nik Aziz kita” atau
“Anwar Ibrahim kita” atau “Kak Wan kita” atau “Lim Kit
Siang kita” atau “Dr Syed Husin kita”. Memang sungguh
kuat semangat kekitaan dikalangan orang-orang BA
sekarang ini.
Semangat perpaduan dan kekitaan BA yang kukoh inilah
yang sangat ditakuti dan hendak dimusnahkan oleh Dr
Mahathir dan BN. Dr Mahathir dan BN ingin
kucar-kacirkan perpaduan erat BA ini dan pelawaan
kepada hanya PAS dan KeADILan untuk berbincang
bertujuan antara lainnya supaya DAP dan PRM akan
terasa tersisih dan diketepikan. Sengaja dipilih topik
perkauman yang sempit yang memberi UMNO alasan untuk
ketepikan DAP. Jelas UMNO sudah melancarkan projek
“divide and rule” untuk memecah belahkan parti-parti
komponen BA. Awas, akan ada banyak lagi percubaan UMNO
secara halus atau terang-terang untuk menyemaikan syak
wasangka dikalangan BA.
Dengan mencadangkan topik perkauman yang sempit UMNO
bertujuan untuk membuktikan kepada rakyat bahawa
KeADILan bukan parti untuk semua kaum, dan PAS pula
bukan parti Islam universal yang juga beramanah untuk
menjaga kepentingan semua kaum jika memerintah. Ini
adalah antara ajenda jahat tersembunyi UMNO.
Sebagai ahli PAS saya akur kepada keputusan pucuk
pimpinan PAS. Saya menghebohkan pandangan umum seperti
diatas kerana kami orang PAS digalakkan menyuarakan
pandangan yang ikhlas untuk membantu pucuk pimpinan
membuat sesuatu keputusan. Kita ahli-ahli dan
penyokong-penyokong PAS di beri kebebasan untuk
bersuara dalam PAS. PAS tidak seperti UMNO yang
berbudaya anggok dan berbudaya ampu sini, ampu sana
hinggakan Dr Mahathir dan konco-konconya menjadi
‘monsters’ yang memporak-perandakan negara. Tetapi
bila sesuatu keputusan itu telah dibuat oleh pucuk
kepimpinan PAS, kami ahli-ahli dan penyokong-penyokong
PAS akan ketepikan pandangan sendiri dan menyokong
sepenuhnya keputusan pucuk kepimpinan kami itu. Kami
ahli-ahli PAS yakin sepenuhnya dengan kepimpinan
ulamak.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Tarabulsi
11 Januari 2001.