Oleh Suria Janib
KERAJAAN BN pimpinan Mahathir sekali lagi ditolak rakyat dalam pilihan raya kecil Lunas pada 29 November lalu; genap setahun pilihan raya umum pada 1999. Walaupun Barisan Alternatif yang diwakili calon KeAdilan menang dengan majoriti 530 undi tetapi kemenangan ini adalah hadiah yang sangat berharga untuk rakyat yang ingin mengajar keangkuhan dan hipokrasi BN selama ini.
BN terlalu angkuh dengan projek pembangunan dan kemajuan rakyat tetapi akhirnya gula-gula Umno ini memakan diri mereka dan gagal meraih sokongan pengundi di sana. Pengundi lebih tertarik dan percaya pada perjuangan Barisan Alternatif yang benar-benar bersih daripada korupsi, kronisme dan nepotisme.
Kejayaan Saifuddin Nasution Ismail yang mendapat undi sebanyak 10,511 menewaskan S Anthonysamy dengan 9,981 undi daripada calon BN dan N Letchumanan 50, calon bebas bermakna pembangkang (Barisan Alternatif) kini mempunyai 13 kerusi di Dewan Undangan Negeri Kedah, berbanding BN, 23 kerusi. PAS menguasai 12 daripada kerusi pembangkang dan Keadilan satu.
Ini bererti BN kekurangan satu kerusi untuk membentuk majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri Kedah. Dengan kedudukan ini bermakna, BN tidak boleh berbuat sesuka hati dalam mentadbir negeri Kedah tanpa persetujuan PAS dan Keadilan. Antaranya, BN tidak boleh meminda Perlembagaan Negeri Kedah tanpa persetujuan mereka. Bagaimanapun keputusan pilihan raya ini betul-betul mengejutkan semua pihak terutama daripada parti BN. Mahathir yang ditemui pemberita benar-benar menunjukkan reaksi kemurungannya ekoran kekalahan daripada pihaknya.
"Perasaan saya kecewa kerana kalah dan saya tak tau sebabnya...," ulas Mahathir. Kemurungan ini turut dirasai juga oleh media pengampu kerajaan yang tidak menyiarkan laporan keputusan pilihan raya secara menyeluruh, itupun ia disiarkan pada lewat malam. Dalam pada itu laporan media yang mengulas kekalahan BN ini tidak habis-habis menghentam Barisan Alternatif yang dituduh mendapat kemenangan melalui taktik kotor dan ganas.
Ternyata dalam hal ini pihak media sekali lagi menjadi alat tunggangan kerajaan dengan penyiaran berita yang berat sebelah tanpa merujuk daripada pelbagai sumber. Walaupun tanpa bantuan alat media ternyata calon BA mampu memecahkan kubu kuat BN selama ini.
Sementara itu, kemenangan calon BA menampakkan lagi kekaburan Mahathir yang masih tidak memahami isyarat yang ditunjukkan oleh sebahagian rakyatnya di Kedah tempat kelahirannya sendiri.
Mahathir gagal meredakan kemarahan rakyat atas beberapa isu nasional seperti isu Sekolah Wawasan, pemberian royalti, menuduh orang Cina melupakan jasa dan bantuan kerajaan selama ini dan nasib golongan India yang masih tidak terbela. Kemarahan ini akhirnya dijelmakan dalam bentuk undi protes.
Kita tidak dapat bayangkan kalau suatu hari nanti kubu kuat Mahathir di Kubang Pasu akan ditumbangkan oleh BA dan berjaya membentuk kerajaan negeri seperti kerajaan negeri di Terengganu dan Kelantan. Pada masa itu ke mana Mahathir akan mengusung dirinya yang semakin uzur?
Suria Janib
suria_janib@journalist.com
.............................................
Petikan Detik Daily