Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Surat terbuka kepada ‘Utusan Malaysia’

Mohamad Ezam Mohd Nor
Ketua Pergerakan Pemuda
Parti Keadilan Nasional

Kenyataan saya berhubung dengan isu Penyatuan Melayu telah disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia semalam tetapi dalam konteks yang berbeza. Seperti biasa Utusan Malaysia sebagai alat pemerintah terus membantu pemerintah untuk lari dari persoalan sebenar yang telah ditegaskan oleh Pemuda Keadilan.

Persoalan sebenar masyarakat hari ini adalah masalah rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa pemimpin Melayu, Cina dan India yang berkuasa hari ini. Ia bukan masalah orang Melayu. Ia masalah beberapa kerat pemimpin Melayu yang rasuah, gila kuasa, merompak wang rakyat untuk kroni dan kerabat, menghina ulama yang menegur mereka dan banyak lagi kebejatan akhlak kalangan pimpinan tertinggi Umno. Jangan berselindung di sebalik perkataan perpaduan dan penyatuan Melayu. Tidak ada masalah dengan orang Melayu. Yang bermasalah adalah pemimpin Melayu. Ini pendirian Pemuda yang dinyatakan semalam yang langsung tidak disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia.

Pemuda Keadilan sanggup berbincang dengan siapa sahaja tetapi isunya harus tepat dan betul. Jangan larikan rakyat daripada persoalan sebenar bangsa dan negara hari ini. Kami juga menuntut komitmen pemerintah untuk melibatkan semua agensi kerajaan, bank tempatan, badan pelaksana hukum seperti Badan Pencegah Rasuah dalam perbincangan ini untuk memperlihatkan dengan jelas di mana kepincangan yang berlaku.

Pemerintah harus membuktikan dahulu kesungguhan dengan komitmen melalui kenyataan terbuka bersedia berbincang secara terbuka berhubung dengan isu rasuah, penyelewengan kuasa, pakej “bailout” dan sebagainya yang sebenarnya merupakan isu nombor 1 negara hari ini. Komitmen awal ini penting kerana pemerintah hari ini tidak ada wibawa dan kredibiliti. Mereka tidak layak untuk membawa sebarang usaha murni sekiranya sebahagian besar rakyat tidak punya keyakinan terhadap kemurnian niat dan tindakan mereka disebabkan rekod buruk mereka kebelakangan ini.

Awang Sulung dalam ruangan pojoknya "Bisik-bisik" cuba menggambarkan pencanggahan antara saya dan saudara Mahfuz dengan pemimpin utama kami. Sekiranya diperhalusi kenyataan pemimpin utama kami, sebenarnya tiada pencanggahan dari segi prinisipnya antara kami dan pemimpin kami.

Pendekatannya mungkin berbeza dan ia lumrah kerana kami adalah daripada kalangan anak muda. Pendekatan Pemuda memang selalunya berbeza dengan pendekatan badan induk. Pendekatannya berbeza, tetapi prinsipnya tetap sama. Itu gunanya Pemuda. Kami mahu jadi Pemuda yang berguna, bukan setakat Pemuda yang tinggal namanya sahaja.

Nasihat Awang Sulung agar kami mengawal nafsu amarah untuk tidak menggadai kehormatan bangsa melucukan. Sebaiknya Awang Sulung (kalau berani) menasihatkan pemimpin-pemimpin Umno (dan MCA, MIC) untuk mengawal nafsu mereka daripada terus menyamun, merompak harta rakyat. Merekalah yang menggadaikan kehormatan bangsa demi untuk memperkayakan diri, keluarga dan suku-sakat.

Pemuda Keadilan berazam untuk menggerakkan kekuatan rakyat dalam tahun 2001 untuk mengingatkan pemerintah yang merosakkan bangsa dan negara ini. Utusan Malaysia gagal memberi peringatan kepada pemimpin rasuah dan penyelewangan ini kerana kepentingan tertentu orang besar seperti Senator Datuk Zainudin Maidin. Maka terpaksalah kami yang melakukannya.

Kami tidak mempunyai akhbar seperti Utusan Malaysia untuk menghebohkannya kepada rakyat. Permit yang dipohon lebih setahun lalu tidak berjawab sehingga ke hari ini. Permit ceramah tidak diberi. Di padang kampung alasannya sempit, di Stadium Bukit Jalil lain dalihnya. Sekiranya berhimpun juga dikepung ribuan polis yang bersedia mengganas bila-bila masa. Ruang kami amat terbatas tetapi ia tidak bermakna kami akan bisu dan kaku. Sebab itu pemuda Keadilan akan mulakan tahun baru ini dengan gerakan besar-besaran dalam dan luar negara berhubung isu besar negara - pakej “bailout” berbilion ringgit duit rakyat untuk selamatkan kroni dan kerabat.

Saya setuju ingatan Awang Sulung, agenda bangsa dan agama lebih besar. Itulah yang kita perjuangkan.

Apakah tindakan mempertahankan ulama daripada dihina oleh pemimpin politik yang gila kuasa bukan agenda agama? Apakah persoalan rasuah dan penyelewengan kuasa bukan agenda negara? Rompakan wang rakyat di khazanah Malaysia untuk selamatkan Tajudin Ramli, apakah itu bukan agenda negara? Rompakan wang pelabur Lembaga Urusan Tabung Haji untuk menyelamatkan Abu Shahid bukan agenda negara? Dokumen jelas BPR tentang salahlaku rasuah menteri dan ketua menteri yang melibat puluhan juta ringgit duit rakyat bukan soal agenda negara? Penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ratusan juta ringgit setiap hari untuk selamatkan syarikat kroni di Bursa Saham Kuala Lumpur bukan agenda negara?

Utusan Malaysia boleh teruskan peranan menjadi alat kepada parti pemerintah. Peranan kami berbeza. Awang Sulong memetik kata-kata Hang Tuah untuk mengingatkan kami. Hang Tuah tidak pernah wujud dalam kamus perjuangan Pemuda Keadilan. Hang Tuah hanya wujud dalam kamus orang yang berfikiran feudal seperti Awang Sulung. Kamus perjuangan kami sarat dengan agenda Jebat - Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah.

..........................................................................................
Letters to editor:editor@malaysiakini.com
Last modified:Wednesday January 3, 4:39 pm


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 4 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com