Utusan Malaysia tersepit dalam tindakannya cuba mengembalikan sokongan
rakyat kepada UMNO dengan memainkan isu kepentingan Melayu kali ini dengan
isu penutupan Pusat Asasi Sains. Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya,
Professor Datuk Dr. Anuar Zaini bertindak tepat memulangkan paku buah keras
kepada Utusan Malaysia dengan menjelaskan bahawa arahan menutup Pusat Asasi
ini sebenarnya datang dari Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan Barisan
Nasional pimpinan UMNO sendiri.
Penutupan Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya bukanlah suatu perkara baru
sebaliknya suatu keputusan yang dibuat kira-kira 3 tahun lepas oleh
Kementerian Pendidikan di bawah Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri
Najib Tun Razak. Di bawah arahan tersebut, kesemua universiti dikehendaki
melepaskan unit pengajian matrikulasi mereka, salah satunya ialah Pusat
Asasi kepada kolej-kolej francais.
Program ini pada awalnya banyak menimbulkan keresahan di kalangan para
pelajar dan ibubapa di mana kelengkapan dan kemudahan yang disediakan adalah
jauh dari memenuhi tahap asas yang diperlukan bagi memastikan kecemerlangan.
Peralihan program di bawah tanggungan universiti kepada kolej swasta ini
merupakan satu tindakan yang lebih merupakan perkiraan perniagaan daripada
memikirkan kepentingan masa hadapan, khususnya penuntut dan negara.
Seperti francais-francais lain seperti McDonalds, Kentucky Fried Chicken dan
sebagainya, perkiraan utama bagi kolej-kolej ini merupakan keuntungan
mereka. Bagi memastikan keuntungan tesebut, kolej mengambil lepasan ijazah
sarjana muda bagi mengajar mata pelajaran matrikulasi ini. Secara asasnya,
pengajar bersarjana muda ini adalah cukup baik untuk mengajar penuntut
matrikulasi. Malangnya, sebahagian kolej menawarkan gaji yang rendah dan
mengabaikan tanggungjawab mendapatkan tenaga pengajar yang terbaik bagi
penuntut mereka.
Pelajar matrikulasi yang dulunya belajar di bawah pensyarah berkelulusan
PhD. serta membayar yuran yang ditetapkan oleh pihak universiti terpaksa
membayar yuran yang berlipat ganda untuk belajar dalam keadaan serba
kekurangan. Tekanan kewangan ini dirasai oleh banyak pihak di mana ibubapa
yang kurang berkemampuan pada ketika itu memilih tidak menghantar masuk anak
mereka bagi melanjutkan pelajaran atau bertindak bergolok gadai bagi
memastikan anak-anak mereka dapat meneruskan pelajaran.
Hal ini saya saksikan sendiri dari pengalaman seorang rakan yang ketika itu
ingin melanjutkan pelajaran peringkat sarjana memikirkan bagaimana beliau
dapat membantu orang tuanya yang sudah tidak bekerja bagi menanggung adiknya
yang baru memasuki kolej matrikulasi yang mengenakan bayaran RM 7,000
setahun. Pada masa yang sama perlu berusaha mendapatkan sumber membayar
yuran pelajarannya sendiri yang telah dinaikkan tiga kali ganda dari tahun
sebelumnya.
Selain itu saya juga pernah berjumpa seorang ayah, bekerja dengan Jabatan
Perikanan menceritakan bagaimana anaknya kemungkinan besar tidak akan dapat
menyambung pendidikan ke semester selanjutnya. Tiada berita dari permohonan
pinjaman yang dibuatnya dan satu-satunya harta, sekeping tanah kepunyaanya
telah pun dijualnya bagi memulakan pengajian anaknya itu.
Pada tahun pertama program tersebut dijalankan, akhbar-akhbar tempatan
melapor tahap kegagalan yang tinggi di kalangan para pelajar di
setengah-setengah kolej serta laporan para pelajar yang tidak dapat mencapai
paras akademik yang diperlukan. Laporan buruk serta ketidakpuasan hati di
kalangan rakyat ramai telah memaksa program tersebut dikatakan dihenti dan
program matrikulasi ini diambilalih oleh Kementerian Pendidikan. Walaupun
demikian peralihan ini bukanlah secara keseluruhan ada kolej yang diselia
Kementerian Pendidikan, ada dijalankan oleh MARA dan masih ada kolej
francais ini. Program matrikulasi ini masih dijalankan dengan harga yang
tinggi oleh kolej swasta sungguh pun para pelajarnya kini dibenarkan
berhutang terus dengan kerajaan dari awal peringkat pengajian dengan bunga
sebanyak 4% setahun.
Sebenarnya ‘kebimbangan’ Utusan Malaysia seharusnya bukan terhadap
kemungkinannya berlaku ketidakseimbangan dalam pengambilan pelajar Melayu
hasil dari penutupan Pusat Asasi Sains kerana pelajar Melayu akan terus
diambil melalui program matrikulasi Kementerian Pendidikan.
Utusan Malaysia seharusnya lebih prihatin dengan hasil kualiti pendidikan di
kolej ini mampu menghasilkan pelajar yang setanding dengan para penuntut
Malaysia yang lain malah setanding juga pada peringkat dunia.
Utusan Malaysia juga boleh menunjukkan keperihatinan mereka terhadap
peningkatan kos pendidikan yang kian meningkat yang menekan bukan sahaja
pelajar Melayu malah keseluruhan pelajar mengakibatkan keluarga yang kurang
berkemampuan terpaksa menanggung hutang yang besar.
Utusan Malaysia boleh mengambil langkah mula mencairkan kebekuan dan sikap
tidak ambil pusing di kalangan para akademik dan pelajar dalam struktur
ekonomi, sosial dan
politik negara.
Malang sekali sebaliknya Utusan Malaysia memilih untuk mengorek cerita basi,
UNIVERSITI MALAYA TUTUP PUSAT ASASI bagi mendapatkan kembali sokongan
masyarakat Melayu tidak lagi bersama kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO
yang sebenarnya telah membuat keputusan menutup Pusat Asasi.
Muhammad Ali Syed Hussein
Ketua Biro Pelajar, Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia
Bekas Pelajar Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya