Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


MAS SAJA? MENGAPA TIDAK SELAMATKAN PEKEBUN KECIL JUGA?

Walau bagaimanapun Tun Daim cuba mempertahankan pembelian saham MAS dari Naluri, dengan harga RM8 satu saham (iaitu lebih 100 peratus daripada harga di pasaran saham), rakyat ramai masih yakin bahawa pembelian ini ialah satu usaha untuk menyelamatkan pihak tertentu. Naluri dimiliki oleh Tan Seri Tajuddin Ramli. Kementerian Kewangan Inc mungkin kelihatan seolah-olah hendak menyelamatkan Tajuddin. Akan tetapi, sebenarnya ia juga cuba hendak menyelamatkan tokoh-tokoh politik yang lebih berkuasa, kerana Tajuddin hanya merupakan “nominee” (wakil) mereka saja.

Beberapa bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa MAS menghadapi masalah terutama sekali akibat kemerosotan ekonomi yang dialami oleh Asia mulai bulan Julai 1997. Akan tetapi beliau tidak menerangkan pula mengapa syarikat-syarikat penerbangan Asia yang lain, seperti Singapore Airlines dan Thai Airways selamat dalam keadaan yang sama. Bahkan sampai sekarang mereka terus beroperasi dengan agak baik.

Sepatutnya Mahathir dan Daim perlu juga menjelaskan dua perkara lain yang mungkin telah menambahkan masalah MAS. Pertama, boleh jadi MAS bertindak lebih daripada yang patut apabila ia memesan untuk membeli beberapa buah kapal terbang Boeing yang terkini serta tercanggih dengan harga berbilion ringgit sebelum ekonomi merudum dulu. Kedua, MAS boleh dikata telah dipaksa untuk menyerahkan usaha membawa rombongan haji setiap tahun, yang sangat menguntungkan itu, kepada Air Asia. Seperti yang diketahui ramai, salah seorang anak Perdana Menteri mempunyai kepentingan dalam syarikat Air Asia itu.

Kerajaan atau Kementerian Kewangan nampaknya sentiasa terpanggil untuk menyelamatkan kroni-kroni dan syarikat-syarikat kroni mereka yang nazak. Mengapakah mereka tidak begitu mengambil berat terhadap nasib sebahagian besar rakyat yang jauh kurang bernasib baik? Umpamanya, pekebun kecil kelapa sawit sedang menghadapi berbagai-bagai kesulitan kerana harga kelapa sawit jatuh daripada RM300 satu ton sebelum kemelesetan ekonomi berlaku kepada RM80 satu ton sekarang?

Penoreh getah dan petani padi juga sedang menghadapi berbagai-bagai kesulitan berhubung harga rendah dan masalah untuk menjual hasil mereka. Mengapakah tidak ada pertolongan daripada kerajaan untuk menyelamatkan mereka daripada kesulitan yang mereka hadapi? Adakah Mahathir dan Daim merasakan petani serta pekebun kecil ini tidak perlu dibantu kerana pilihanraya masih jauh lagi dan mereka bukannya kroni? Akan tetapi, bukankah Mahathir pernah mendakwa bahawa semua orang Melayu kroni beliau?

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM

19hb Januari 2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 23 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com