Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Sikap PAS dan Keadilan Menguntungkan BA (2)

Saya telah mengikuti dengan teliti dan hemat berhubung dengan tindakan PAS dan Keadilan terhadap tawaran Dr M untuk berbincang dengan Umno berhubung perpaduan Melayu. Pemerhatian ini bukan sekadar membaca kenytaan-kenyataan dan tulisan-tulisan samada pro atau kontra di laman-laman web malah turun ke peringkat akar umbi bergaul ,berbual dan memberikan penjelasan. Memang wujud sedikit kegusaran, terutama di kalangan ahli dan penyokong 'pure' PAS lebih-lebih lagi kepada mereka yang menilai isu ini dengan sentimen dan semangat semata-mata. Hal ini lebih ketara di kalangan mereka yang pernah melihat dan merasa sendiri hasil, kesan dan akibat tindakan PAS menyertai BN suatu ketika dahulu.

Saya berpandangan bahawa memang peringkat akar umbi wajar melahirkan kegusaran sedemikian lantaran sayang dan cinta mereka kepada jamaah ini.Ini memang wajar berlaku lantaran kesukaran mereka mendapat makluman tepat dan terkini berhubung persoalan ini. Mereka tiada kemudahan internet. Sumber maklumat mereka ialah surat khabar, tv dan pertukaran pendapat di 'parlimen kedai kopi'.Cuma kadang-kadang bila saya sempat bersama mereka di 'parlimen' berkenaan dan memberikan sedikit penjelasan, kegusaran itu makin berkurangan dan kembali meletakkan kepercayaan penuh kepada pimpinan tertinggi PAS untuk merangka strategi seterusnya.

Apabila kita bertarung, kadang-kadang kita boleh mengalahkan musuh dengan senjata musuh sendiri. Tidak semestinya apabila kita bertinju (lebih-lebih lagi dengan Umno dalam gelanggang politik yang semua peraturan bertinju diketepikan) kita hanya boleh menumpaskan lawan kita dengan tumbukan sahaja. Kadang-kadang kita boleh juga menggigit telinga dan lawan kita kalah dengan tindakan itu. Buat masa ini Umno melepaskan tumbukan dan kita melayani tumbukan itu dengan tepisan-tepisan kecil. Kita yakin Umno akan keletihan apabila pertarungan ini berlangsung berpuluh-puluh pusingan dan dia akan rebah tanpa perlu kita melepaskan tumbukan. Ini adalah analogi 'parlimen kedai kopi' yang dibuat oleh ahli PAS 'pure' yang menyokong sepenuhya sikap yang diambil pimpinan PAS.

Cuma saya ingin melahirkan sedikit kekesalan terhadap beberapa tulisan di beberapa laman web yang mempertikaikan, kadang-kadang secara 'kurang beretika' (kritikan pedas tetapi beretika adalah diiktiraf) tindakan yang diambil oleh PAS walau pun tulisan itu diragui kesahihan sumbernya.Bagi saya, penulis sedemikian sebenarnya tidak menghayati kesan tindakan PAS ini diperingkat akar umbi. Dia hanya menilai kesannya berdasarkan sentimen dirinya sendiri.

Terus-terang saya katakan , tindakan PAS ini berjaya menutup mulut pemimpin Umno diperingkat kampong. Mereka kehilangan hujah. Slogan kita, 'Memasyarakatkan PAS', 'Pas Memimpin Perpaduan', terlaksana melalui tindakan ini. Dulunya surau-surau yang dikuasai oleh pimpinan Umno tempatan tak dapat ditembusi, kini boleh ditembusi dan kita berjaya menyampaikan mesej kita. Ini berlaku atas nama perpaduan.

Dulu apabila ada orang Umno mengadakan kenduri, kita tidak dijemputnya tetapi kini dijemput. Ini peluang untuk kita berdakwah secara lisanul-hal kepada ahli dan penyokong Umno.

Dulu, jabatan-jabatan kerajaan juga takut untuk menjemput pimpinan kita ke majlis hari raya jabatan mereka. Kini mereka berani melakukannya. Ini dibuat atas apa yang dinamakan perpaduan. Bukankah ini perkembangan yang positif?

Kerana itu, saya berpandangan tindakan PAS ini 'menipiskan tembok' atau 'menghaluskan (bukan lagi mengecilkan) jurang pemisahan' antara orang Umno dan PAS. Bukankah ini suatu kejayaan besar? Kita tidak pun melepaskan penumbuk kepada Umno tetapi kita akan berjaya menggigit telinganya.

Orang Umno diperingkat akar umbi (kita perlu ingat diperingkat akar umbi, Umno masih ada kekuatan - kita jangan mudah terpukau dengan bilangan demonstrator ) juga sebenarnya gusar dengan perkembangan yang berlaku.Mereka juga ternanti-nantikan strategi pemimpin mereka selanjutnya. Dalam keadaan inilah jentera 'psiko war' parti perlu digerakkan untuk menimbulkan keraguan ahli Umno dan penyokongnya terhadap keupayaan pemimpin mereka Dulu mereka menghalakan senjata perpecahan kepada PAS dengan pelbagai tuduhan, tetapi kini senjata itu mereka terpaksa ketepikan dengan tindakan bijak PAS ini. Bukankah ini suatu kejayaan?

Saya mencadangkan supaya mereka yang mengkritik tindakan PAS supaya turun dan berbual serta bergaul diperingkat akar umbi. Kita akan nampak secara nyata, dari sudut mana sekali pun terutamanya untuk jangka panjang, pendirian PAS ini amat menguntungkan samada kepada PAS secara khusus atau kepada BA secara umum.

Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mengaktifkan semua komponen dan jentera parti terutamanya 'Khidmat Masyarakat'. Inilah peluang untuk kita menziarahi ahli dan penyokong Umno di peringkat akar umbi 'atas nama perpaduan'.Bukankah ini peluang kita dan bukankah itu senjata Umno yang kita manfaatkan?

Sebenarnya banyak lagi kesan positif dari keputusan PAS ini untuk saya kongsi tetapi cukuplah setakat ini ........

Ayuh, bekerja terus dan Insya-Allah Umno akan pupus.

Pemuda PAS Perlis


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 17 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com