KENYATAAN MEDIA (21 JANUARI 2001)
TUTUP PUSAT ASASI SAINS : UM CANGGAHI DASAR SAINS NEGARA
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) membantah tindakan Universiti Malaya (UM) menutup Pusat Asasi Sains UM baru-baru ini. DPP Pusat berpandangan bahawa tindakan pihak UM menutup pusat tersebut sebagai menyanggahi dasar kerajaan yang menggalakkan pelajar Bumiputera untuk menguasai bidang sains dan teknologi. Kementerin Pendidikan (KPM) sendiri menekankan penguasaan rakyat negara ini ke atas ilmu sains, teknologi dan maklumat sebagai persiapan untuk menghadapi globalisasi alaf baru ini.
DPP Pusat walau bagaimanapun tidak mempersalahkan UM sepenuhnya dalam isu penutupan pusat sains tersebut, tetapi meletakkan kesalahan tersebut kepada Kementerian Pendidikan yang mengarahkan semua universiti menutup pusat matrikulasi masing-masing bagi memberikan laluan kepada Pusat Matrikulasi KPM. Apa yang berlaku ini adalah manifestasi daripada dasar pendidikan negara yang sangat bercelaru sehingga ia terpaksa diubah pada setiap tahun sehingga memeningkan kepala pensyarah, guru, ibu bapa dan pelajar sendiri.
DPP Pusat mempertikaikan arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya penutupan pusat tersebut ditarik balik kerana apa yang diputuskan oleh UM itu selari dengan arahan KPM. Timbalan Perdana Menteri sepatutnya mempertegaskan perkara ini dalam mesyuarat kabinet sebelum semua pusat matrikulasi di universiti ditutup. Tetapi ternyata arahan Timbalan Perdana Menteri ini merupakan arahan politik yang menggambarkan ketidakcekapan pentadbiran kerajaan seperti mana arahan pembatalan diskaun saman oleh Timbalan Perdana Menteri beberapa hari sebelum itu.
DPP Pusat sebenarnya melihat bahawa pelajar Bumiputera sepatutnya diberi peluang untuk belajar di pusat-pusat matrikulasi dan pusat asasi sains di universiti awam kerana selain daripada memberi peluang pendidikan tinggi kepada pelajar Bumiputera, ia juga akan memberi peluang kepada pelajar untuk mendapat kemudahan belajar yang lebih baik, pensyarah yang lebih berpengalaman dan mendedahkan kepada kematangan pelajar. Dengan kemudahan yang sedia ada inipun, pelajar Melayu masih belum mampu bersaing, maka apakah dengan penutupan pusat ini pelajar Melayu akan mampu untuk menguasai sains dan teknologi seperti mana bangsa lain.
DPP Pusat membimbangi sekiranya langkah penutupan ini akan mengembalikan jurang ketidakseimbangan akademik yang besar antara pelajar Melayu dan bukan Melayu. Sedangkan objektif asal penubuhan pusat asasi sains adalah untukmemberi peluang kepada pelajar Melayu untuk bersaing secara kompetitif dalam semua bidang sains dengan pelajar bukan Melayu. Sebelum ini pun beberapa pensyarah pernah menyatakan kebimbangan tentang jurang professional yang besar sedang berlaku antara orang Melayu dengan bukan Melayu yang membuktikan objektif tersebut masih belum berjaya.
DPP Pusat juga menyokong pandangan beberapa pensyarah yang mengatakan bahawa pusat asasi sains mesti dikekal kerana pusat matrikulasi KPM masih gagal untuk mencapai standard akademik yang digubal di fakulti-fakulti universiti awam. Ini kerana KPM telah menyelaraskan sukatan pelajaran semua pusat matrikulasi sedangkan di universiti, mereka mempunyai sukatan yang berbeza. Kerana itu para pelajar pusat matrikulasi masih belum mampu untuk bersaing dengan pelajar bukan Melayu apabila berada di universiti.
DPP Pusat mencadangkan supaya semua universiti termasuk universiti swasta digalakkan membuka pusat matrikulasi masing-masing seperti mana sebelum ini, selain mengekalkan pusat-pusat matrikulasi KPM yang sedia ada untuk meneruskan pendemokrasian pendidikan di negara ini. Dengan wujudnya lebih banyak pusat matrikulasi, para pelajar Bumiputera akan lebih mampu untuk bersaing dengan bangsa lain dan seterusnya mengurangkan jurang antara kaum di negara ini.
DPP Pusat juga menuntut supaya pusat matrikulasi dikendalikan oleh pensyarah yang lebih berpengalaman dan berkelulusan yang lebih tinggi untuk meningkatkan penguasaan pelajar terhadap bidang sains dan teknologi. Buat masa ini, sebahagian besar pensyarah di pusat matrikulasi adalah lepasan ijazah pertama sahaja, sedangkan para pelajar adalah dalam persiapan untuk ke universiti. Kerana itu, sekiranya pusat matrikulasi di universiti dikekalkan, pengalaman dan kecemerlangan akademik tenaga pengajar universiti dapat dimanfaatkan.
DPP Pusat juga menyeru kepada seluruh warga mahasiswa, ahli akademik dan ibu bapa supaya lebih prihatin dengan dasar pendidikan negara yang semakin sehari semakin bercelaru. Sekiranya tindakan-tindakan aneh kerajaan ini tidak disekat, mungkin suatu hari nanti penduduk negara ini akan menghadapi masalah yang besar dalam bidang pendidikan. Rakyat Malaysia juga mesti mengambil langkah yang wajar supaya dasar-dasar kerajaan bukan tidak membebankan rakyat, tetapi juga tidak menindas rakyat.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat