KENYATAAN MEDIA (23 JANUARI 2001)
PERLANTIKAN MOHTAR ABDULLAH CEMAR IMEJ KEHAKIMAN
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius pengumam kerajaan BN bahawa bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah akan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Bagi DPP Pusat perlantikan Mohtar adalah suatu penghinaan yang boleh mencemarkan nama baik badan kehakiman yang sebelum ini telah tercalar sebahagiannya akibat perbuatan Mohtar sendiri yang sanggup menjadi alat BN.
DPP Pusat berpandangan bahawa perlantikan ini sangat bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini yang berharap dengan perlantikan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang baru, imej kehakiman dapat dipulihkan di mata rakyat. Sebelum ini seluruh rakyat mengkritik dan mempertikaikan tindakan Mohtar yang memainkan peranan besar dalam konspirasi politik yang menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi rakyat, Mohtar adalah manusia yang bertanggunjawab menyebabkan Anwar terpaksa meringkuk dalam penjara selama 15 tahun tanpa sebarang pembuktian yang jelas tentang fitnah yang dibuat oleh Mohtar di mahkamah. Mohtar juga bertanggungjawab terhadap pembebasan Tan Sri Rahim Tamby Chik, Tan Sri Muhamad Mohd Taib, Datuk Seri Rafidah Aziz, Tun Daim Zainuddin dan sebagainya sedangkan mereka mempunyai bukti jenayah untuk didakwa.
DPP Pusat merasakan bahawa sangat memalukan bagi system perundangan negara ini apabila seorang yang tidak bermaruah seperti Mohtar dilantik untuk menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan yang bakal memutuskan perkara-perkara yang penting dalam system perundangan negara ini. Dengan perlantikan Mohtar ini, keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman akan semakin merosot walaupun Ketua Hakim dan Peguam Negara berusaha untuk membersihkannya.
Rakyat tentu masih ingat bagaimana kes fiasco Tun Salleh Abbas, surat berantai Syed Idid, kes bercuti luar negara Tun Eusoff Chin bersama VK Lingam, pendakwaan berpilih pemimpin BN, kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya telah menyebabkan badan kehakiman menjadi begitu tercela pada pandangan rakyat. Keyakinan rakyat kepada badan kehakiman sebagai pelindung terakhir hak mereka telah tercabut dan mereka sedang meragui institusi ini.
DPP Pusat menentang keras perlantikan ini dan mengutuk Perdana Menteri yang menguatkan cengkamannya dalam badan kehakiman dengan menasihati Yang DiPertuan Agong supaya melantik Mohtar sebagai hakim mahkamah persekutuan ini. DPP Pusat mengingatkan Kerajaan BN supaya tidak menyalahkan rakyat jika mereka turun ke jalan raya untuk membantah tindakan dangkal BN ini dan DPP Pusat pasti rakyat akan bertindak kerana institusi harapan mereka telah dilacur oleh BN.
DPP Pusat mengajak rakyat untuk membantah perlantikan ini dan menjatuhkan BN segera sebagai tindak balas terhadap kedangkalan BN ini. DPP Pusat sangat berharap supaya rakyat menggunakan segala kesempatan untuk menyelamatkan institusi ini daripada terus diperalatkan oleh BN melalui jawatan yang dipegang oleh Mohtar Abdullah. DPP Pusat menjangkakan mungkin Dr Mahathir akan melantik Mohtar sebagi Ketua Hakim Negara pada masa akan dating untuk menguatkan lagi cengkamannya ke atas rakyat.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat