KENYATAAN MEDIA (22 JANUARI 2001)
KEJATUHAN ESTRADA : BN PATUT AMBIL IKTIBAR
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Filipina kerana melaksana demokrasi secara telus dan bersedia menjatuhkan mana-mana pemimpin sekiranya mereka bertindak curang dalam menguruskan pentadbiran negara. DPP Pusat juga mempunyai keyakinan bahawa budaya mengutamakan ketelusan kerajaan akan menjadi trend masyarakat rantau ini termasuk rakyat Malaysia dalam masa yang terdekat ini.
DPP Pusat sebenarnya sangat optimis dengan perkembangan politik yang positif yang berlaku di rantau ini di mana tahap kesedaran politik rakyat sangat tinggi sehingga mereka menyedari hak dan kuasa mereka termasuk untuk menurunkan pemimpin yang zalim, rakus, menyeleweng, menyalahguna kuasa, salah laku, korupsi, kronisme dan sebagainya. Dalam bulan pertama tahun ini, Perdana Menteri Thailand, Chatichai Chonavan telah dijatuhkan oleh rakyat kerana wujudnya penyelewengan dalam kerajaan dan kini giliran Presiden Estrada pula menerima hakiksat kebangkitan rakyat selepas beliau disyaki menerima rasuah.
Di Indonesia, Presiden Gus Dur sedang tergugat kerana kegagalannya mengambil tindakan ke atas dictator Suharto dan gagal menguruskan negara dengan baik. Riak kebangkitan ini juga sedang kelihatan di Myanmar dan Singapura. Di Malaysia, semenjak akhir alaf lalu rakyat juga sedang menuntut reformasi politik, ekonomi dan social daripada kerajaan BN kerana kezaliman, penindasan, kerakusan, penyelewengan, salah laku, salah guna kuasa, korupsi, kronisme dan sebagainya yang ditaja oleh BN.
DPP Pusat mengutuk kenyataan pemimpin Pemuda Umno yang menganggap apa yang dilakukan oleh rakyat Filipina sebagai suatu yang buruk kerana menjatuhkan pemimpin yang mereka pilih sehingga dianggap menyalahi teori domino. Bagi DPP Pusat, rakyat berhak memilih pemimpin mereka dan pemimpin yang dipilih mesti dijatuhkan segera sekiranya mereka didapati menyeleweng daripada tanggungjawab. DPP Pusat melihat kenyataan Pemuda Umno ini sebagai suatu luahan kebimbangan sekiranya pemimpin dictator seperti Dr Mahathir dan parti yang zalim seperti BN dijatuhkan oleh rakyat seperti yang dilakukan oleh jiran mereka.
DPP Pusat mengajak pemimpin BN supaya mengambil iktibar daripada kejatuhan Estrada dan Chanovan dengan mengembalikan keadilan, ketelusan dan hak kepada rakyat serta melaksanakan hukum Allah di muka bumi ini. DPP Pusat menyeru rakyat supaya mencontohi tindakan rakyat Filipina dan Thailand untuk menegakkan keadilan dalam pentadbiran negara. Pemimpin yang zalim mesti dijatuhkan segera dan rakyat mesti memberi peluang kepada BA untuk membuktikan kemampuannya.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat