Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perutusan Tahun Baru Cina Presiden PAS

Dato’ Fadzil Mohd. Noor
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
23 Januari 2001

PAS Ucap Selamat Tahun Baru Cina “ Gong Xi Fa Chai ”

Bagi mewakili kepimpinan dan seluruh warga Parti Islam SeMalaysia, saya dengan penuh sukacita dan rasa bahagia mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina – “ Gong Xi Fa Chai ” kepada seluruh kaum Tionghua di negara ini. Pastinya dalam perayaan Tahun Baru Cina ini juga, rakyat dari seluruh lapisan kaum, bangsa, agama dan budaya akan turut menyambut dan memeriahkan suasana seperti yang terdapat dalam semua hari kebesaran agama dan budaya di negara ini. Kebersamaan dan keceriaan serta rasa saling hormat menghormati di antara kaum, agama dan budaya, sekaligus membayangkan bahawa negara ini mampu menjalinkan perpaduan nasional yang kukuh, bermakna dan berpanjangan.

Sementara saya cukup yakin bahawa semua kita mahukan kebaikan dan kesejahteraan untuk negara yang tercinta ini, kita terpaksa menerima hakikat bahawa negara ini masih belum bebas dari berbagai krisis dan kemelut yang menekan kebangunan semula negara ini. Tahun -tahun yang menutupi dekad terakhir abad 20 Masehi yang serentak membawa negara ini bahkan dunia ini ke alaf baru 3 Masehi menyaksikan bahawa rakyat di negara ini masih berhempas-pulas bergelut dengan beraneka angkara kezaliman politik, perkosaan perundangan dan perlembagaan, penyalahgunaan kuasa, amalan kronisme, nepotisme dan rasuah, pemborosan dan kepincangan pengurusan aset dan perbendaharaan negara yang seluruh membawa kegawatan dan hempitan hidup yang maha dahsyat kepada rakyat khususnya golongan yang miskin, daif, mustadafiin dan marhain.

Dalam mendepani seluruh krisis dan kegawatan ini, bangkit satu pakatan tindakan parti-parti pembangkang yang hari ini lebih disenangi dengan panggilan Barisan Alternatif atau dengan singkatannaya BA. Dalam pilihanraya umum ke-10 tahun 1999 yang lalu dan 3 pilihanraya kecil yang menyusul ternyata BA semakin kuat, semakin berpadu dan semakin bersemangat. Apa yang lebih penting BA semakin mendapat sokongan dan dokongan rakyat. Khususnya dalam pilihanraya kecil di Telok Kemang dan kemenangan BA di DUN Lunas, saya berkeyakinan bahawa sokongan dari kaum Tionghua, adalah antara faktor kritikal dalam prestasi BA tempoh hari. Maka saya mengucapkan syabas kepada golongan kaum Tionghua yang berani membuat perubahan dan bertekad untuk sama-sama mendukungi perubahan dan reformasi yang diperjuangkan oleh Barisan Alternatif. Saya mengharapkan bahawa masa kehadapan ini akan menyaksikan lebih ramai lagi kaum Tionghua khasnya dan seluruh rakyat amnya, untuk terus bangun dan bertekad untuk mendukungi perjuangan BA untuk Menegakkan Keadilan dan Membanteras Kezaliman.

Sekian, Selamat Tahun Baru Cina “ Gong Xi Fa Chai ”

Dato’ Hj. Fadzil Mohd Noor
Presiden PAS
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 24 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com