Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


PERPADUAN MELAYU : UMNO DAN MEDIA MASSA BERBOHONG

KENYATAAN MEDIA (10 JANUARI 2001)

PERPADUAN MELAYU : UMNO DAN MEDIA MASSA BERBOHONG

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa yang sangat kesal terhadap sikap tidak profesional media massa terutamanya Utusan Malaysia yang ditunggangi oleh Umno kerana memuatkan laporan yang tidak benar dan berniat serong terhadap pemimpin PAS. DPP Pusat berpandangan bahawa tindakan media ini mengesahkan sikap tidak ikhlas Umno yang melontarkan cadangan pertemuan tiga parti untuk tujuan perpaduan Melayu tetapi sebenarnya untuk survival politik Umno.

Ini membuktikan bahawa pertemuan tiga buah parti yang dicadangkan oleh Umno atas tema perpaduan Melayu bertujuan untuk menjerat pemimpin BA terutama pemimpin PAS dan mengelirukan rakyat terutamanya 65 peratus pengundi Melayu dan 30 peratus pengundi bukan Melayu yang menyokong BA dalam pilihanraya yang lepas. Ternyata laporan palsu dan putar belit yang dibuat oleh media massa ini berniat jahat iaitu untuk menimbulkan keraguan dan keresahan rakyat terhadap pemimpin BA/PAS.

DPP Pusat sebagai sayap kanan parti yang juga terlibat dalam perbincangan urusan dasar parti mempertegaskan bahawa kami sangat kecewa dengan sikap Umno yang memperalatkan media bagi melakukan pembohongan terhadap keputusan sebenar PAS ini. DPP Pusat mempertegaskan bahawa PAS sebenarnya menolak sepenuhnya cadangan Umno untuk bertemu bagi membincangan masalah perpaduan Melayu kerana PAS berpandangan isu perpaduan tidak pernah berbangkit. Sebagai membuktikan keterbukaan PAS, PAS mengemukakan tawaran balas iaitu berbincang tentang isu-isu nasional dan berkepentingan semua pihak.

PAS melihat bahawa tidak pernah berlaku perpecahan di kalangan orang Melayu, tetapi sebaliknya yang berpecah ialah Umno kerana orang-orang Melayu sudah benci kepada kezaliman, penindasan, ketidakadilan, kerakusan dan tipu daya pemimpin Umno. Ahli Umno juga sudah meluat dengan Dr Mahathir tetapi tidak dapat menjatuhkannya. Tetapi kini mereka semua sedang bersatu padu di bawah payung BA dan ini sangat menggugat Umno. Terbukti yang berlaku ialah anjakan landskap minda orang Melayu yang mulai membenci kezaliman bukannya berpecah, tetapi bersatu menolak kezaliman Umno.

DPP Pusat juga mengulangi bahawa PAS bersikap terbuka dan sedia untuk berunding dengan pemimpin Umno tentang semua isu nasional yang melibatkan kepentingan semua pihak bukannya melibat kepentingan politik Umno sahaja. PAS bersedia untuk berbincang tentang penghinaan terhadap agama, salah guna kuasa pemimpin, kezaliman, kemiskinan rakyat, kebajikan, masalah luar bandar dan masalah sosial di negara ini.

DPP Pusat mempertegaskan bahawa jika Umno bersetuju dengan pandangan PAS untuk membincangkan isu-isu ini, maka pertemuan boleh diteruskan. Tetapi sekiranya Umno tidak mahu membincangkan perkara ini, kita boleh melupakan sahaja pertemuan tersebut. Lagipun PAS tidak berminat untuk membincangkan isu Melayu semata-mata kerana PAS bukan parti orang Melayu, sebaliknya parti umat Islam yang bersifat universal. Kepentingan semua pihak di negara ini mesti diutamakan bukannya menumpukan kepada memenuhkan tembolok zalim pemimpin kerajaan BN.

DPP Pusat berpandangan bahawa sekiranya Umno bersetuju untuk bertemu bagi membincangkan masalah-masalah yang berbangkit peringkat nasional seperti yang dicadangkan oleh PAS, maka Umno hendaklah menghentikan adu domba isu perkauman ini. Umno mestilah mengangap pertemuan ini untuk menangani isu-isu nasional bukannya isu-isu yang sempit. Isu-isu yang berbangkit hendaklah berkaitan dengan isu-isu nasional yang hendak dibincangkan oleh kedua-dua parti.

DPP Pusat juga mempertegaskan bahawa PAS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap media massa yang yang selalu menyelewengkan kenyataan-kenyataan pemimpin PAS. DPP Pusat telahpun mengarah peguam untuk mengkaji perkara ini dan kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tersebut jika pembohongan ini terus berulang.

DPP Pusat menyeru rakyat negara ini supaya tidak terpedaya dengan tipu helah Umno yang menggunakan isu perkauman untuk kepentingan politik sempit mereka. Rakyat perlu menyedari bahawa Umno/BN telah memperalatkan sepenuhnya media untuk memenuhi matlamat jahat mereka mengekalkan kezaliman ke atas rakyat. Dan rakyat mesti bertindak balas dengan terus memencilkan Umno/BN daripada persada politik negara ini bagi memberi laluan kepada BA dan menikmati keadilan yang sejati.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 15 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com