KENYATAAN MEDIA (3 JANUARI 2001)
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius isu perpaduan terutamanya yang melibatkan orang-orang Melayu yang dimainkan oleh Umno/BN sehingga boleh menimbulkan semangat perkauman yang tinggi dan mungkin boleh menjejaskan kestabilan politik silang budaya di negara ini. DPP Pusat berpandangan pihak Umno/BN sengaja menggembar-gemburkan isu perkauman ini untuk menutup penolakan orang-orang Melayu terhadap Umno yang digambarkan sebagai wujudnya perpecahan di kalangan orang-orang Melayu.
DPP Pusat melihat sebenarnya tidak pernah berlaku sebarang perpecahan atau ketegangan dalam perpaduan orang-orang Melayu di negara ini. Yang berlaku ialah suatu landskap baru pemikiran politik orang-orang Melayu telah terbina akibat daripada kezaliman dan kerakusan yang dilakukan oleh Umno/BN ke atas rakyat negara ini. Yang berlaku perpecahan ialah politik dalaman Umno akibat timbulnya ketidakpuasan hati ahli-ahli Umno terhadap kezaliman pemimpin mereka terutama yang dilakukan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga penghinaan ke atas agama Islam.
DPP Pusat tidak begitu tertarik untuk bersama-sama terjun di dalam menggerakkan lagi sentimen perkauman ini kerana menyedari hakikat sebenarnya bahawa perpecahan yang dimaksudkan oleh pemimpin Umno ialah apabila orang-orang Melayu menolak Umno. Dan yang lebih dahsyat apabila orang-orang Umno pula secara tersembunyi menolak kepemimpinan zalim Dr Mahathir. Sebenarnya perpaduan yang dimaksudkan akan dapat diwujudkan sekiranya Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai pemimpin Umno dan kerajaan serta rakyat memberikan peluang kepada BA yang disokong oleh semua kaum termasuk orang Melayu untuk memerintah negara ini.
Kerana itu DPP Pusat merasakan bahawa adalah yang membuang masa untuk terus membincangkan isu politik perkauman yang sempit ini. PAS daripada awal lagi tidak memilih landasan perkauman sebagai agenda perjuangan tetapi memilih Islam yang syumul dan bersifat universal untuk dijadikan aqidah perjuangan. Toeri politik perkauman yang ditaja oleh komponen BN ternyata menjadi punca yang besar ke arah perpecahan rakyat negara ini sehinggakan pelbagai pihak menuntut hak perkauman masing-masing yang didakwa telah tercabul dalam masa pemerintahan BN.
DPP Pusat serius melihat bahawa tujuan utama isu perkauman ini terus diadu-dombakan ialah untuk menjamin kepentingan politik sempit Umno yang mulai terkapai-kapai setelah ditolak oleh orang Melayu dalam pilihanraya umum yang lalu. Pemimpin Umno juga menghentam Suqui kerana maksud yang sama bukannya untuk menjaga hak istimewa orang Melayu, kerana Umno sendiri sejak lebih 40 tahun telah mencabul hak istimewa itu sendiri.
DPP Pusat juga berpandangan bahawa idea perpaduan orang Melayu yang melibatkan Umno, PAS dan Keadilan yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri adalah gambaran kebimbangan seorang pemimpin yang berada di ambang kejatuhan. PAS sebelum ini beberapa kali mengemukakan cadangan muzakarah tetapi ditolak oleh Umno. PAS juga pernah meminta Umno untuk kembali ke landasan Islam untuk membentuk perpaduan tetapi dipandang sinis oleh Umno. Kini, apabila mereka tersepit mereka cuba menjadikan parti pembangkang yang menjadi alternatif kepada orang Melayu sebagai kambing hitam. Kerana itu, DPP Pusat melihat jika untuk berbincang tentang politik orang Melayu, Parlimen yang melibatkan semua pemimpin tertinggi parti terbabit sudah cukup untuk menjadi medan perbincangan.
DPP Pusat juga berpandangan bahawa dengan isu terbaru yang dibangkitkan oleh Umno/BN ini terbukti bahawa slogan perpaduan yang dicangangkan oleh BN sepanjang 43 tahun memerintah negara ini adalah gagal. Slogan Umno 'Untuk Agama, Bangsa dan Negara' juga menjadi sendiwara apabila mereka sendiri berusaha supaya isu agama dan bangsa tidak dijadikan isu politik pilihanraya. Usaha-usaha mereka termasuk membubarkan Parti Melayu S46 juga gagal membawa perpaduan kerana tidak akan wujud perpaduan di bawah payung kezaliman.
DPP Pusat mempertegaskan bahawa usaha-usaha untuk mengemblengkan perpaduan rakyat terutama untuk menentang kezaliman akan diteruskan. DPP Pusat sendiri akan mempelopori usaha perpaduan ini supaya kezaliman BN dapat dihentikan dengan segera. Bagi DPP Pusat tidak ada makna sebuah perpaduan sekiranya perpaduan tersebut bertujuan untuk menyokong dan mengekalkan kezaliman pemerintah ke atas rakyat. Perpaduan yang dicangang oleh Umno hari ini adalah bertujuan untuk mengekalkan kelangsungan kuasa, kezaliman, fitnah dan penindasan mereka ke atas rakyat. Kezaliman yang berlaku ini bukan lagi suatu sendiwara tetapi realiti. DPP Pusat tidak menolak perpaduan tetapi menolak sendiwara Umno.
DPP Pusat menyeru seluruh rakyat negara ini supaya tidak terkeliru dengan isu sempit yang dimainkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik mereka. Sebaliknya rakyat mesti bertekad untuk membina perpaduan semua bangsa yang bertujuan untuk menolak politik perkauman dan kezakiman yang ditaja oleh BN. Dengan menghentikan kezaliman BN ini rakyat akan hidup aman, bebas dan penuh keadilan di bawah pimpinan BA. Kezaliman yang selama ini menghantui perasaan rakyat negara ini akan dilenyapkan dan rakyat akan bersatu padu tanpa mengira sentimen agama, bangsa dan keturunan.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat