Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Penyatuan Melayu: Apakah Persamaan Ideologi itu??

Sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Meloya hari ini berkenaan pandangan dan pendapat beberapa orang tokoh akademik dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) terhadap isu penyatuan orang Melayu mendapati bahawa mereka bersetuju tentang perlunya pimpinan orang Melayu menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan mereka sekaligus sebagai jaminan kepada mempertahankan hak dan kedudukan bangsa Melayu itu sendiri.

Soalnya sekarang siapakah yang sebenarnya ikhlas di dalam mempertahankan dan memperjuangkan nasib dan hak orang-orang Melayu Islam di negara kita?? Dan siapakah di kalangan pimpinan politik orang Melayu yang melihat isu ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan memiliki sifat dan sikap keterbukaan mereka di dalam memperbincangkan persoalan orang-orang melayu Islam ini?? Dan juga manakah pihak melalui prinsip, dasar dan perlembagaannya yang benar-benar lebih bersifat jitu dan mampu menjamin tercapainya hasrat penyatuan yang melampaui batas perkauman atau bangsa di dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan bangsa seperti negara kita??

Persoalan-persoalan tersebut harus dikaji dan dilakukan penelitian sewajarnya oleh semua orang melayu Islam di negara ini. Justeru itu menjawabnya dengan penuh rasa keikhlasan, bertanggungjawab dan menyematkan rasa keterbukaan dan menerima hakikat kebenaran tanpa didahului oleh pransangka buruk dan prejudis terhadap mana-mana pihak atau dirasuk oleh perasaan kebencian dan syak wasangka lantaran perbezaan ideologi dan pandangan dengan mana-mana pihak lain atau seteru kelompok, kumpulan ataupun pertubuhan tertentu. Dan apa yang menjadi panduan di dalam menentukan jawapan dan pilihan adalah berdasarkan pandangan-pandangan yang telah dikemukakan oleh tokoh-tokoh berkenaan.

Maka kita boleh membuktikan bahawa kununnya perpecahan dan persengketaan orang-orang melayu sebagaimana yang diwar-warkan adalah berpunca apabila di kalangan orang melayu sendiri sudah hilang nilai-nilai permu'afakatan, toleransi, saling hormat-menghormati, kemampuan mendengar atau menerima pandangan, nasihat dan teguran orang lain, kebolehan menimbang dan memikir secara waras serta kolektif dan mendalam dalam sesuatu masalah dan persoalan bersama dan banyak lagi unsur dan nilai mulia yang menjadi budaya dan cara hidup orang-orang melayu dahulu kala. Kita begitu yakin bahawa nilai-nilai seperti inilah di antaranya yang menjadi senjata ampuh orang-orang melayu dan kepimpinan orang melayu sejak berzaman-zaman lamanya. Mereka sedikit sebanyak telah menghayati dan begitu komitmen dengan kehidupan cara beragama yang menyemai nilai-nilai tersebut semenjak mereka dilahirkan juga di alam persekolahan sehinggalah ke peringkat mereka menjadi pemimpin di kalangan orang melayu. Hasilnya dengan penghayatan sebahagian dari nilai-nilai agama itulah yang membolehkan mereka bersatu dan mengenepikan unsur-unsur yang memihak kepada kepentingan diri, peribadi mahupun kelompok politik masing-masing.

Maka terbuktilah sebagaimana Dato' Onn melalui sikapnya berjaya 'menyatupadukan' pertubuhan-pertubuhan orang melayu sebagaimana yang dilaporkan. Persoalannya kini, apakah sikap yang dimiliki oleh Dato' Onn ini masih juga dimiliki oleh pimpinan Melayu ketika ini khususnya pemimpin-pemimpin politik dari parti UMNO? Kita dan rakyat masih ragu terhadap keupayaan pimpinan UMNO kini di dalam menangani isu penyatuan melayu ini berdasarkan pergolakkan politik dalaman UMNO semenjak lebih dua tahun lalu yang membawa kepada perpecahan, perselisihan dan persengketaan di kalangan pimpinannya. Sehinggalah kini pimpinan Melayu UMNO cuba meletakkan kesalahan di kalangan sesetengah pimpinan mereka dan masalah dalaman ahlinya kununnya akibat dari orang lain atau kelompok seteru politiknya di luar di kalangan pembangkang.

Di manakah prinsip, pegangan, panduan dan kaedah serta nilai-nilai agama yang menjadi rujukan pimpinan UMNO untuk menangani perpecahan dan penolakkan orang melayu terhadap UMNO kini? Bukankah UMNO dan kalangan ahlinya yang terdiri dari orang-orang melayu itu (sekitar 2.7 juta ahli) yang berpecah dan bersengketa dan bukannya orang-orang melayu secara keseluruhannya (lebih kurang 10 juta) itu????

Jadi apakah relevennya dengan 'propaganda' perpecahan orang-orang Melayu sebagaimana yang diperbesar-besarkan?? Sebahagian dari 2.7 juta orang melayu sahaja yang tidak mahu bersatu dan bukan kesemua jumlah 10 juta orang itu. Dan jika dikaji dan diselidiki secara rambang 'perpecahan' itu berlaku apabila sebahagian besar dari kalangan orang-orang Melayu telah mempunyai kesedaran dan kefahaman yang tinggi terhadap cara hidup Islam lantas mereka ingin kembali kepada Islam secara keseluruhannya sementalahan sebahagian kecil mereka di kalangan pimpinan Melayu yang berkuasa dan berkepentingan masih cuba mempertahankan ideologi dan cara hidup yang tidak menjadikan Islam sebagai dasar dan panduan yang syumul. Maka berlakulah pertembungan dua kelompok ini dari berbagai sudut samada dari segi ideologi, pemikiran, prinsip mahupun matlamat dan penghayatan dalam kehidupan mereka . Inilah kemungkinan apa yang dianggapkan 'perpecahan' itu.

Sekiranya benarlah yang demikian itu dianggap sebagai perpecahan orang-orang melayu, maka sudah sewajarnyalah ianya berlaku lantaran kebenaran dan kebatilan tidak pernah samasekali bersekongkol keduanya sebagaimana halnya Nabi Muhammad berbangsa Arab bersetru dengan Abu Lahab dan Abu Jahal yang juga berbangsa Arab. Dan Abu Jahal juga pernah menuduh Nabi SAW membawa ajaran yang salah lalu mengakibatkan perpecahan di kalangan Bangsa Arab. Apakah mungkin pertunjuk sejarah sedemikian berlaku kini dan mendatang?? Sama-samalah kita fikirkan.

Kita beranggapan demikian mungkin merujuk kepada apa yang berlaku akhir-akhir ini apabila berlaku pertembungan antara dua kelompok besar ini (sebahagian yang pro-Islam sepenuhnya dan sebahagian pro-Islam Skular) khususnya di dalam hal-hal yang berkaitan Islam dan kehidupan, ajaran dan tasawwurnya. Sebagai contoh di dalam persoalan Ibadah, antara kehidupan untuk beribadah ataupun mengasingkan kehidupan dari beribadah, antara keutamaan dunia dan kepentingan akhirat, antara berpolitik secara Islam atau berpolitik demi kepentingan, antara kepentingan 'akidah dan keutamaan ekonomi, antara persaudaraan Islam atau kepentingan bangsa dan kaum, antara keutaman menunaikan amanah dan tanggungjawab Allah atau berselindung atas nama kepentingan negara dan rakyat bagi kepentingan diri dan puak dan seterusnya.

Begitulah scenario yang berlaku, akibat kegagalan pimpinan melayu Islam dan terhadnya sifat keterbukaan di kalangan mereka di dalam menangani persoalan-persoalan tersebutlah maka pertembungan itu akan terus berlaku sedangkan para ulama dan cendikiawan Islam mendapat sekatan dan halangan dari membantu mereka mendidik, mengajar, memberikan maklumat tentang kebenaran dari sudut tasawurnya tentang Islam dan ajarannya kepada umat melayu Islam yang ternyata semakin terus cinta dan dahagakan keilmuan Islam di dalam semua peringkat dan lapisan.

Menyedari hakikat ini, apakah satu tindakan bijak pihak pemerintah di kalangan pimpinan Melayu Islam ini cuba menongkah arus dengan berbagai tindakan yang tidak munasabah terhadap kegiatan dan kehidupan orang-orang melayu yang secara umumnya tidak terpisah dengan Islam dan ajarannya seperti menghadkan fungsi Mesjid, menyekat anak-anak melayu Islam dari mendapatkan pendidikan secara mudah di negara-negara umat Islam Timur Tengah seperti suatu ketika dahulu dengan berbagai akta dan anakmen dan berbagai-bagai lagi yang dilihat umat melayu Islam semakin tidak bebas dari mempraktikkan dalam kehidupan mereka segala ideologi Islam yang mereka fahami.

Lalu apakah sebenarnya maksud persamaan ideologi yang diinginkan selain dari ISLAM sebagai jalan keluar kepada perpecahan dan persengketaan orang-orang Melayu dan umat seluruh dunia ini. Maka, kembalilah kepada ideologi dan pemikiran Islam sekiranya benar-benar ikhlas ingin menyatupadukan bukan sahaja orang-orang Melayu bahkan umat manusia seluruhnya, dan bukan ideologi sosialis, kapitalis, maxis, komunis, skularis dan berbagai-bagai ideologi yang lebih berbentuk teori dan angan-angan kosong tidak mempunyai erti dan sebarang makna jauh dari dinilai sebagai Ibdah di sisi Allah Tuhan Rabbul Jalill.

NTzalim
3 Jan 2000


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 4 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com