Pendidikan anak-anak

Oleh : Rozita Othman

Akhawat yang dikasihi, Kenapa kita nak berkeluarga? Kenapa kita nak keturunan?Kenapa kita nak zuriat? Kenapa kita nak anak? Tak perlu ana huraikan semuanya kerana dah ada jawapan di kepala masing-masing.

Marilah sama-sama kita renung hadis yang sangat biasa kita dengar ini: "Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani."

Ya! Yang mana pilihan kita? Tentunya semua dalam hadis tu kita tak mahu melainkan Islam, ye tak! Tapi Islam tak dinyatakan di situ. Yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah anak-anak kita dilahirkan bersih fitrahnya, tanggungjawab ibu bapalah yang akan mencorakkannya.

Akhawat yang dikasihi,
Ana amat yakin bahawa kita semua mempunyai keinginan dan cita-cita yang menggunung untuk menjadikan anak-anak yang diamanahkan allah kepada kita tu, orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, termasuklah mempunyai akhlak yang mulia, rajin berjihad, cerdik, pintar, dan berjaya dunia akhirat.

Tinggi sungguh cita-cita kita itu. Alhamdulillah, sememangnya itulah yang dituntut. Tapi… tahukah kita bagaimana caranya? Kadang-kadang kita rasa kita dah buat yang terbaik untuk mendidik anak. Dah cuba pendekatan Islam rasanya, tapi… tak tahulah menjadi atau tidak. Satu persoalan, adakah betul kita benar-benar melaksanakan pendidikan Islam? Kita telah sama-sama meyakini bahawa apa pun permasalahan, Islam adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Jadi kalau kita tengok anak-anak kita masih tak berapa menjadi sebagaimana yang kita inginkan mungkin ada "something wrong some where" di dalam pentarbiyahan anak-anak kita yang kita rasakan dah ikut cara Islam tu.

Ukhti yang dihormati,
Ana sendiri juga tidak terlepas daripada masalah di atas dan masih teraba-raba dalam melaksanakannya. Di sini ana ingin berkongsi bersama ukhtie semua tentang perkara ini. Mudah-mudahan kita semua mendapat manfaat dan pertolongan Allah di dalam melaksanakannya.

Di dalam buku "Pendidikan Anak-anak Dalam Islam" tulisan Abdulah Nasih Ulwan, menerangkan kepada kita bahawa pendidikan yang paling utama yang perlu ibu bapa berikan kepada anak-anak ialah pendidikan keimanan kepada Allah.

Apa maksud pendidikan keimanan?
Maksudnya ialah mengenalkan anak dari sejak dia mula berakal dengan usul-usul keimanan, membiasakan dengan rukun Islam serta mengajarkannya prinsip-prinsip syariat.

Apakah pula usul keimanan?
…Iaitu semua yang berkaitan dengan perkara-perkara qhaib seperti beriman kepada Allah, Rasul, Malaikat, Al-Quran, Hari Qiamat dan Qadha' dan Qadar Allah. Termasuklah juga siksa dalam kubur, kebangkitan, hisab, syurga, neraka dan semua perkara yang ghaib yang mesti diimani.

Apa pula maksud rukun Islam?
Iaitu mengajar anak-anak solat, puasa, zakat dan haji.

Prinsip syariat pula?
Menerangkan kepada anak-anak berkaitan hal-hal aqidah, akhlak, pensyariatan, peraturan-peraturan dan hukum-hukum.

Masya Allah besarnya tanggungjawab ibu bapa… Semoga Allah memudahkan kita.

Sebenarnya semua perkara-perkara di atas telah diwasiatkan oleh Rasulullah saw kepada kita supaya melaksanakannya di dalam mendidik anak-anak. Di antara wasiat-wasiat Rasulullah saw yang terpenting ialah dalam sabdanya yang bermaksud:

"Bekerjalah dengan taat kepada Allah, dan jauhilah maksiat-maksiat terhadap Allah, dan suruh anak-anak kamu supaya menurut perintah dan menjauhi larangan, maka itulah pemeliharaan diri kamu dan diri mereka daripada api neraka."

"Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun, dan pukullah dia kerana sembahyang pada usia sepuluh tahaun, dan pisahkan antara mereka di tempat tidur."

"Ajarkanlah anak-anak kamu tiga perkara: Mencintai Nabi kamu, dan mencintai keluarganya serta membaca al-Quran. Sebab para pembaca al-Quran berada di sisi Arasy Allah bersama-sama para anbiya'Nya dan ashfiya'Nya pada hari tiada naungan melainkan naungan Allah sahaja."

Di bawah ini ana perturunkan pula beberapa pendapat para ulamak pendidikan Islam mengenai wajibnya mengajarkan anak membaca dan menghafal al-Quran.

1. Berkata Saad bin Abu Waqqas ra: Kami pernah mengajar anak-anak kami sejarah perjuangan Rasulullah saw sebagaimana kami pernah mengajar mereka membaca al-Quran.

2. Ibnu Khaldun mengingatkan pentingnya pengajaran Al-Quran dan penghafalannya dengan berkata: "Sesungguhnya pengajaran al-Quran itu adalah asas semua pengajaran pada segala dasar-dasar pendidikan di merantau negara Islam, kerana ia adalah syiar agama yang akan mebawa kepada ketetapan aqidah dan kemantapan iman.

3. Ibnu Sina menasihatkan agar memulakan pengajaran dan pendidikan anak-anak dengan al-Quran apabila anak-anak telah mula bersedia untuk belajar.

4. Imam Ghazali berwasiat supaya kita mengambil berat pendidikan anak-anak dengan mengajar al-Quran, Hadis dan hukum hakam agama.

Akhawat, sebenarnya orang-orang soleh terdahulu apabila diserahkan anak-anak kepada pendidik, pertama-tama yang diingatkan dan ditekankan ialah supaya dimulakan pengajaran dengan membaaca dan menghafal al-Quran agar lidah mereka fasih membacanya, jiwa mereka terharu dengannya, hati mereka khusuk kepadanya, air mata mereka berlinangan ketika membacanya dan dalam diri mereka tertanam semangat keimanan dan keyakinan. Inilah huraian Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya dan dipanjangkan lagi seperti di bawah:

Anak-anak itu dilahirkan bersih fitrahnya, bergantunglah kepada ibu bapa untuk mencorakknanya. Sekiranya anak-anak dibesarkan di dlam rumah yang bercahaya dengan suasana keislaman, maka ke arah itulah anak dicirakkan tapi sekiranya anak-anak dibesarkan di rumah yang gelap dari suasana keislaman dan penuh dengan kerosakan akhlak dan melaksanakan prinsip-prinsip kufur, ke arah itrualh pula anak akan terbentuk.

Akhawat,
Seperkara lagi yang kita kena sedar ialah kita hidup dalam masyarakat . Masyarakat yang kita berada sekarang ini sudah jauh lari daripada masyarakat yang dikehendaki oleh Allah swt. Suasana persekitaran sebegini sudah tentu memberi saham dalam pendidikan anak-anak kita. Oleh itu kita kena berwaspada dan teliti dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Akhawat,
Abdullah Nasih Ulwan berpesan lagi, antara perkara-perkara yang boleh menyebabkan pendidikan anak-anak tidak berkesan atau anak-anak memilih jalan yang tidak sepatutnya ialah apabila ibu bapa:

1. menyerahkan anaknya kepada sekolah-sekolah asing, atau sekolah-sekolah missionari, agar anak-anak itu dididik di situ serta mendapatkan petunjuk dan pelajaran di tangan guru-guru missionari itu, tiada syak lagi akan mendapati anak-anak itu di bentuk atas dasar-dasar kesesatan, dan dadanya akan diasak dengan bibit-bibit kufur. Akhirnya akan terlekat di dalam hatinya perasaan benci terhadap Islam, dan permusuhan terhadap agamanya sendiri.

2. menyerahkan pimpinan anaknya kepada guru-guru mulhid, dan pendidik-pendidik yang jahat, menyematkan prinsip-prinsip kufur dan sesat dalam jiwanya. Akhirnya anak akan membesar dalam pendidikan ilhad dan petunjuk yang sangat membahayakan dan akan jauh dari pengajaran agama Islam.

3. membiarkan anaknya membaca apa saja dari buku-buku orang mulhid dan materialis, atau membiarkan saja anaknya membaca bahan yang menikam agamanya sendiri oleh para missionari dan penjajah. Akibatnya anaknya akan berada dalam keraguan terhadap aqidah dan agamanya dan kelak akan menjadi musuh yang menentang Islam.

4. membebaskan anaknya berbuat sesuka hati dan membiarkan dia bercampur gaul dengan orang-orang yang sesat dan tidak mengambil kisah apa yang dia percaya hasil pemikiran yang sesat itu. Akibatnya menyebabkan anak itu tadi akan mencaci segala nilai-nilai agama dan akhlak Islam yang diajar oleh Islam.

5. membuka jalan bagi anaknya memilih kumpulan-kumpulan yang sesat dan kufur atau menjadi ahli dalam kelab-kelaaaab yang tiada hubungan dengan Islam dari segi aqidah, pemikiran, dan sejarah. Akibatnya anak tadi akan terdidik dengan kepercayaan-kepercayaan yang sesat dan kufur, malah akhirnya akan menjadi musuh yang dahsyat terhadap Islam sendiri.

Jadi di sini sudah pasti, wajib atas setiap ibu bapa melaksanakan tanggung jawab yang besar ini untuk menentukan anak-anak meyakini aqidah keimanan dan mengenal segala prinsip Islam. Justeru itu ibu bapa terlebih dahulu perlu memahami perkara ini dan mengenal batas-batas tanggung jawabnya serta cara-cara melaksanakan pendidikan yang betul agar tercapai pendikan itu dengan sempurna dan mengikut sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt.

"Ya Allah, berilah kami petunjuk dan kuatkanlah keimanan kami dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan ini. Amin"

Tranung Kite Cyberlink