Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Siri 2 MMM: Yang Terdesak dan Tersedak

Forum Keadilan Malaysia KM2 - web aNtu N HFM

Date : 30/1/2001 am

Siri 2 MMM: Yang Terdesak dan Tersedak
by Marhain Tua

[Kekalahan BN untuk memenangi hati orang melayu dalam pemilu yang lepas menyebabkan Mahathir mengatur strategi baru melambung beberapa isu dengan lebih kerap lagi dengan harapan rakyat akan terikut-ikut, terpukau dan tertipu. Dia sanggup menipu rakyat demi menyelamatkan kroni. Tahun lepas sahaja mereka berhari raya dengan gembira sekali kerana saham dapat dijual dengan mahalnya, hutang berbilion dibeli dengan mudahnya, bank masuk dicelak ketiaknya, dan Putra Jaya terserah dengan rasminya. Rakyat hanya layak mendapat kenaikkan harga sahaja dan hutang negara yang semakin menggunung tingginya.

Pak -MT- mengajak pembaca berfikir kenapa Mahathir mengarang buku 'Malay Dilema' di dalam bahasa Inggeris terlebih dahulu, sedangkan dia boleh menulisnya dalam bahasa melayu. Memang Mahathir bermuslihat di situ kerana perjuangan sebenarnya bukan untuk orang melayu, jika tidak dia akan menulis dalam bahasa melayu dulu.

Mahathir kini sudah terdesak kerana kesedaran rakyat sudah semakin memuncak. Maka dia mengugut dan menutup media, dan kini melantik lebih banyak barua untuk memastikan minda rakyat terus terputar. Dia terlalu ego diri sehingga Jepun pun mahu diajarnya, inikan pula rakyat Malaysia. Media sanggup melapurkan isu yang lebih banyak yang tidak berguna dari yang berguna sehingga Bernama ikut berdongeng sama. Itu semua putar alamnya... - Editor]

SIRI MMM

BAB 2 : YANG TERDESAK DAN TERSEDAK

Yang Terdesak dan Tersedak

Orang Melayu di Malaysia sudah menunjukkan kepada seluruh dunia apa ertinya kesabaran. Nilai hidup yang berpandukan Al-Quran, semakin difahami rakyat Malaysia yang lain sehingga mereka pun mengamalkannya ke satu tahap yang menakjubkan. Semua ini berpunca daripada kerenah Mahathir dan juga UMNO yang disokong dengan jayanya oleh semua parti komponen dalam Barisan Nasional.

Pilihanraya umum (pemilu) yang terakhir berlangsung pada 1999. Kini, tiga belas bulan sudah berlalu sejak pemilu itu. Tetapi, apakah yang sudah dilalui oleh rakyat negara ini sejak itu yang boleh menjadi kebanggaannya? Jawabnya memadai dengan satu perkataan sahaja: TIADA. Tidak ada satu pun bendanya! Malahan, setiap dua minggu sekali rakyat akan disogok dengan cerita sensasi yang menjadi isu perbincangan dan omongan kosong yang melalaikan. Isu perbincangan itu adalah laksana 'flavour of the week' ataupun 'Rasa Minggu Ini' yang dianjurkan oleh bistro menjual aiskrim di negara maju untuk menarik para pelanggan untuk terus membeli di kedai itu.

Demikianlah yang disogokkan oleh Mahathir kepada rakyat Malaysia sebagai santapan rohani mereka sejak BN menang pemilu dulu. Semua sogokan itu adalah satu putar-belit minda yang amat pintar, yang hanya setara dengan putar-belit yang dilakukan oleh negara dan kuasa-kuasa besar untuk terus mengawal negara-negara Arab dan Afrika. Tujuan putar-belit mereka itu adalah bertujuan supaya rantau Timur Tengah dan Afrika terus mencelaru agar harga minyak sentiasa naik meninggi dan alat kelengkapan perang yang canggih-canggih sentiasa diminati untuk dibeli. Dengan lain perkataan, negara-negara yang bercakaran sesama sendiri adalah disebabkan mereka terjebak ke dalam perangkap yang memang dipasang oleh kuasa besar yang mahukan mereka berperangai terus begini.

Satu ketika dulu, tidak ramai di kalangan rakyat marhaen yang mahu mempercayai apa yang dikatakan oleh orang lain, bahawa Mahathir dan segelintir pemimpin UMNO sedang giat memutarkan minda orang Melayu. Ketika penulis ini memulakan tulisannya dengan penuh kiasan, segala sindiran tajam tulisan itu sebenarnya ditujukan kepada gelagat Mahathir memutar minda orang Melayu. Di situlah munculnya satu siri tulisan yang disebut 'Suasana Lebaran Pencetus Minda'. Ia memberi gambaran seolah-olah apa yang ditulis itu adalah laksana suis di dinding yang mampu menyalakan 'api elektrik dalam kaca pemikiran setiap insan sama ada orang Melayu ataupun rakyat Malaysia, yang membacanya.'

Ramai orang yang bertanya kenapakah 'Suasana Lebaran Pencetus Minda'? Jawapannya terletak kepada kemampuan orang Melayu berfikir sebelum episod Anwar Ibrahim dibaham sehingga matanya lebam. Sebelum episod itu, minda orang Melayu berada di satu landasan yang disediakan oleh UMNO dan digilap oleh Mahathir, sehinggakan otak orang Melayu itu menjadi satu otak yang disebut 'One-Track-Mind'. Laksana seekor kuda yang disungkup sebahagian besar matanya, ia hanya mampu memandang ke hadapan untuk berlari tangkas dengan arahan. Sungkupan yang dipasang di kepalanya itu tidak akan membenarkan kuda itu melihat apa yang berada di daerah lain di persekitarannya kerana dia hanya perlu berlari untuk sampai ke garis penamat perlumbaan.

Demikianlah jijiknya kerja-kerja yang dilakukan sehingga orang Melayu itu pada keseluruhannya berada dalam satu situasi seolah-olah dipukau oleh si diktator tua ini sejak dua puluh tahun yang lalu. Hanya kini, dan baru kini, orang Melayu tersedar daripada keadaan yang memukau itu setelah begitu lama terperosok di satu sudut kehidupan mereka yang penuh kepalsuan yang kini mesti disusuli dengan seribu tandatanya. Alangkah aibnya perkara ini apabila ia terpaksa dibincangkan secara terbuka oleh orang Melayu itu keseluruhannya sedangkan secara berkumpulan, masyarakat Melayu bukannya masyarakat sembarangan. Inilah masyarakat yang mempunyai raja dan sultan, jeneral dan soldadu, mahaguru dan wira silatnya, para cendekiawan dan para pengikutnya, penyajak, penyair, karyawan, wartawan yang pandai menulis; golongan ulama dan umarak dan bermacam lagi jenis manusia yang bergelar Melayu.

Tertipunya Orang Melayu

Penipuan yang dilancarkan secara licik ke arah minda orang Melayu bermula dengan buku 'Malay Dilemma'. Inilah buku yang ditulis di tengah-tengah kegawatan minda orang Melayu. Inilah hasil tulisan yang pertama sekali disogokkan kepada orang Melayu yang berjaya mencuit minda mereka untuk berfikir dan menilai kembali diri mereka yang bergelar 'Melayu'. Tulisan yang tajam telah mencuit perasaan sehinggakan para pembaca buku itu mudah rasa tertekan bukan kepada sesiapa tetapi kepada kepimpinan bangsanya. Bayangkanlah makna tulisan yang kita sedut daripada buku itu:

1. "Pada umumnya, orang-orang Islam, termasuk orang-orang Melayu, memang tidak dapat menerima fikiran-fikiran moden mengenai evolusi manusia. Meskipun begitu, orang Melayu sendiri mengaku bahawa ciri-ciri tertentu dalam diri seseorang itu diturunkan dari ibu bapa kepada anak-anak mereka."

2. "Kini, seperti juga di masa-masa dahulu, orang Melayu mempunyai keinginan untuk memperkukuhkan hak-hak yang diperuntukkan kepada mereka dan yang dianggap memang milik mereka, tetapi di samping itu mereka juga mahu bersopan-santun, beradab dan bertimbang rasa terhadap hak-hak dan tuntutan orang lain. Dalam sanubari mereka terasa bahawa walau apapun yang mereka buat dan persetujui, semuanya akan beransur-ansur terlepas dari kekuasaan mereka; dan lama-kelamaan mereka tetap kehilangan tanah air mereka sendiri. Inilah Dilemma Melayu."

Demikianlah kata pengantar yang dinukil oleh Mahathir dalam bukunya yang diterbitkan pada pertama kalinya di tahun 1970, yakni selepas tercetusnya peristiwa Mei 13, 1969. Peristiwa tragis itu berlaku di Kuala Lumpur, 12 tahun selepas negara mencapai kemerdekaannya. Itulah peristiwa yang masih belum jelas kepada generasi ini akan sebab musababnya yang sebenar kerana ramai orang yang aktif ketika meletusnya peristiwa itu sudah lama pergi. Yang masih tinggal dan faham sangat akan cerita sebenar penyebab peristiwa itu masih lagi sanggup berdiam diri. Hanya segelintir yang masih hidup dan masih tahu cerita sebenarnya seperti MGG Pillai, A. Samad Said, Hamzah Husin, Pak Melan, Pak Shahnon dan beberapa wartawan dan penulis pencen yang masih lagi bersikap menyendiri. Malahan ramai bekas tentera RMAD battalion Ke-5 yang tahu cerita sebenar peristiwa itu kerana mereka yang mula-mula sekali dikerah mententeramkan ibukota. Kapten Abdul Aziz yang bertugas di Kampung Baru sudah lama pergi.

Namun, peristiwa Mei 13 itu telah melonjakkan nama Mahathir ke arena antarabangsa dengan terbitnya buku beliau 'The Malay Dilemma' yang kemudiannya dialih-bahasakan dengan tajuk 'Dilema Melayu'. Buku itu diharamkan sebaik sahaja ia muncul, tetapi penulis seperti juga ramai rakyat Malaysia telah pergi ke sebelah tambak untuk mencarinya. Hampir semua buku yang dibeli oleh rakyat Malaysia ketika itu semuanya dibawa masuk secara bersahaja tanpa ada sesiapa yang melakukan kawalan untuk menyekatnya. Setelah membaca buku itu, saya berpendapat ketika itu adalah satu kesilapan besar kerajaan Perikatan (ketika itu) mengharamkan buku itu. Malahan saya memberikan pendapat kepada ramai kawan-kawan ketika itu, ada satu mesej tersorok dalam penulisan buku itu yang menunjukkan si penulisnya mahu menonjolkan perwatakannya.

Ketika saya mengeluarkan pendapat begitu, ramai cendekiawan Melayu yang tidak bersetuju. Mereka berpendapat saya merasa cemburu kerana Mahathir sanggup menulis bukunya dengan cara itu, sedangkan mereka beranggapan, Mahathir ikhlas mahu menyedarkan orang Melayu. Di waktu itu saya menjelaskan, kalau Mahathir benar-benar mahukan bangsa Melayu sedar akan keadaan mereka ketika itu buku 'The Malay Dilemma' seharusnya tidak muncul dulu. Ia seharusnya didahului oleh buku 'Dilema Melayu'. Dengan lain perkataan, tujuan Mahathir sebenarnya menulis 'The Malay Dilemma' bukannya untuk menarik perhatian orang Melayu, dia mempunyai agenda yang lebih besar dari itu.

Penulisan saya kali ini merupakan bahagian kedua dalam siri terbaru yang berjodol 'Siri MMM'. Adalah tidak patut kalau saya menulis untuk mengupas buku 'Dilema Melayu' selepas ia ditulis tiga puluh tahun yang lalu. Namun, buku itu saya anggap satu buku yang baik untuk dijadikan satu rujukan kalau sesiapa mahu menilai pemikiran Mahathir satu ketika dulu dengan Mahathir yang kini menjadi dilemma orang Melayu.

Mahathir menerbitkan 'The Malay Dilemma' setelah beliau kalah dalam pemilu 1969 dulu. Selepas itu dia telah menuduh Tunku Abdul Rahman Putra kerana kekalahan UMNO yang besar dalam pemilu itu. Salah satu alasannya ialah menuduh Tunku kerana terlalu memberi muka kepada kaum Cina. Saya telah menulis hal ini dengan panjang lebar satu ketika dulu dengan mengambil sedutan daripada buku tulisan Almarhum Tunku yang menolak dan menafikan segala tuduhan Mahathir itu. Namun, saya masih teringat kata-kata Tunku yang mengatakan betapa Mahathir telah cuai ketika menjadi wakil rakyat kerana terlalu sibuk berniaga dengan rakan Cina beliau sehingga mengabaikan kawasan parlimennya. Kata-kata Almarhum Tunku itu tidak perlu diselidik akan kesahihannya kerana setelah menjadi perdana menteri pun Mahathir menemui rakyat marhaen di kawasan pilihanrayanya ketika majlis jamuan hari lebaran sahaja. Ironisnya dia terus memenangi pilihanraya di Kubang Pasu tanpa takut-takut sejak menjadi presiden parti. Rupanya, kunci rahsia kemenangannya itu sudah pun diketahui kini.

Sejak menjadi perdana menteri, Mahathir telah malakukan satu proses membangunkan negara dengan belanja yang berbilion ringgit, seolah-olah wang itu adalah sebahagian daripada warisan bapanya. Rintihan rakyat marhaen yang memerlukan wang yang sungguh banyak itu, tidak kedengaran langsung kerana kepintaran kerajaan Mahathir menindas segala rintihan mereka. Para pemimpin parti pembangkang yang cuba sedaya upaya melaungkan rintihan rakyat marhaen ditekan, ditangkap dan dipenjarakan. Suku-sakat pemimpin pembangkang yang bertindak tegas menyanggah kepimpinannya pun turut disakat dan didera untuk melemahkan semangat mereka. Hingga ke hari ini masih ramai lagi pemimpin pembangkang yang merasakan deraan itu.

Contoh tekanan yang sedang dikenakan ialah tindakan polis khas yang mengekori pemimpin muda di pihak pembangkang yang kerap dipanggil ke balai polis untuk siasatan sedangkan segala aktiviti pemimpin muda ini memang sentiasa dirakamkan dan pergerakan mereka memang sentiasa diawasi. Mahathir dan para juaknya terus menggunakan taktik mengugut keselamatan para pemimpin muda ini secara sengaja tanpa memikirkan 'trauma' dan tekanan yang ditanggung oleh keluarga para pemimpin itu.

Saya tahu beberapa keluarga pemimpin muda pembangkang yang hidup dalam keadaan tertekan. Ramai anak-anak kecil mereka yang menjadi takut apabila melintas balai polis setelah melihatkan bapa dan datuk mereka yang terpaksa menghadirkan diri di balai untuk 'siasatan lanjut'. Malahan, ada golongan kanak-kanak yang tersentak dan mudah terdesak setiap kali telefon di rumah mereka berdering. Semua ini adalah kesan bunyi telefon yang terlalu kerap berdering setiap kali akan munculnya gerakan pihak pembangkang berhimpun secara aman. Ada sahaja pihak yang menelefon untuk mengetahui sama ada si anu bin ataupun binti si anu ada di rumah di waktu himpunan rakyat marhaen hampir dilancarkan. InsyaAllah satu hari nanti kita akan tulis satu artikel khas mengenai dilemma pemimpin Melayu moden seperti ini untuk pengetahuan para pembaca.

Cerita penderaan mental seperti ini diceritakan sendiri kepada saya oleh pegawai polis yang ditugaskan membuat kerja-kerja itu dan juga oleh beberapa ahli keluarga pemimpin muda parti pembangkang. Kebanyakan cerita pegawai polis ini menunjukkan betapa mereka sendiri pun merasa tertekan dengan tugas ini kerana mereka pun sedar bahawa perlembagaan menjamin hak rakyat marhaen berhimpun secara aman. Mahathir menidakkannya dan tegahannya itu disokong dengan taksubnya oleh segelintir pegawai atasan polis dan juga sistem kehakiman negara yang sudah lama reput.

Kenapakah Mahathir sanggup mendera bangsanya sendiri? Inilah soalan yang kerap bermain di kebanyakan fikiran rakyat marhaen di negara ini. Tidak kiralah sama ada mereka itu ahli UMNO ataupun ahli pembangkang. Ataupun mereka pelajar di universiti ataupun para petani. Soalannya amat jelas sekali, apakah yang Mahathir mahu lagi? Kenapakah Mahathir sanggup mendera bangsanya sendiri dan juga rakyat Malaysia secara umumnya dengan segala sekatan-sekatan yang menghalang kebebasan bersuara dan bergerak dengan bebas? Kalau Malaysia dikatakan sudah hampir setanding dengan beberapa negara maju kenapakah sistem membenarkan rakyat bebas membuat pilihan mereka seperti yang dilakukan oleh negara maju tidak dibenarkan kepada rakyat negara ini? Kenapakah Mahathir menyekat kebebasan akhbar sehinggakan akhbar parti pembangkang tidak boleh dibaca oleh rakyat secara bebas? Kalau TV dan radio serta akhbar perdana dibiayai dengan bebasnya oleh kerajaan kenapakah rakyat dinafikan hak membaca terbitan parti pembangkang? Mahathir terlalu bangga dengan mencemuh kerajaan negara maju tetapi kenapakah dia tidak memberi peluang untuk rakyat mengetahui apakah kebetulan segala cemuhannya itu dengan membaca akhbar yang bebas?

Kebajingan Mahathir Yang Paling Besar

a) Ego

Mahathir mempunyai ego yang besar dan inilah penyebab kegagalannya. Dia mahu melaksanakan satu kepimpinan untuk membawa Malaysia ke hadapan setara dengan negara maju yang sentiasa dikritiknya. Dia mahu buktikan apa yang ditulisnya dalam Dilema Melayu boleh diperbetulkan seperti yang pernah dikritiknya di zaman Tunku, Tun Razak dan Hussein Onn. Tetapi, dia gagal segagal-gagalnya. Egonya yang terlalu besar membuatkan dia tertipu dalam segenap perancangannya. Tetapi, sebagai menepati unsur penipuan, apabila seorang pemimpin yang tidak ikhlas mengalami kegagalan dalam usahanya memimpin, dia akan terus berbohong dan menipu untuk menutup kegagalannya. Berulanglah penipuan itu sehinggakan dia terpaksa menggunakan kekerasan untuk menunjukkan sesuatu untuk menutup penipuan itu agar kelihatan bukan satu penipuan lagi. Inilah penyebabnya kepimpinan Mahathir itu gagal dan ini juga yang menjerumuskan Malaysia ke kancah kemuflisan yang semakin nyata jurangnya.

Apabila seorang pemimpin mempunyai ego yang besar ia perlu mempunyai satu pasukan pembantu yang setia; tidak kiralah apa jenis kesetiaan yang ada pada mereka. Di sinilah munculnya sekumpulan insan bajingan yang sanggup melakukan apa saja kerja kejijikan untuk memuaskan ego tuannya. Inilah yang dirakamkan oleh sejarah manusia sejak zaman Firaun dulu. Untuk mengekalkan kuasa, kumpulan bajingan memerlukan wang ringgit dan juga kuasa menekan rakyat marhaen. Kuasa menekan ini berbentuk kuasa mengenakan deraan yang boleh dilakukan oleh pihak polis dan kehakiman dengan mudah dan kuasa penguat-kuasaan yang boleh dilakukan oleh semua institusi kerajaan yang sudah diperibadikan. Inilah yang berlaku sejak dua puluh tahun yang lalu. Tidak ada satu institusi kerajaan yang terlepas daripada cengkaman Mahathir dan kumpulan bajingannya. Sedikit demi sedikit Mahathir berjaya memperibadikan semua institusi kerajaan itu menjadi satu jentera 'psychological warfare' (peperangan saraf) untuk memutar minda rakyat marhaen untuk mempercayai segala urusan nya membalun harta negara.

b) Kerakusan

Sejarah akan merakamkan pemerintahan Mahathir sebagai satu era di mana seorang pemimpin yang dilantik oleh rakyat dalam proses demokrasi terbuka sanggup menipu rakyatnya dengan semangat kerakusan yang tidak ada tolok bandingnya. Mahathir sudah menunjukkan betapa rakusnya beliau di sepanjang pemerintahan nya. Cuba perhatikan proses keutamaan itu.

1. Sebaik sahaja Mahathir diterima semula oleh UMNO dia diberikan jawatan sebagai Pengerusi FIMA. Apakah yang di lakukannya selain daripada cuba memperbaiki taraf hidup penanam nanas Johor. Adakah dia berjaya? Tidak.

Kemudian dia menjadi menteri perdagangan untuk sementara. Ketika itu dia mencuba memodenkan industri penjualan 'sate', yang akhirnya menemui kebuntuan juga. Apakah bentuk pembaharuan yang pernah dilakukannya kepada industri pertanian? Tidak ada juga. Tetapi dia telah merestui pengimportan lembu muda daripada Australia untuk digemukkan dengan memberikan lebihan nanas di kilang Johor dan kemudiannya lembu itu dihantar ke Kedah untuk di sembelih sebaik sahaja Sanusi Joned membina rumah sembelihan lembu terbesar di dunia selepas 'abattoir' di Saudi. Kalau dia benar-benar ikhlas, kenapakah tidak digalakkannya pembiakan lembu dan kambing di ladang-ladang FELDA, RISDA dan FELCRA? Malaysia sepatutnya tidak lagi mengimport daging lembu dan kambing daripada mana-mana negeri. PORIM dan juga MARDI telah mempunyai teknologi menggunakan daun kelapa sawit dan juga lebihan minyak (palm cake) sebagai makanan berkhasiat untuk ruminan dengan harga yang murah. Sebaliknya Malaysia mengimport hampir lapan puluh daging lembu tua dan daging kerbau daripada India untuk keperluan dagingnya. Sepatutnya proses pembiakan lembu kerbau dan kambing sudah menjadi perusahaan sampingan yang lumayan kepada peserta rancangan tanah di negara ini. Kalau daging kerbau yang diimport daripada India adalah hasil ternakan individu India secara kecil-kecilan, kenapakah orang Melayu di rancangan tanah tidak mampu membekalkan daging lembu, kerbau dan kambing untuk keperluan negara? Jawapan muslihat itu terletak kepada permit mengimport daging yang di monopoli oleh orang-orang tertentu yang rapat dengan Sanusi dan juga Mahathir. Sepatutnya ternakan kambing secara 'zero grazing' menjadi kerjaya utama perkampungan orang asli agar mereka tidak lagi merempat ke sana-sini mencari hasil hutan sebagai usaha utama mereka. Malahan, orang asli sepatutnya diajar projek pembiakan lebah-madu, yang mampu mengeluarkan madu yang bermutu tinggi. Kalau mereka mampu memanjat pokok yang tinggi sampai 15 meter ketinggiannya untuk mendapatkan madu lebah, bukankah sudah tiba masanya mereka diajar memelihara lebah untuk madu?

2. Malaysia masih mengimport bijiran dan jagung untuk makanan ayam, itik dan ikan peliharaan di negara ini. Apakah peliknya penanaman jagung itu sehinggakan ia tidak menjadi industri terbesar selepas getah, sawit, koko dan kopi di negara ini? Pergilah ke Peranchis, Switzerland dan sebahagian kawasan di Eropah Barat. Ladang jagung dan bijiran yang luas, ditanam dalam tempoh musim panas di Eropah. Begitu juga di Australia yang merupakan pembekal terbesar negara. Kenapakah tidak diusahakan projek ini sedangkan teknologi perairan mudah dilakukan secara menyedut air di bumi? Jawapannya kerana kapal yang digunakan untuk membawa masuk bijirin ini adalah kapal anak kesayangan seorang perdana menteri sejak dulu lagi. Malahan, satu ketika dulu ladang yang digunakan untuk menanam jagung dan ternakan lembu di Australia pernah dimiliki oleh segelintir menteri bajingan di Malaysia.

3. Begitu juga dengan projek penanaman tebu di negara ini yang bermula di Gula Perak dan menjalar ke Chuping dan Gula Perlis dan kemudiannya di Gula Bahau. Gula Perak merupakan ladang gula terbesar di dunia dalam segi pemilikan jentera 'multiple harvester'. Projek ini lingkup seperti yang pernah saya tulis dalam siri SLPM dulu. Projek di Bahau pun lingkup juga. Alasan yang diberikan ialah cuaca yang tidak menentu. Penyebab sebenarnya ialah pengurusan yang buntu dan palsu. Kemudian negara cuba menanam sejenis bunga raya di Terengganu sebagai gantian kepada tebu. Projek itu berjaya tetapi mengalami masalah tenaga pekerja untuk mengutip hasilnya. Apakah yang dilakukan oleh Mahathir untuk melindungi projek tebu dan bunga raya itu? Adakah dia mengenakan kuota kepada kemasukan gula daripada luar negara? Adakah dia membuat penilaian untuk menarik-balik monopoli pengimportan gula yang diberi sejak negara merdeka kepada Keluarga Kuok?

4. Malaysia pada dasarnya adalah negara yang kuat tradisi pertaniannya secara perladangan. Kepintaran Malaysia dalam pengurusan ladang memang sudah teruji. Tetapi Mahathir tidak memberikan penekanan kepada bidang ini kerana dia tahu dia tidak punyai peluang yang banyak untuk membalun harta negara. Dia tahu sebarang projek yang melibatkan rakyat marhaen tidak akan memberikan keuntungan sampingan. Adalah lebih baik melakukan projek yang besar-besar dengan kos yang tinggi-tinggi. Projek semacam itu tidak melibatkan ramai manusia yang boleh dijadikan kroni, malahan urusan untuk putar-belit amat mudah lagi. Kerana itu negara membuat projek yang besar-besar dan berstatus mega. Sedangkan wang yang ada sepatutnya mengembangkan teknologi pertanian agar Malaysia menjadi kukuh dalam bidang itu. Dari situ boleh dikembangkan segala bidang bio-teknologi, biologi-mikro dan segala bidang teknologi yang tercanggih di dunia. Ini pun tidak mahu diuruskannya. Dia sanggup membiarkan makmal Getah Asli di London terus di sana tanpa mengambil-alih makmal itu dan membawanya ke Malaysia peserta segala arkib penyelidikan yang ada. Dia sanggup membiarkan industri getah menjadi satu industri yang malah ataupun 'sunset industry' sedangkan getah boleh dikembangkan menjadi satu industri pembalakan yang lebih lumayan.

Di sebalik itu dia menggalakkan Malaysia membazirkan wang untuk menguruskan perusahaan padi di Afrika. BERNAS ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja itu. Di waktu yang sama orang Melayu tidak dibenarkan menanam padi yang menghasilkan beras wangi di negara ini kerana dikatakan akan mencetuskan penyakit. Muslihat sebenar ialah BERNAS mahu memonopoli pengimportan beras wangi dan menjualnya dengan harga yang tinggi di negara ini. Tinggallah petani Melayu dengan beras yang berkualiti rendah yang hanya menjadi makanan orang yang kelas bawahan semata. Kenapakah BERNAS dibiarkan membuat perdagangan seperti itu sedangkan usaha pengurusan itu mencekik bangsa Melayu? Pada 14 Januari yang lalu BERNAS membeli 30% ekuiti syarikat roti Gardenia Sdn. Bhd. dengan belanja RM54.81 juta.

Tujuan pembelian saham Gardenia itu ialah: 'selaras dengan strategi jangka panjang untuk memperkukuhkan rangkaian pengedarannya melalui usaha sama strategik dengan syarikat pengeluar produk makanan tempatan dan antarabangsa.' Demikian alasan yang diberikan oleh Datuk Seri Mohd Nor Abdul Rahim, Pengerusi Kumpulan Bernas. Bolehkah masuk akal alasan itu? Siapakah yang dulu wujud di negara ini dengan rangkaian pasaran yang menyeluruh seantero negara? Bernas ataupun Gardenia? Jawapannya ialah BERNAS.

Kemudian alasan yang kedua menyebut Mohd. Nor berkata: 'Satu gagasan pengedaran tempatan yang efisien, digabungkan dengan rangkaian perniagaan antarabangsa akan membantu mengukuhkan kedudukan Kumpulan Bernas di pasaran khususnya bagi menghadapi cabaran globalisasi.' Cantik sungguh alasan itu. Tetapi, bukankah Bernas sudah lama mempunyai 'rangkaian kukuh di pasaran luar negara termasuk Thailand, China, Myanmar dan Pakistan'?

Gardenia Sdn Bhd. adalah dipunyai oleh Ben Foods (M) Sdn. Bhd. dan Gardenia International (S) Pte Ltd (GIPL). Kedua-dua syarikat ini adalah anak syarikat milik penuh QAF. QAF adalah merupakan 47 peratus milik Salim Group dari Indonesia, pengeluar terbesar di dunia bagi tepung dan mi segera dengan jenama Indomie dan Indofood. Siapakah tuanpunya Salim Group? Bukankah ini manusia yang terkenal di Indonesia sebagai pemegang proksi semua perniagaan bekas presiden Suharto? Apakah benar salah seorang anak tuan punya Salim Group adalah juga merupakan isteri kepada salah seorang anak lelaki pemimpin negara ini? Apakah kemungkinannya dengan membeli saham-saham dalam Salim Group ini Malaysia melalui Bernas berkemungkinan membeli saham-saham yang sebenarnya kepunyaan Pak Suharto dan anak-anaknya?

Apabila disebut Salim Group tentu kita teringat kisah ladang kelapa sawit yang besar-besar di Indonesia yang dibeli dengan menggunakan wang Tabung Haji dan juga Guthrie yang merupakan milik PNB. Dengan lain perkataan harta kepunyaan Salim Group di Indonesia pun cuba diselamatkan oleh Mahathir dengan menggunakan wang ringgit hasil titik peluh orang Melayu dan umat Islam di negara ini? Kini sudah timbul berita di Indonesia bagaimana tanah perladangan yang dibeli itu diduduki oleh orang tempatan tanpa sebarang amaran. Mereka mendakwa tanah itu dulu adalah pesaka warisan keluarga mereka. Apakah yang akan jadi dalam hal ini akhirnya. Apakah Guthrie dan Tabung Haji akan berperang dengan orang tempatan yang mengambil sebahagian tanah mereka secara sesuka hati itu?

Kerakusan Mahathir yang terbaru ini adalah disebabkan dia sudah tidak lagi mempunyai jalan lain untuk membalun harta negara yang sebenarnya milik rakyat negara ini. Dia sudah seleweng royalty minyak rakyat Terengganu dengan bertopengkan konsep Wang Ihsan. Dia sudah tipu rakyat Kelantan dengan menyalurkan gas dan petroleum ke negara Thai di mana 'Terminal' (pangkalan minyak dan gas) di negara itu dikendalikan oleh anaknya sendiri. Bayangkan gas daripada Kelantan disalurkan ke Thailand dulu dan dibawa masuk ke Kedah melalui saluran paip. Kenapakah paip itu tidak dibina secara terus daripada Kelantan ke Kedah? Apakah muslihat sebenar taktik perniagaan itu. Kenapakah pihak pembangkang sanggup diam membisu dalam hal ini? Kenapakah Sultan Kelantan dan juga Tengku Razaleigh Hamzah (sebagai penasihat diraja Kelantan) sanggup membisu dalam perkara ini? Bayangkan kalau gas Kelantan disalurkan ke Gurun melalui tanah KESEDAR, berapa banyakkah industri kecilan menggunakan bahan gas itu dapat dibangunkan di wilayah Kesedar untuk kebaikan ekonomi orang Melayu? Di manakah cerdik pandai Kelantan seperti Wan Azmi, Hassan KUB, Dolah Komunis, Cikgu Husin Serama dan lain-lain lagi yang sanggup membiarkan Mahathir menipu rakyat jelata Kelantan dalam hal ini? Kalaulah gas paip itu dibina secara terus sudah tentu pemasanganya dilakukan di pinggir Lebuhraya Timur Barat. Sekaligus ekonomi kawasan seperti Banding, Gerak, Klian Intan, Baling, Kulim dan sebagainya ikut meletup sama. Tetapi Mahathir tidak mahu ambil kira semua itu kerana dia mementingkan kemewahan anaknya sebagai pedagang antarabangsa yang menerima ihsan seorang bapanya. Kerana Mirzan dan adik beradiknya, Mahathir sanggup meminggirkan masa depan orang Melayu di Kelantan, Hulu Perak dan Kedah. Malangnya perkara ini masih tidak disedari oleh majoriti orang Melayu di negara ini.

Sikap kerakusan yang berlebihan itu membuatkan Mahathir memilih sekumpulan Cina yang haprak sebagai rakan niaganya. Dia seolah-olah mempelajari taktik ini daripada Suharto dengan menggunakan Salim Group yang satu ketika dulu adalah seorang pembekal makanan kecilan di kem tentera. Cuba perhatikan semua peniaga Cina yang diberi muka oleh Mahathir. Siapakah mereka sebelum itu? Pemilihan mereka oleh Mahathir adalah sesuatu yang sudah lama dibenci oleh majoriti peniaga Cina yang besar-besar. Tetapi mereka sanggup berdiam selamba kerana cuba mengolah sistem menang-menang dalam hal itu. Mereka membiarkan sahaja taktik yang digunakan oleh Kumpulan KEJAM (Kelab Elit Jin Alam Mahathir) untuk mempunyai hampir semua projek mega di negara ini dengan harga kontrak yang berlipat kali ganda tingginya daripada harga pasaran. Mereka tahu ahli perniagaan Cina kecil-kecilan dapat menumpang kenikmatan besar yang diberikan oleh Mahathir kepada Kumpulan KEJAMnya. Kini, hampir semua (saya ulang balik perkataan SEMUA) projek mega yang ditaja oleh Mahathir dengan wang rakyat marhaen dan diberikan kepada Kumpulan KEJAM itu sudah lingkup. Siapakah yang akan merana dan menanggung bebannya kalau bukan rakyat Malaysia juga?

Kelentongan Mega

Ada satu peribahasa Cina: 'Kalau tahu curi makan, mesti tahu sapu mulut.' Mahathir amat faham akan bidalan Cina ini. Kerana itu dia galakkan projek 'Malaysia Boleh'. Ini yang membuatkan MGG Pillai sebut Malaysia sudah bertukar menjadi 'Bolehland'. Saya terjemahkan dengan panggilan 'Darulboleh'. Untuk melalaikan rakyat marhaen agar terus berangan-angan Mahathir anjurkan projek 'Malaysia Boleh' seperti mengelilingi dunia secara solo dengan kapal layar, mendaki Everest, Terjun di Kutub Utara dengan Proton Wira dan Terjun di Kutub Selatan. Semua ini adalah kerja bodoh kerana ia membabitkan wang rakyat marhaen. Apa faedahnya yang boleh dinilai sekarang? Berapa ramaikah anak Malaysia yang memenangi pingat di Olimpik setakat ini? Berapa ramaikah saintis Malaysia yang memenangi hadiah Nobel?

Disebabkan Projek Malaysia-Boleh, kita lihat semalam Universiti Kebangsaan menaja pembikinan lemang terpanjang untuk dimasukkan dalam Buku Rekod Malaysia. Alangkah bodohnya kerja itu sehinggakan sampai ke tahap pemikiran orang di menara gading. Di waktu yang sama ada rakyat miskin di Kedah yang masih tidur dalam bekas kandang kambing (di Alor Star). Ada rakyat Kedah yang cacat yang terpaksa diusung dengan besen plastik kerana usaha mendapatkan kerusi roda daripada kebajikan masyarakat ditolak sebanyak empat kali. Begitu juga dengan keadaan seorang pelajar yang masih belajar dan tidak diberikan kerusi roda. Apabila kisahnya dijadikan perhatian umum, berlarilah menteri besar Kedah dengan satu kerusi roda dengan iringan kamera TV untuk menunjukkan keihsanannya.

Di Kedah, kalau kita mahu lihat keadaan orang kampung yang susah-susah pergilah ke Baling dan masuklah kampung di situ dan lihatlah berapa daifnya kehidupan mereka. Malahan, kalau kita pergi ke kawasan setinggan di sekitar Alor Star kita tidak akan percaya bahawa kumpulan manusia yang daif begitu boleh wujud sedangkan itu adalah negeri Kedah, negeri kelahiran seorang perdana menteri.

Kesimpulan:

Demikianlah secebis kisah mengenai perjalanan Malaysia berperdana menteri seorang bajingan yang lebih tiga tahun dulu saya panggil sebagai manusia berhati syaitan. Kini dia sibuk mahukan orang Melayu bersatu padu. Dia sanggup melihat orang Melayu bersatu sehinggakan sanggup PAS menjadi ahli komponen BN semula semata-mata untuk menentukan orang Melayu tidak berpecah lagi. Tetapi orang Melayu faham itu adalah satu penipuan dan sandiwara kerana di sudah lama terdesak.

Semalam, Hamid Othman bekas menteri agama di Jabatan Perdana menteri membuat pengumuman akan tugas barunya untuk menyatukan umat Islam di negara ini. Alahai, apa sudah jadi dengan usaha menyatu-padukan orang Melayu sehinggakan kini mahu disatu-padukan umat Islam pula? 'Inilah kerja yang mesti dilakukan kerana Al Quran ada berkata apabila berlaku perpecahan di antara umat Islam, usaha menyatu-padukan mereka mesti dilakukan.' Demikian, Pak Hamid bercerita panjang di TV dan akhbar perdana. Kita tahu, Hamid Othman tidak akan melakukan tugas itu kalau tidak direstui oleh Mahathir. Kita juga tahu taktik terbaru Hamid Othman itu dicetuskan setelah melihat PAS bersikap dingin dengan konsep penyatuan orang Melayu. Kita tahu Hamid Othman menonjolkan semua ini setelah Mahathir bukan sahaja dalam keadaan terdesak. Mahathir sudah tersedak di setiap waktu mahu makan ataupun mahu tidur.

Konsep menyatu-padukan Orang Melayu dicetuskan setelah Mahathir menerusi Mohamad Taib (Mat Tyson) gagal menonjolkan konsep Melayu Baru. Konsep Melayu Baru terkubur tanpa batu nisannya walaupun usaha melancarkan seminar antarabangsa telah ditaja sehingga ke Arab Saudi. Kemudian Konsep Perpaduan Melayu pun kantol juga apabila Parti Keadilan yang mula-mula sekali menolaknya. Sebaik sahaja PAS menolak pelawaan Mahathir itu muncul pula Konsep Penyatuan Ummah.

Di satu pihak pula dan berjalan seiring sudah diwujudkan pula satu badan bertindak yang ditaja oleh bekas pemimpin pemuda UMNO dan dipengerusikan oleh Mazlan Haron. Khabarnya pejabat badan bertindak ini mempunyai alamat yang sama dengan alamat Ibrahim Ali. Menerusi penubuhan 'Badan Bertindak Melayu' (BBM) mereka mahu melancarkan projek 'Takkan Melayu Hilang Di dunia' Tergelak betul saya dibuatnya. Tentu sekali para askar pencen di perkampungan turut tergelak sama. Apa lagi selepas ini gamaknya? Sebelum Mazlan Haron dan para setiakawannya yang mahu melancarkan 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' saya ingin tanya dulu beberapa soalan:

i. Cuba buat analisa di kalangan kalian dan dapatkan maklumat mengenai syarikat dan usahasama perniagaan dan perdagangan yang kalian nikmati sekarang ini; berapa ramaikan pekerja Melayu di dalamnya dan berapa ramai pula bekas perajurit di kalangan mereka?

ii. Kemudian selidik pula di antara ratusan syarikat kepunyaan kalian itu berapa banyakkah syarikat itu yang diuruskan sendiri oleh pengurus Melayu?

iii. Oleh kerana kalian amat suka berpeleseran di 'coffee house' kepunyaan hotel besar-besar, cuba tengok berapa ramaikan anak Melayu yang sudah menjadi pengurus besar hotel-hotel di negara ini?

Satu ketika dulu anak Melayu dikatakan tidak bepengalaman untuk mengurus hotel bertaraf lima bintang. Kini, kita sudah merdeka 43 tahun, sekolah pengajian 'hotel catering (HOTCAT)' di UiTm sudah pun berusia lebih tiga puluh tahun, tetapi kita boleh lihat usia kebanyakan pengurus besar hotel yang datang daripada luar negara adalah sekitar 30 hingga 40 tahun. Ini bererti sebelum mereka melepaskan perangai menyonyot ibu jari, sudah berpuluh anak Melayu yang lulus dalam pengajian itu. Di manakah mereka? Di England, Amerika, Jepun, Arab Saudi dan mana saja? Kenapakah mereka seolah-olah mati tanpa menjadi pengurus kanan hotel-hotel di negara sendiri?

iv. Di manakah kalian selama ini sejak Mahathir mengharamkan akhbar yang tidak pro kerajaan untuk memberikan maklumat yang bebas? Bukankah tindakan diktator jahanam ini mematikan minda Melayu untuk berfikiran waras? Sila buat jawapan dalam ucapan pembukaan seminar anda pada Februari 4 nanti. Saya akan berada di sana untuk mendengarnya.

Akan berlakukah pula satu gabungan untuk menentukan segala juak dan kroni tidak akan turut tersedak seperti Mahathir, kerana mereka pun sudah lama terdesak juga?

-marhaintua-
29.1.2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 30 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com