Hak Untuk Bertanya
(Right To Inquire)
Oleh: S. Jayasankaran/Kuala Lumpur.
FEER Issue cover-dated January 25, 2001
Seorang suri rumah telah memberitahu bagaimana dia diarahkan untuk berbogel oleh seorang polis wanita ketika dalam tahanan polis dan disuruh pula selepas itu untuk berketuk ketampi. Para doktor telah juga membuat pengakuan bagaimana mereka merawat beberapa orang pesakit kerana luka-luka, calar-balar dan terseliuh yang ada kaitan dengan kes pukulan. Ahli Parlimen pembangkang Wan Azizah Wan Ismail telah menceritakan mengenai gas pemedih mata. “Saya terdengar orang menjerit… ‘gas, gas’. Kemudian saya terdengar bunyi ‘pop, pop, pop’ sambil terlihatkan kelongsong gas yang ditembakkan itu menuju ke arah saya secara berurutan.” Penjelasannya itu membuat semua yang ada di situ, senyap menyepi.
Demikianlah majlis penyiasatan pertama mengenai pelanggaran hak asasi manusia pada awal Disember dulu. Tujuannya ialah untuk mengenal pasti segala tuduhan terhadap kekejaman polis kepada para penunjuk perasaan yang pro-Anwar yang berhimpun di pinggir Kuala Lumpur pada November 5. Penyiasatan itu dilakukan oleh SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) sebagai badan bebas yang pertama yang diberikan hak untuk melakukan penyiasatan mereka secara bebas.
Reaksi pertama yang muncul daripada pegawai tinggi polis dan ketua hakim negara ialah menyoal hak Suhakam mengadakan siasatan itu. Timbalan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi akhirnya terpaksa campurtangan untuk meyakinkan suruhanjaya itu akan kerjasama pihak polis. Sehingga kini belum ada seorang pegawai polis yang telah disoal-siasat walaupun mereka dijangka akan dipanggil juga.
Siasatan ini menunjukkan betapa wujudnya perubahan sikap sejak Anwar dijatuhkan. Inilah contoh tuntutan rakyat marhaen yang semakin mendesak terhadap kebertanggungjawaban pihak berkuasa dan peranan pegawai yang dipersoalkan. Dalam satu jangka masa yang panjang, suasana ini akan mewujudkan satu masyarakat awam yang lega dengan tekanan pemerintahan yang otokratik. Sejak beberapa tahun yang lalu, perbuatan menggunakan kekerasan dalam menyuraikan perhimpunan yang tidak diberikan keizinan merupakah sesuatu yang dianggap perkara biasa. Tetapi sejak Anwar dijatuhkan pada September 1998, diikuti pula oleh perbicaraannya yang disusuli terus oleh pemenjaraannya, telah mengubah cara cara rakyat marhaen menilai pihak yang memerintah dan mereka yang dipilih untuk menjadi wakil rakyat. Kedudukan Suhakam yang memberi penekanan kepada pentingnya setiap insitusi memikul tanggunjawab itu adalah satu pertanda kepada perubahan yang dinantikan. Dengan tidak menyanggah Suhakam, para pemimpin sudah memberikan isyarat betapa mereka bersedia menerima sebarang perubahan.
Ia merupakan satu langkah pertama yang penting,” kata Param Coomaraswamy, seorang peguam yang bertindak sebagai ‘rapporteur’ kepada PBB, mengenai kebebasan hakim yang ada. “Apa juga yang akan berlaku, inilah satu proses evolusi untuk Malaysia. Kita sedang melangkah ke arah kehidupan yang mengamalkan demokrasi yang lebih luas lagi.”
Suhakam tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mendakwa, tetapi boleh mengemukakan cadangannya untuk kerajaan bertindak. Semua cadangan yang dikemukaan itu memang disiarkan untuk pengetahuan umum. Namun, beberapa aktivis seperti Elizabeth Chin tidak berapa selesa dengan keadaannya. “Kalau semua ini tidak menghasilkan sesuatu, bererti tidak ada bezanya dengan, sebagai contohnya, menulis surat kepada akhbar-akhbar” kata beliau. Chin ialah setiausaha agong kepada Human Rights Association of Malaysia, satu kumpulan bukan kerajaan. “Kita mungkin perlu melihat pilihan lain seperti menyerlahkan rintihan kita di jalanraya.”
Beberapa aktivis dan pemimpin politik pembangkang menganggap Suhakam sebagai satu alat yang sengaja diwujudkan oleh Mahathir untuk meredakan kemarahan rakyat marhaen terhadapnya dalam isu membabitkan Anwar Ibrahim. Tetapi, Mahathir telah bersetuju dengan penubuhan Suhakam ini pada 1997 lagi, sebelum Anwar diaibkan. Cuma penubuhannya itu berlaku pada tahun sudah (2000). Chandra Muzaffar seorang ahli politik pembangkang berkata: “Suhakam terpaksa menonjolkan keredibilitinya sendiri. Buat masa ini adalah terlalu awal untuk mengatakan semua ini akan menjurus arah demokrasi yang lebih luas. Lagipun penubuhannya adalah satu usaha untuk memperbaiki imej kerajaan.
Pengerusi Suhakam, Musa Hitam, yang merupakan bekas timbalan perdana menteri memang terkenal dengan pendapat liberalnya. Beliau meletakkan jawatan selepas bertelagah dengan Mahathir pada 1985. Perlantikannya mengetuai Suhakam adalah untuk memberikan kredibiliti yang amat diperlukan oleh kerajaan. “Tidak ada sesiapa di dalam kerajaan yang mencuba untuk mempengaruhi kerja-kerja kami,” kata beliau. “Tetapi kami bukannya bekerja untuk menyenangkan sesiapa – bukan pihak pembangkang, bukan pertubuhan bukan kerajaan dan bukan juga kerajaan.”
Musa telah memilih 12 pesuruhjaya itu sendirian dan sikapnya untuk bersendirian mungkin akan mencetuskan perbalahan dengan pihak kerajaan. Bekas Ketua Hakim Anuar Zainal Abidin yang mengetuai sessi siasatan sekarang ini dengan disertai oleh tiga orang pesuruhjaya, mengatakan segala bukti yang diterima akan menjadi asas tindakan sivil.
Sementara itu, Musa telah membangkitkan isu kebebasan rakyat untuk berhimpun yang sengaja disekat di Malaysia. Suhakam sedang menyediakan satu pindaan kepada undang-undang mengenai hak berhimpun, yang akan dikeluarkan pada bulan Februari. Tidak ada satu pun yang boeh dianggap suci. Bagaimana dengan Akta Keselamatan Negara (Internal Security Act) yang membenarkan penahanan tanpa bicara? “Apa pula denganya?” tanya Musa. “Tidak ada sesuatu yang berkata kami tidak boleh menyiasatnya dan melakukan cadangan. Itu adalah kerja kami.”
Akhirnya, Musa beranggapan bahawa Suhakam adalah laksana mahkamah terakhir dalam isu moral. Bukannya senang untuk memajukan hak asasi manusia dalam satu budaya yang menghina mereka sejak berdekad lamanya. Namun siasatan itu adalah permulaannya. “Walaupun tidak ada sesuatu yang berkesan darinya, orang yang memegang kuasa tentu sudah sedar akan kewujudannya,” kata Coomaraswamy. “Mereka sedar betapa mereka sedang diperhatikan dan akan dipertanggungjawabkan. Tentunya ini sesuatu yang baik untuk negara saya.”
-S.Jayasankaran-
.........................................................
Terjemahan oleh Sdr Marhain Tua