Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Polis Buat Jualan-Murah

Polis Buat Jualan-Murah
(The Police Hold A Fire Sale)

Polis Di Raja Malaysia pernah mengugut dan memujuk rayu orang awam mengenai undang-undang dan saman yang bertapuk-tapuk tidak dijelaskan bayarannya. Selalunya salakannya itu tidak setara dengan gigitannya. Yang lebih teruk lagi, ia tidak mampu melaksanakan apa yang ditugaskan kepadanya.

Kini, pihak polis menawarkan harga potongan istimewa kepada semua pemandu yang telah dikenakan saman. Ini bererti segala tindakan yang digembar-gemburkan untuk menangkap pelanggan saman kesalahan lalu-lintas dulu berakhir dengan satu kegagalan juga. Nampak sangat mereka tidak mampu menyeragamkan segala penguatkuasaan itu.

Kita pernah diberitahu ketika itu betapa operasi polis akan diteruskan dengan berkesan sehinggalah sekitar 4.3 juta pemandu ditangkap kerana memperlekehkan saman.

Kini, polis pun terpaksa meniru gelagat para peniaga kedai untuk melancarkan jualan murahnya. Aksi melelong dengan harga potongan (diskaun) ini akan berterusan sehingga akhir Februari. Mereka yang datang menyelesaikan saman akan diberikan diskaun. Selepas itu tidak ada tempoh lanjutan lagi – ini bererti pihak tempoh lanjutan akan diumumkan juga – inilah urusan polis sehingga menjadikannya bahan ketawa orang awam sahaja.

Tidak ada orang yang bertanya kenapa berjuta surat saman dibiarkan bertimbun-timbun. Kenapakah polis tidak bertindak sebaik sahaja saman itu dikeluarkan? Pernahkah mereka yang bertanggungjawab dengan kerja bertapuk itu dikenakan tindakan disiplin?

Kenapakah denda maksimum bagi setiap kesalahan itu dipraktikkan? Bukankah itu memberi ruang kepada budaya korupsi? Selalunya seseorang boleh berunding dengan pegawai polis yang mahu mengeluarkan saman agar tidak diberikan saman itu akhirnya, dengan membayar sebahagian daripada nilai denda tertinggi saman itu.

Kaedah ini terlalu lumrah sehinggakan ia tidak lagi dianggap satu korupsi Ia menjadi satu budaya hidup pula. Kalau anda mahu terus memandu di jalan raya anda mesti bersedia dengan budaya itu. Kalau denda yang dikenakan berharga rendah, semua orang akan membayarnya. Jika tidak, ramai pemandu yang sengaja enggan membayarnya, selagi mereka tidak tertangkap.

Inilah dilema pihak polis untuk menyelesaikan masalah saman yang dicetuskan oleh perbuatannya sendiri. Buat masa ini rakyat marhaen menganggap anggota polis itu sebagai makhluk yang merimaskan. Lagi kurang kita berurusan dengannya lebih baik kesannya. Setiap kali kita bersemuka dengan polis dan meminta sebarang nasihat, perkataan yang mula-mula sekali tersembul daripada mulutnya ialah bahagian undang-undang yang bersangkutan dan jumlah denda yang tertinggi yang terbit daripada melanggar undang-undang itu.

Setiap kali polis melancarkan sesuatu, seluruh negara akan cepat tahu. Akhbar dan media elektronik sentiasa berada untuk merakamkan aktiviti mereka itu. Kalau gerakan itu bertujuan mengesan penjenayah tertentu, ada sahaja keributan yang diketengahkan sehinggakan pada akhirnya tidak ada seorang pun penjenayah yang dapat ditangkap.

Ketika polis melancarkan kempen, adalah segelintir yang tidak bernasib baik tertangkap dan dikenakan denda yang tertinggi sekali. Ini dilakukan sebagai amaran kepada rakyat marhaen. Selepas itu tujuan sebenar kempen itu pun dilupakan.

Kalau berlaku pembunuhan, pihak akhbar akan berlumba-lumba untuk meneka di kalangan mereka akan gerak geri polis dalam operasi mengesan si penjenayah. Lapuran mengenainya pun dibuat mengikut tekaan tertentu sehingga satu hari di mana semua orang, termasuk polis akan lupa kisah jenayah itu.

Seorang gadis sekolah Audrey Melissa telah dibunuh di sebuah lorong pejalan kaki berdekatan sekolahnya di Kuala Lumpur (berhampiran Masjid Negara –penterjemah), beberapa tahun yang lalu. Apakah pembunuhnya telah ditangkap? Ahli Dewan Perundangan Negeri Kedah untuk kawasan Lunas, Dr. Joe Fernandez telah mati dibunuh. Keseluruhan gagasan Barisan Nasional bergegar, tetapi apakah pihak polis berjaya dengan menangkap pembunuhnya yang masih bebas berlegar? Berapa banyakkah lagi pembunuhan yang belum diselesaikan? Agak-agaklah sendiri untuk mendapatkan jawapan yang memuaskan.

Setiap kali pengedar dadah ditangkap, ataupun ada dadah yang ditemui, pihak akhbar memang cepat melaporkan cerita polis akan pembabitan ‘raja dadah’ tertentu ataupun kisah sindiket tertentu yang telah dilumpuhkan. Tetapi, selepas itu tidak pun kita dengar apa yang terjadi seterusnya kepada semua malaun itu. Kalau mereka dikenakan dakwaan di mahkamah, tidak pun kita dapat mengikuti kisah dakwaan itu, melainkan sekiranya ada peguam terkenal yang ikut terlibat.

Bagaimana agaknya, kalau semua raja-dadah dan sindiket itu telah dilumpuhkan, masih ada lagi urusan niaga yang mampu mereka lakukan semula?

Kenyataan sebenarnya, tidak kiralah apa yang cuba dipertahankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia; mereka ini seperti juga institusi kerajaan yang lainnya, sudah lama kehilangan kewibawaan dan maruah diri mereka. Mereka tidak lagi mengamalkan amalan biasa dalam penyiasatan mereka. Ramai di kalangan rakyat marhaen yang pernah membuat laporan polis mengenai kecurian ataupun kes ugutan akan mengesahkan perkara ini, betapa polis hanya mengambil laporan dan bertindak kemudiannya untuk melupakan perkara itu sahaja.

Kalau ada sesiapa yang melanggar kereta anda, bererti anda terpaksa menunggu berjam lamanya di bala, untuk membuat laporan polis. Inilah kisah yang pernah saya lalui satu ketika dulu. Oleh kerana pihak yang melanggar itu tidak membuat laporan walaupun saya memberikan keterangan mengenainya, polis tidak akan bertindak juga. Inilah yang diberitahukan kepada saya dengan tegasnya oleh seorang sarjan yang bertugas ketika itu. Soalnya sekarang, kita perlu melaporkan kemalangan itu kalau kita mahu membuat tuntutan kepada syarikat insuran.

Ketika ketua polis negara membalun muka seorang timbalan perdana menteri yang baru saja ditarik balik jawatannya, si pemukul dibiarkan bebas begitu sahaja. Inilah yang diikuti oleh semua anggota polis terhadap rakyat marhaen yang mereka tangkap. Ikan memang mereput daripada bahagian kepala, barulah ia menurun ke badannya. Inilah yang berlaku sebenarnya.

Apakah agaknya penjelasan menteri dalam hal negeri akan hal semua ini? Tidak ada yang boleh diharapkan darinya. Kenapakah dia tidak mengarahkan satu penyiasatan terhadap keengganan mengutip segala saman yang tertunggak itu? Sudah amat jelas kini, tindakan polis untuk mengadakan ‘jualan murah itu adalah satu kesalahan melanggar undang-undang.

Anda akan disaman kerana meletakkan kereta di tempat yang salah. Ini adalah satu perkara biasa kerana ketiadaan parking-kereta yang secukupnya disebabkan pihak berkuasa mahu mengurangkannya. Perkara semacam ini memang boleh dijumpai di merata tempat di Kuala Lumpur. Helahnya ialah mengalihkan kedudukan-salah kereta itu dua kali sehari, sebaik sahaja warden parking menunjukkan mukanya. Anda tidak akan kerugian apa-apa. Tetapi, kalau anda ditangkap kerana kesalahan begini, tunjukkan sahaja beberapa keping ringgit yang digenggam bersahaja kepada orang yang patut menerimanya. Saman kesalahan itu tidak akan menjelma.

Seandainya pihak polis mahu dihormati dan dipercayai, mereka mesti bertindak melebihi tindakan memberikan diskaun harga kepada bayaran saman yang telah dikeluarkannya. Ia mesti merombak keseluruhan institusi itu untuk berwajah baru seperti yang sepatutnya. Sebagai awalannya ia mesti mengubah cara kesamsengannya terhadap rakyat marhaen. Ia mesti merobah wajah daripada kumpulan bajingan yang dibenci oleh rakyat kepada satu kumpulan yang disenangi oleh rakyat.

Perubahan seperti itu tidak akan mampu dilakukan dalam tempoh sehari suntuk. Imej kewibawaan polis telah jauh tercemar disebabkan cara ia mengugut Anwar Ibrahim dan para penyokongnya. Nampak sangat ia menonjolkan imej sebuah pasukan polis yang memusuhi rakyat sebuah negara, semata-mata untuk menjadi penyokong totok pemerintah negara. Inilah gelagat satu pasukan yang sudah jauh menyimpang kerana berani mengganggu-gugat dengan tujuan jahat, untuk mencederakan sesiapa yang tidak bersekongkol dengan pemerintah yang durjana.

Kalau inilah fahaman anggota polis itu keseluruhannya, berpuluh lelongan dan diskaun serta ‘jualan murah’ lagi pun tidak akan mencapai sasarannya.

-MGG Pillai-
20 Januari, 2001

.............................................................
Terjemahan oleh Sdr Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 23 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com