Siri MMM 1
Awalkata:
Kita mulakan siri baru ini dengan menggunakan abjad ‘MMM’, kerana mengikut
ragam dan selera semasa. Terpulanglah kepada para pembaca memikirkan apakah
sebenarnya makna MMM ataupun ‘3M’. Kita akan beri jawapannya apabila siri ini
ditamatkan. Penulis menggunakan tiga abjad itu selepas mengambil kira beberapa
emel yang dikirimkan oleh para pembaca yang mahu penulisan diteruskan, sebaik
sahaja ‘Yang Terbang Dan Terbengkalai’ ditamatkan. Malahan, ada yang bertanya
kenapa siri itu dimatikan begitu sahaja. Jawapannya mudah sekali. Ia terletak
kepada pendekatan yang diusahakan.
Saya mengambil sempena tarikh ini untuk memulakan siri terbaru di alam siber
sempena ulangtahun ke-25 pulangnya Almarhum Tun Abdul Razak bin Husin ke alam
baqa. Di waktu yang sama saya rakamkan ulangtahun kepulangan Aruah Hamid Tuah,
insan kamil yang memudahkan usaha Tun Razak membuka hutan belentara untuk
penempatan para peneroka. Alfatihah dihadiahkan kepada kedua pejuang bangsa ini.
Tujuan utama siri ini ialah merakamkan setiap peristiwa yang terjalin dan yang
mampu merobah nasib rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu. Kita memberi
fokus kepada usaha jijik memutarkan minda rakyat marhaen agar sama-sama dapat
membetulkan keadaan sebelum putaran itu menjadi semakin ligat dan kesannya terus
berkarat dan menggugat.
---------------------
Mahathir Tidak Ada Pilihan Lain Lagi
Kita pernah ramalkan, negara akan mengalami beberapa kejadian yang pelik-pelik
dan yang tidak terfikirkan oleh akal yang waras; seperti yang berlaku selepas
Januari 10 yang berlalu. Banyak perkara itu berlaku di Putrajaya di mana seorang
diktator tua sedang bertakhta seolah-olah Malaysia ini dia punya dan seolah-olah
semua rakyat jelata termasuk Majlis Raja-Raja adalah dibawah telunjuknya. Kita
terdengar cerita mendapan beberapa kawasan di Putrajaya, malangnya tidak ada
satu gambar ataupun berita yang jelas mengenainya.
Rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu telah disogokkan dengan fitnah
bahawa orang Melayu sedang berpecah. Kerana itu UMNO yang dikatakan “sebagai
teras parti politik Melayu” terpaksa mengajak parti Melayu yang lain untuk
berunding mengenai perpaduan orang Melayu. PAS dikatakan sedang menyusun agenda
dengan orang perantaraan UMNO untuk melakukan perbincangan perpecahan orang
Melayu.
Kenapa Perlunya Perbincangan Perpaduan?
Agenda perbincangan perpaduan ini sebenarnya sudah dirancangkan sebelum Mahathir
pergi bercuti ke Myanmar. Dia menjangkakan orang suruhannya mampu mengajak
pemimpin Keadilan dan PAS untuk bersetuju agar perbincangan dapat dilaksanakan
dengan UMNO. Keadilan telah menolak ajakan itu. Ezam, selaku Ketua Pemuda
Keadilan mengambil sikap berterus terang mengatakan Keadilan bukannya parti
orang Melayu. Kerana jawapan yang tegas itu Keadilan sekarang ini dihimpit oleh
pelbagai sindiran daripada pucuk pimpinan UMNO bahawa Keadilan tidak mampu
memperjuangkan masalah orang Melayu. Terpulanglah kepada Keadilan untuk
menjelaskan perkara yang sebenarnya. Setakat ini, alasan Keadilan itu kita
ketahui melalui akhbar pembohong tajaan UMNO dan kerajaan sahaja.
Perbincangan mengenai perpaduan Melayu bolehlah dianggap sebagai usaha UMNO
yang berbentuk ‘damage control’ untuk memperbaiki imej parti yang teruk
disebabkan tindak-tanduk Mahathir yang serba tidak kena dan serba mengada-ada
sejak beberapa tahun yang lalu. Keadaan memuncak apabila UMNO kalah teruk di
Lunas. Lunas jatuh ke tangan Keadilan kerana UMNO terlalu percaya dengan dakyah
Samy Vellu bahawa calon MIC, peguam S. Anthonysamy adalah calon terbaik untuk
mengekalkan kerusi yang dipegang oleh Dr. Joe Fernandez selama dua musim itu.
Sebaliknya, kejatuhan Lunas tidak mengejutkan penganalisis politik. Kalau
diambil kira keadaan persekitaran Lunas ketika pemilu kecil itu dengan
persekitaran di Teluk Kemang dan Sanggang ketika diadakan pilihanraya kecil di
sana, sepatutnya Teluk Kemang dan Sanggang pun jatuh kepada parti Barisan
Alternatif. Ketika Sanggang dipertandingkan, keadaan ekonomi para petani dan
masyarakat luar bandar berada di dasar bawahan. Lagipun gelagat menteri Besar
Pahang menunjukkan ‘logo baru UMNO’ di hari pencalonan sudah mampu menyekat
simpati para pengundi. Apatah lagi dengan kisah ‘mata lebam’ yang ditanggung
oleh Saudara Anwar Ibrahim. Begitu juga di Teluk Kemang ketika Haji Roslan
Kassim bertanding melawan S. Solinathan. Ekonomi di Port Dickson merudum
sehingga kawasan pantai lengang untuk sekitar tiga tahun (hinggalah ketika ini).
Episod Bukit Pelandok yang mengorbankan ratusan nyawa manusia dan ribuan
ternakan berkaki empat, telah menghenyak Barisan Nasional.
Kemenangan Barisan Nasional di Teluk Kemang dan Sanggang dan kekalahannya di
Lunas mencetus minda para analis untuk bersetuju bahawa keputusan sebenar di
Sanggang dan Teluk Kemang dulu ialah disebabkan penggunaan ‘pengundi hantu’ dan
yang tidak mampu digunakan secara menyeluruh di Lunas. Barisan Alternatif sudah
memperbaikki jentera pengurusan di hari pengundian. Malahan, kalau kita masih
ingat akan kelewatan beberapa tong undi di malam perkiraan pertarungan Zainur
Zakaria, Chandra Muzafar, Marina Yusuf dan beberapa calon BA yang lain, kita
akan faham betapa budaya undi hantu sudah lama berleluasa. Namun, UMNO di bawah
kepimpinan Mahathir masih tidak mahu menerima hakikat kekalahan di Lunas itu
dengan hati yang terbuka. Mungkin Mahathir tidak tahu ataupun diberitahu bahawa
sebelum menjadi calon pilihanraya di Lunas itu YB Saifuddin pernah bekerja
sebagai seorang pengurus di ladang Victoria di Lunas. Ketika bertugas di situ
dia merupakan seorang insan yang disenangi oleh para pekerjanya. Dengan lain
perkataan, Saifuddin adalah calon yang amat tepat ketika itu berbanding dengan
calon MIC yang dikatakan “tidak pun menjadi ahli MIC ketika hari pencalonan.”
Kita akui, Saifuddin menang di Lunas kerana sokongan pengundi Cina yang beralih
selera. Di waktu yang sama ramai juga pengundi orang Melayu dan India yang
berpihak kepada BA. Berubahnya selera pengundi Cina di Lunas, dikatakan berputik
daipada hasutan yang dilakukan oleh kumpulan Suqui yang meminta kerajaan
menimbang semula rayuan mereka yang diserahkan pada September 1999 dulu, dan
yang telah diterima secara prinsipnya oleh Mahathir dan kabinetnya yang lama.
Bagaimanakah Suqui mampu menggerakkan perasaan orang Cina dengan sesuatu yang
telah diterima oleh kerajaan secara prinsipnya? Kenapa pula MCA dan Gerakan
tidak berjaya melembutkan pengundi Cina di Lunas mengenai perkara-perkara yang
berbentuk rayuan semata-mata?
Masyarakat Cina Yang Merasa Tertipu
Masyarakat Cina di Lunas mampu berfikir dengan waras memihak kepada BA kerana
mereka merasa tertipu dengan tindak-tanduk Barisan Nasional. Selama dua penggal
mereka mengundi calon MIC kerana mahukan faedah pembangunan kerajaan BN. Mereka
merasakan diri mereka diabaikan apabila kerajaan tidak mengambil kira
kepentingan masyarakat di Lunas dalam banyak hal. Perkara ini menonjol apabila
Samy Vellu mencurahkan lebih daripada 35 juta ringgit (ada pula pihak yang
menyebut setakat 21 juta sahaja) untuk membawa pembangunan segera ke kawasan
pilihanraya itu dalam tempoh satu bulan. Inilah projek segera yang tercanggih di
seluruh negara yang pernah dilakukan ‘secara kilat’ oleh BN.
Tetapi, kerajaan terlupa bahawa untuk satu tempoh yang lama masyarakat Lunas
secara keseluruhannya telah meminta kerajaan mengalihkan pintu tol jalan
lebuhraya Butterworth Grik itu agar penduduk Lunas dikecualikan daripada bayaran
tol. Begitu juga dengan bekalan air paip yang tidak dinikmati oleh beberapa
penempatan perumahan di situ walaupun negara sudah merdeka sejak 43 tahun yang
lalu. Akhirnya Samy Vellu menyediakan bekalan air itu tetapi bekalan ke
rumah-rumah terpaksa dilakukan sendiri oleh penghuni rumah kerana kerajaan BN
tidak menyediakan saluran paip percuma ke rumah individu.
Di sini kita lihat rintihan penduduk Lunas apabila dibandingkan dengan
rintihan pengundi Sanggang dan Teluk Kemang adalah rintihan remeh yang mampu
ditangani dengan janji-janji baru. Apabila pembangunan segera yang berjuta-juta
harganya tidak mampu menyokong calon BN, barulah kita sedar betapa kuatnya
penggunaan pengundi hantu yang diamalkan selama ini dalam percaturan kemenganan
calon BN.
Penganalis kerajaan sudah membaca kekalahan yang terpaksa ditelan oleh BN
sebelum bermulanya pembuangan undi di Lunas. Tetapi, alasan utama yang diberikan
ialah “sokongan pengundi Cina sudah beralih selera”. Inilah yang membuatkan
Mahathir melenting dan mengeluarkan kata-kata celupar betapa orang Cina tidak
tahu bersyukur dan berterima kasih terhadap jasa-jasa yang dilakukan untuk
memperbaiki ekonomi negara. Begitu juga dengan dasar-dasar yang menjamin
kekayaan orang Cina tidak teruk tergugat. Sekaligus, masyarakat Cina menjadi
semakin marah. Mereka merasa terhina apabila di awal kempen pilihanraya kecil
itu lagi akhbar perdana tajaan UMNO telah menyiarkan maklumat songsang betapa
DAP telah bertindak menarik diri daripada komponan BA. Cakap-cakap celupar
Mahathir ini telah memperkuatkan azam pengundi Cina mempengaruhi pengundi Melayu
Lunas agar mengundi Saifuddin.
Tetapi, budaya ‘Cina-tidak-tahu-bersyukur’ itu merupakan agenda Mahathir sebelum
beliau menghadiri persidangan OIC di Doha. Di waktu itu akbbar perdana telah
memainkan isu perbalahan terhadap pemilihan calon BA. (contoh: Sila lihat
Stratits Times bertarikh 16.11.2000 muka surat 2 bertajuk ‘Opposition disagrees
on Lunas Candidate). Di muka surat yang sama ada disebut betapa Pemuda UMNO
yakin menang kerana terdapatnya 6,000 pengundi baru di kalangan muda-mudi
Lunas. Malangnya di akhbar yang sama pada mukasurat 9 disiarkan pula dua gambar
wakil rakyat Selangor yang bergaduh pada 13.11.2000 di Dewan Perundangan Negeri
Selangor. Dalam episod itu Datuk Zakaria Md. Deros telah menampar muka wakil
DAP Teng Chang Khim. Kisah menampar ini bermula dengan kisah kilang haram yang
telalu lama wujud di Selangor. Kerana mahu mempertahankan kilang-kilang haram
itu seorang Melayu sanggup merendahkan martabatnya.
Episod menampar itu terpaksa diselesaikan dengan cepat kerana UMNO mengadakan
persidangan perwakilan khas pada Sabtu 18 November 2000. Agenda besar
persidangan itu ialah untuk meluluskan satu agenda putarbelit seorang diktator
tua agar tempoh pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan bahagian
ditetapkan untuk lima tahun. Pada hari itu sekitar 2,000 perwakilan yang
mewakili 165 bahagian UMNO terpaksa membuat pilihan mereka. Perkara itu tidak
menjadi kerana sudah ada “pakatan di akar umbi untuk memberontak dengan bijak”.
Kesannya, pengaruh seorang diktator tua jatuh terperusuk ke dalam longkang
keaiban.
UMNO Tolak Budaya Rasuah ?
Persidangan Agong Khas UMNO bertarikh 18 November itu meluluskan 49 daripada
50 pindaan perlembagaan parti. Fasal 14.4.4 mengenai kuasa cawangan melantik
seorang wakil bagi setiap 50 ahlinya yang menjelaskan yuran bagi menghadiri
mesyuarat bahagian dengan jumlah maksimum lima orang, dikekalkan. Sebenarnya,
taktik Mahathir untuk mengekalkan kuasa tanpa bertanding untuk lima tahun, tidak
diterima oleh perwakilan dan tidak pula didedahkan oleh akhbar perdana.
Para perwakilan ketika itu dikejutkan oleh tema ucapan-perdana presiden parti.
Dia berucap di atas tajuk “Sayang Bangsa Tolak Rasuah”. Rakaman TV dan foto
menunjukkan para hadirin ‘terpesona’ mendengar ucapan itu. Di dalam hati mereka
tercetus banyak tandatanya, selama ini siapakah sebenarnya Raja Rasuah Melayu?
Tajuk rasuah semakin mencetuskan kemarahan orang Melayu kerana rakyat marhaen
sedar betapa rasuah berleluasa di negara ini disebabkan Mahathir tidak berapa
berminat untuk membenterasnya. Tuduhan terhadap beberapa personaliti yang rapat
dengan Mahathir oleh bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah adalah satu
tamparan yang paling hebat sekali. Malangnya, Mahathir sanggup menolak tepi
semua laporan itu. Dia sudah tidak mampu melakukan sesuatu yang berkesan
kerana sistem kehakiman negara sudah bergelumang dengan budaya rasuah. Perkara
ini terdedah apabila disiarkan gambar-gambar Ketua Hakim Negara dan Ketua Peguam
Negara bersantai dengan peguam khas Tan Sri Vincent Tan. Sistem kehakiman itu
menjadi lebih gawat apabila segala laporan dan gambar yang mengaibkan negara itu
disediakan oleh satu pasukan khas yang berpusat di England. Sekaligus ia
memperlekehkan sistem kehakiman yang menghenyak seorang timbalan perdana menteri
di atas segala tuduhan palsu yang dikenakan ke atasnya, atas arahan dan
konspirasi yang didalangi oleh seorang diktator tua.
Sekali lagi Mahathir tersalah tafsir. Dia gagal memahami sentimen orang Melayu
secara menyeluruh. Dia fikir dengan berucap mengenai Budaya Rasuah dia mampu
menarik sokongan rakyat marhaen terhadap kepimpinannya. Mahathir mahukan orang
Melayu menumpukan usaha membasmi rasuah itu “kalau mereka sayangkan bangsa”.
Tetapi, apakah yang dilakukannya dua hari sebelum itu? Pada hari Khamis 16
November, 2000 Mahathir telah merestui tindakan Kerajaan Selangor meluluskan
Rang Undang-Undang Wilayah Persekutuan Putrajaya 2000 bagi membolehkan Putrajaya
diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Daripada 42 penyokong kerajaan, hanya
seorang (Dato Abu Hassan Omar) yang tidak hadir untuk menyokong rang
undang-undang itu. Enam ahli parti pembangkang yang diketuai oleh Dr. Mohd
Hassan Ali telah bertindak keluar dewan kerana membantah penyerahan berkenaan.
Saya ada menulis mengenai penipuan besar di tahun 2000 itu melalui tulisan
bertajuk “Otak Di Lutut Beralih ke Mana”. Komen kita mengenai pembohongan si
diktator tua mengenai budaya rasuah itu ada kita kiaskan dalam “Raja Kelentong
Berlakon lagi”.
Kini, Putrajaya sedang bersiap sedia untuk menyambut kemunculan Februari 1,
besempena Hari Wilayah. Sehingga kini segala persiapan untuk sambutan itu masih
dibungkus oeh seribu rahsia. Kenapa agaknya? Apakah disebabkan pelancaran
besar-besar yang diatur itu makanya kerja-kerja penyambungan saluran gas-masakan
ke rumah kediaman yang lama tergendala di sambung semula? Kini, kerja-kerja
sambungan itu tertunda lagi selepas musibah yang datang tanpa diduga. Cuma,
kenapakah cerita sebenar musibah itu disorokkan juga?
Lunas Yang Mengejutkan
Kejatuhan BN di Lunas pada 29 November 2000, merupakan satu tarikh yang sungguh
bersejarah di mana kesannya yang sebenar dalam percaturan politik Malaysia masih
belum di fahami oleh ramai pemimpin politik Melayu. Inilah tarikhnya di mana
kepimpinan Mahathir sebagai ketua Barisan Nasional sudah dibakul-sampahkan oleh
rakyat marhaen. Pada lahiriahnya Mahathir mungkin tidak lagi terjejas dengan
kekalahan itu. Tetapi kesan kekalahan calon MIC di Lunas itu sudah mampu
membuatkan beliau menukar agenda tidurnya di malam hari. Kita dapat lihat
betapa perwatakan Mahahtir burubah secara drastik selepas kekalahan itu. Kini,
rupanya pun sudah berubah cepat kerana dia tidak lagi nampak segak seperti dulu
walaupun kita tahu dia menerima suntikan hormon awet muda untuk menyerlahkan
ketokohannya yang memang penuh ilusi.
Seperti biasa, Mahathir cepat bertindak dalam mencari penyelesaian kepada
sesuatu masalah. Tetapi, setiap tindakannya itu disalut dengan beberapa lakonan
dan sandiwara yang sengaja dilakar agar rakyat marhaen terbabit sama. Baik dalam
bentuk pembabitan fizikal mahupun dalam bentuk pencetusan minda, mereka mudah
diputarbelitkan. Eloklah kita rakamkan apa yang dilakukan oleh UMNO/ Barisan
Nasional sebaik sahaja kerusi di Lunas tumpas dan beralih kepada Keadilan:
a) Samy Vellu cabut lari sebelum keputusan pilihanraya Lunas diumumkan.
Sekaligus dia mengengkari janji-janji manis betapa dia “tidak akan keluar
daripada Lunas kalau BN kalah”.
b) Aziz Sikh Fadzir menghantar surat perletakan jawatan daripada menjadi Naib
Ketua Pemuda UMNO berkuatkuasa 1 Disember, 2000.
c) Datuk Shahrir Samad menulis di internet “menuduh Perdana Menteri Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai punca kekalahan di Lunas. Kisah ini
dibesar-besarkan lagi oleh Utusan melalui beberapa artikel bertajuk “Shahrir
Terlampau Lepaskan Geram” oleh seorang insan bernama Faisal Mohd. Akil yang
dikatakan beralamat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Selalunya kebanyakan
surat pembaca yang disiarkan dalam akhbar perdana adalah tulisan rekaan staf
surat-akhbar sahaja. Yang lebih menjijikkan pada hari itu ialah satu tulisan
yang ditulis oleh Zia-Ul Arief bertajuk “Lunas Dirampas Melalui Politik Kotor”.
Kalau diteliti tulisan itu ia mempunyai jalan pemikiran tulisan seorang
wartawan yang pernah disingkirkan oleh Utusan. Tetapi, kini dia menjadi seorang
senator. Penulis artikel (Zia-ul Arief) menunjukkan mutu penulisan sesaorang
yang mempunyai otaknya yang sudah berada di lutut. Apakah kerana tulisan
seperti itu makanya Ezam dan Azmin Ali ditahan oleh polis ketika sampai di KLIA
daripada Mekah?
d) Sandiwara perletakan jawatan Aziz Sikh itu ditariknya balik setelah
berbincang dengan Ketua Pemuda. Itulah tindakan yang sepatutnya sebelum dia
mengirim surat perletakan jawatan kepada Presiden parti.
e) Beberapa isu hangat sengaja diketengahkan untuk menyerap kekalahan di Lunas.
Antaranya ialah (i) Politik kafirkan pelajar di UUM seperti yang sengaja
dibesarbesarkan oleh Naib Chanselor UUM. (ii) GPMS mahukan sekolah aliran
Inggeris dihidupkan semula. Cadangan GPMS itu adalah berdasarkan hasil kajian
yang dibuat ke atas 500 responden. Isu itu diketengahkan sebagai satu ‘prelude’
(awalan) untuk menyediakan minda rakyat marhaen kepada peranan yang ‘lebih
besar’ yang mahu dimainkan oleh Suhaimi Ibrahim dan GPMS dalam menyanggah isu
Suqui. Selain bersuara lantang mengenai Sekolah Wawasan, Suhaimi cuba
memanjangkan isu Suqui dengan ugutan untuk mengemukakan 100 tuntutan kepada
Mahathir pula.
f) Serangan terhadap pembangkang dan Barisan Alternatif semakin menjadi-jadi.
Paklah dan Najib menggunakan majlis berlainan mencetuskan “projek terbaru
Mahfuz yang menyerupai budaya intifada orang Palestine”. Ini merupakan satu
sandiwara terbaru sebaik sahaja Mahfuz Omar bersama Salahuddin Ayub dan Pak
Amjal keluar daripada penjara Kajang. Tujuan sebenar mereka mencetuskan
sandiwra terbaru ini ada kita jelaskan dalam ‘Yang Basau Dan Basi’. Reaksi
mendadak rakyat marhaen terhadap isu yang dicetuskan itu memaksa UMNO bertindak
dengan ‘damage control’ lagi sehinggalah senyap cerita intifada itu tanpa
sebarang ‘batu’ dibalingkan ke mana-mana.
g) Projek intifada tiba-tiba tenggelam apabila Utusan mula membesarkan kembali
isu perpecahan Melayu. Isu itu menjadi hangat kembali apabila Zam berucap di
Dewan Negara atas isu yang sama. Dia terlupa akan sebuah artikelnya yang
tersiar pada September 1999 dulu yang bertajuk “Konspirasi Golongan
Revolusioner dan Reaksioner”. Dia juga terlupa betapa rakyat marhaen menganggap
Episod Sauk dan juga Episod Pulau Sipadan sebagai episod yang sengaja
diada-adakan.
h) Apabila projek intifada disanggah oleh rakyat marhaen, kita dapati GPMS
terus naik garang dengan mengugut melancarkan satu perhimpunan raksasa
melibatkan 1 juta orang Melayu kerana GPMS dikatakan sudah menerima sokongan
PESAKA (Persatuan Silat kebangsaan Malaysia dan lebih 200 pertubuhan Melayu.
Sasaran GPMS ialah Suqui dan meminta pertubuhan itu menggugurkan tuntutan mereka
dan meminta maaf. GPMS berlagak mahu mengetuai satu medan perang. Ia menjadi
gamat apabila seorang pakar kencing di pusara melancarkan satu himpunan di
hadapan sebuah masjid di Kelantan menyokong tindakan GPMS itu. Utusan melaporkan
penyertaan 1,000 jemaah masjid sedangkan yang ada hanyalah pemerhati yang
memang benci terhadap si wira pusara itu.
i) Kegawatan disebabkan cerita kosong mengganyang Suqui sebenarnya merupakan
satu topeng untuk membungkusi tindakan membeli saham MAS yang dipegang oleh
Tajuddin Ramli dengan harga RM8 se saham, sedangkan harga di pasaran terbuka
adalah hanya RM3.68 sahaja. Mahathir membuat keputusan menggunakan wang rakyat
sebanyak RM1.79 bilion untuk menyelamatkan seorang kroninya.
Siapa yang Berpecah ?
Keupayaan rakyat marhaen bersatu menyanggah tindakan Mahathir dan juga pemimpin
BN telah mencetuskan satu perasaan takut di kalangan pemimpin UMNO. Para
pemimpin MCA dan Gerakan tidak berapa takut akan hal itu kerana isyarat sudah
lama diterima daripada ahli-ahli betapa mereka sudah berpihak kepada BA.
Pemimpin ini seperti Lim Kheng Yaik dan Ling Liong Sheik memang sudah bersedia
mengundurkan diri daripada arena politik. Hanya Mahathir yang menyebabkan mereka
terus memegang kuasa.
Tindakan ini memperkuatkan rancangan asal Mahathir membesar-besarkan kekuatan
orang Cina dengan tujuan meraih simpati orang Melayu. Mahathir pun menggunakan
isu itu sebagai tema ucapannya ketika menyambut Hari Raya Puasa.
“bermaaf-maafanlah kita sebagai umat Islam...!!!!” Demikianlah saranan Mahathir.
Tetapi itu adalah satu saranan yang jauh terlambat kerana orang Melayu masih
ingat betapa Mahathir pernah menyebut kemungkinan negara akan berperdana
menteri seorang bukan Melayu.
Kini, Mahathir terlalu ghairah mahukan perbincangan mengenai perpecahan Melayu
itu dengan PAS, “walaupun Kedilan tidak sanggup melayan tawaran mereka”. Alasan
yang diberikan oleh UMNO adalah seperti yang dijelaskan oleh Mahathir sendiri,
seperti berikut:
i) Ada pertanda kemakmuran negara akan menuju ke arah kehancuran jika rakyat
tidak berwaspada dengan perpecahan yang berlaku sesama mereka sekarang;
ii) Jika trend menabur kebencian dan perpecahan antara rakyat dibiarkan atas
nama kebebasan demokrasi, Malaysia tidak akan lagi memiliki kerajaan yang
berwibawa dan kuat;
iii) Walaupun banyak pihak beranggapan bahawa rakyat akan menikmati
kehidupan normal jika berlaku penggantian kerajaan tetapi adakah jaminan
bahawa kerajaan baru yang dipilih nanti lebih baik atau lebih buruk daripada
kerajaan terdahulu;
iv) Negara yang rakyatnya mula menukar kerajaaan akhirnya berdepan dengan
masalah sentiasa memilih kerajaan yang lemah kerana tidak ada parti yang
benar-benar kuat;
v) Janganlah kita (rakyat Malaysia) membiarkan musnahnya formula yang selama
ini terbukti berkesan membawa pembangunan dan keharmonian kepada negara;
vi) Sudah ada tanda-tanda bahawa bibit kebencian terhadap kerajaan pilihan
rakyat (he.he.he) ini cuba disemaikan di kalangan anggota pentadbiran sehingga
kerajaan yang ada dianggap tidak Islamic, rasuah, mengamalkan kronisme dan
sebagainya;
vii) Mana-mana kerajaan di dunia ini akan sukar melaksanakan
tanggungjawabnya jika ada kakitangan kerajaan yang bersikap ‘mensabotaj’
kerajaan sedia ada. Jika tidak patuh, kerajaan akan runtuh. Kalau ditukar
kerajaan, maka akan ada orang dalam pentadbir yang tidak bersetuju dengan
kerajaan yang baru dan akan sabotaj kerajaan baru.
viii) Dalam amalan demokrasi, cuma undi yang digunakan untuk menukar kerajaan
dan tidak perlu kepada kekerasan atau peperangan. Tetapi, menukar kerajaan
juga tidak sepatutnya dilakukan semata-mata kerana ingin tukar lantaran
sebarang pertukaran kerajaan itu akan mengakibatkan ketidakstabilan negara.
Seperti kebiasaannya, Mahathir mengungkit cerita lama kerajaan Rom dan Parsi
yang akhirnya runtuh dan menjadi peninggalan sejarah. Beliau khuatir Malaysia
yang baru 43 tahun menikmati kemerdekaan selepas 450 tahun di bawah kuasa
penjajah, akan turut mengalami nasib yang sama walaupun Malaysia tidak dibangun
untuk menjadi sebuah empayar.
Apa yang kita rakamkan di atas adalah intipati ucapan Mahahtir kepada kira-kira
600 ketua agensi kerajaan pada majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kedua (Mappa II)
di Auditorium Intan, Bukit Kiara. Itulah ucapan yang berlaku pada 11 Januari,
2001. Tetapi, isu perbincangan mengenai perpaduan orang Melayu telah tercetus
pada 1 Syawal yang lalu, bersamaan dengan 27Disember, 2000.
Kini, Syawal sudah pun menampakkan bulan mengambangnya dengan diikuti oleh satu
gerhana purnama. Mahathir masih jauh menyimpang daripada tugasnya untuk memimpin
Malaysia untuk kembali. Rakyat marhaen masih juga menanti bila si diktator tua
ini akan pergi.
Menghadapi Musibah yang Semakin Bercambah
Mahathir dan juga para pemimpin UMNO boleh terus berdrama dengan usaha mereka
untuk menaikan taraf hidup rakyat, yang berbilang kaum kerana itu adalah tugas
mereka yang paling utama. Tetapi, dalam usaha mengekalkan kuasa, mereka semakin
galak menggunakan isu perkauman untuk meraih sokongan orang Melayu agar keluar
daripada PAS dan Keadilan dan apa juga parti yang lain selain daripada UMNO.
Pelbagai usaha sedang direncana untuk menarik sokongan orang Melayu itu. Lebih
banyak rencana itu lebih banyak lagi masalah lama yang terserlah dan lebih
banyak pula masalah baru yang muncul. Inilah hukum karma yang mesti ditanggung
oleh Mahathir dan para pemimpin UMNO.
Sepatutnya kemenangan besar pemilu 1999 dulu dimanfaatkan untuk memulihkan
keadaan ekonomi negara. Dua tahun sudah berlalu sejak tarikh itu, tetapi rakyat
marhaen terus berpendapat: “Mahathir sudah nyata gagal, segagalnya.” Apa juga
yang direncana oleh Mahathir hanya mementingkan tembolok dirinya dan para
kroninya. Mahathir ternyata tidak berjaya menipu dan berbohong kepada rakyat
lagi. Kuasa kelentongannya sudah tidak berbisa. Dulu, dia boleh menggunakan aura
ketokohannya untuk berucap panjang-panjang kepada rakyat jelata, dengan segala
bantuan gema sorakan dan sokongan yang dikeluarkan oleh kecanggihan IT. Kini,
cakap-cakapnya mengenai semangat “Malaysia Boleh” tidak dipedulikan lagi. Kerana
banyak sangat projek mega yang gagal, panggilan ‘Bolehland’ oleh MGG Pillai
ataupun ‘Darul-Boleh’ sebagai terjemahannya, sudah semakin diketawakan oleh
dunia luar.
Kita harus memahami perjalanan sejarah negara-negara yang pernah dijajah oleh
para diktator. Tidak ada sebuah negara yang dijajah oleh diktator di dunia ini
berada dalam keadaan senang lenang di saat-saat si diktator itu hampir
mengehembuskan nafasnya. Lagi hampir diktator itu di ambang maut, lagi ganas
dan buas tindakannya. Semua itu dilakukan tanpa segan dan silu lagi kerana
selama dia berkuasa itu segala insititusi yang ada dalam kerajaan dan juga di
luar kerajaan telah cuba dipribadikannya. Oleh kerana terlalu lama konsep
memperibadikan institusi yang besar-besar itu dengan menyalah-guanakan kuasa dan
menghamburkan wang rakyat jelata yang ada, setiap diktator akan terus menjadi
rakus sehinggakan dia mencapai tahap kegilaan yang tidak mudah untuk
dijinakkan.
Tindakan gila seorang diktator itu sengaja dibiarkan oleh para juaknya kerana
mereka sendiri pun sudah menjadi keliru. Mereka takut untuk menyekatnya kerana
nyawa dan badan akan menjadi pertaruhan. Adalah lebih menguntungkan kalau
mereka akur sahaja dengan sifat kegilaan diktator semacam itu, sambil mencari
dan mencuri peluang untuk turut menumpang sekaki-dua dalam setiap projek baru
yang dimulakan lagi.
Perbuatan Mahathir yang kini disokong oleh hampir semua institusi kerajaan akan
sampai ke satu tahap dan persimpangan yang mendebarkan. Kita dapat jangkakan
Mahathir menjadi ganas kalau segala usahanya menopang kuasa yang ada tidak
berjaya. Kita boleh baca segala usaha itu seperti yang ditulis di akhbar perdana
dan seperti yang dicanang oleh segala penjilatnya. Semua perbuatan itu tidak
akan mendatangkan hasilnya dan semua tindakan mereka hanya akan melengahkan
kuasa jijik yang masih ada, sehingga satu masa si diktator tua tidak lagi
bernyawa.
Sebaliknya rakyat marhaen akan terus bertindak, cuba menegakkan keadilan yang
pasti mampu ditegakkan dengan sokongan padu rakyat marhaen. Sedikit demi sedikit
manusia yang mindanya diputar oleh si diktator, untuk menjadi alat pencengkam
kuasanya akan berpaling tadah. Secara perlahan, proses sabotaj akan bertali
arus. Diktator akan bertambah kejam dan bertindak ganas, terus menerus. Mahathir
sudah kecundang untuk terus berkuasa. Ramai pemimpin UMNO yang berani bersuara
lantang menyanggahnya. Ramai pula yang dihambat oleh jentera gestapo Mahathir
untuk diganyang dan diaibkan. Ramai yang sudah melarikan diri dan semakin ramai
yang akan terus bersembunyi. Semua menjadi tertekan kerana seorang diktator tua
yang hilang pedoman.
Mahathir sudah tidak punya pilihan lain lagi. Dia mesti undur secara terhormat
ataupun membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya umum semula. Rakyat
marhaen memang sudah lama bersedia menantikannya.
-marhaintua-
14.1.2001.